Disediakan oleh: TT, PBSB Sibu
SIBU, 22 JULAI 2026 – Semangat patriotisme dan perpaduan jitu warga Sibu jelas terpancar pagi ini apabila Dataran Tun Tuanku Bujang dibanjiri ribuan peserta yang hadir bagi menjayakan program Unity Walk bersempena dengan Sambutan Hari Sarawak 2026.
Sebagai agensi yang sentiasa menyokong pembangunan belia dan sukan komuniti, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu (PBSB Sibu) tidak melepaskan peluang emas ini untuk turun padang bersama-sama dengan 50 orang sukarelawan pemegang bendera Sarawak. Kehadiran barisan sukarelawan belia ini bukan sahaja membantu kelancaran program, malah menambah lagi impak visual dan keceriaan dengan kibaran megah bendera 'Ibu Pertiwi' di sepanjang laluan perarakan.
Suasana seawal jam 6:00 pagi dimulakan dengan penuh bertenaga menerusi sesi memanaskan badan dengan aktiviti Zumba. Rentak muzik yang rancak berjaya membakar semangat dan menyatukan momentum para peserta daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang sebelum acara utama bermula.
Kemuncak acara pagi ini diteruskan dengan Majlis Flag Off yang disempurnakan dalam suasana penuh simbolik. Acara pelepasan dimeriahkan dengan pelepasan belon berwarna-warni ke udara, disusuli dengan bunyian air horn yang dibunyikan sendiri oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar. Bunyian tersebut menjadi tanda rasminya pelepasan bagi bermulanya Unity Fun Walk.
Lebih manis lagi, TYT Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar turut berkenan untuk berjalan kaki bersama-sama rakyat jelata dalam Unity Fun Walk ini. Momen ini jelas mempamerkan keakraban institusi tertinggi wilayah bersama komuniti selaras dengan konsep perpaduan dan keharmonian kaum yang menjadi teras kekuatan Sarawak.
Syabas dan terima kasih diucapkan kepada semua warga PBSB Sibu serta barisan sukarelawan pemegang bendera yang telah memberikan komitmen terbaik.
Anda semua adalah cerminan belia Sarawak yang progresif, bersatu padu, dan sayangkan tanah air!
"Sarawak Maju Makmur, Segulai Sejalai"
#JBSNBersama #PBSBSibu #TeamJBSN #JBSNSarawak #KBSMalaysia #TeamKBS #HariSarawak
- JBS Sarawak
- Hits: 5
