Usaha Membuahkan Hasil Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 13 Julai 2026 – Usaha membuahkan hasil dan menjadi kebanggaan bagi PBSB Kuching apabila dua orang pegawai dan kakitangannya telah menerima Anugerah Khas Pekerja Terbaik Bulanan di Perhimpunan Bulanan JBSN Sarawak pada 10 Julai 2026 yang lalu. Tahniah diucapkan kepada Puan Joyce Anyie dan Puan Pamela Connie Eddie Saga, atas penganugerahan Anugerah Khas Pekerja Terbaik Bulanan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, dedikasi dan prestasi kerja cemerlang yang telah ditunjukkan sepanjang tempoh penilaian. Mereka masing-masing telah menerima Anugerah Khas Pekerja Terbaik Bulanan bagi bulan April dan Jun 2026.
Pengiktirafan ini mencerminkan penghargaan jabatan terhadap warga kerja yang sentiasa mengamalkan budaya kerja berkualiti, berintegriti dan berorientasikan kecemerlangan. Kejayaan yang diraih membuktikan bahawa usaha tangga kejayaan, sekali gus menjadi inspirasi kepada seluruh warga kerja untuk terus meningkatkan prestasi dan memberikan perkhidmatan terbaik.
SIBU, 10 JULAI 2026 – Satu Mesyuarat Perbincangan Khas Bagi Program Pengisian Sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 yang akan dilaksanakan pada 22 Julai 2026 telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu (PBSB Sibu).
Mesyuarat penting ini telah dipengerusikan oleh Puan Asmawaty @ Siti Asmah Binti Ahmad, Ketua Penolong Setiausaha dari Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED).
Kehadiran delegasi kementerian turut diiringi oleh Puan Christine Pet selaku Penguasa MYSED Cawangan Sibu, serta Encik Faisal Ali, Pengetua Kem Belia Kemuyang Sibu. Ketibaan rombongan tersebut telah disambut baik oleh Encik Mohd Nadzrul Idzlan Bin Mohd Nor, Pegawai Unit Pembangunan Belia PBSB Sibu.
Fokus utama perbincangan ini adalah bagi merancang dan menyelaraskan persediaan sukarelawan untuk salah satu aktiviti utama sambutan Hari Sarawak iaitu Sarawak Unity Walk.
Bagi memastikan program yang dirangka mendapat penglibatan menyeluruh, sesi perbincangan strategik turut diadakan bersama Encik Ling Jing Loon, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sibu.
Sinergi antara agensi sukan, belia, dan pendidikan ini diharapkan dapat melahirkan pengisian yang inklusif, kreatif, serta mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda di Bahagian Sibu.
SIBU, 10 JULAI 2026 – Jarak perjalanan yang jauh bukanlah penghalang bagi golongan belia luar bandar untuk terus maju dan menyumbang kepada pembangunan komuniti. Semangat tersebut jelas terpancar menerusi kehadiran Puan Winnie Anak Jawang dari Sungai Meruan Dijih, Selangau ke Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu bagi mendapatkan khidmat nasihat serta bimbingan berkaitan proses pendaftaran kelab belia dan kelab sukan di daerah Selangau.
Kehadiran beliau mencerminkan komitmen tinggi masyarakat belia luar bandar dalam memperkukuh organisasi belia dan sukan di peringkat akar umbi, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti pembangunan komuniti, kepimpinan dan kesukarelawanan.
Dalam sesi perbincangan tersebut, pegawai Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu telah memberikan penerangan menyeluruh berkaitan prosedur pendaftaran pertubuhan belia dan sukan, aspek tadbir urus organisasi, tanggungjawab pemegang jawatan serta keperluan pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan komitmen Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu sentiasa mengutamakan pendekatan mesra pelanggan dengan menyediakan khidmat bimbingan, konsultasi dan sokongan kepada golongan belia yang ingin menubuhkan serta memperkasakan pertubuhan belia dan sukan di kawasan masing-masing. Inisiatif ini bertujuan memastikan lebih banyak organisasi belia yang berdaftar, berfungsi secara efektif dan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat setempat.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu turut merakamkan penghargaan serta pujian kepada Puan Winnie Anak Jawang atas semangat, kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan dalam usaha memajukan belia luar bandar. Kesediaan beliau untuk menempuh perjalanan yang jauh demi mendapatkan maklumat dan bimbingan berkaitan penubuhan kelab membuktikan bahawa pembangunan belia memerlukan iltizam, kepimpinan dan kesungguhan yang berterusan.
Diharapkan usaha murni ini akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai belia di kawasan luar bandar untuk tampil memainkan peranan aktif dalam pembangunan komuniti melalui penubuhan dan pengukuhan pertubuhan belia serta kelab sukan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
SIBU, 10 JULAI 2026 – Kejayaan industri kopi tempatan terus mendapat perhatian apabila satu lawatan kerja diadakan ke The 66 Coffee, Sibu bagi meninjau lokasi yang dicadangkan sempena program lawatan rasmi Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia dalam masa terdekat.
Lawatan yang disertai oleh rombongan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu itu turut memberi peluang kepada delegasi mengadakan sesi temu bual bersama pemilik The 66 Coffee, En. Syafiq Ahmad, bagi mendalami perjalanan beliau membangunkan perniagaan kopi tempatan serta meneroka potensi industri kopi sebagai bidang keusahawanan bernilai tinggi untuk golongan belia.
Dalam sesi perkongsian tersebut, En. Syafiq menjelaskan bahawa penghasilan kopi berkualiti bukan sekadar tertumpu kepada kemahiran seorang barista, sebaliknya melibatkan keseluruhan rantaian nilai industri kopi. Proses tersebut bermula daripada pemilihan varieti, penanaman dan pemantauan biji kopi hijau (green coffee beans), diikuti proses penuaian, pemprosesan, pemanggangan (roasting), penilaian kualiti (cupping) serta penyediaan minuman sehingga menghasilkan produk akhir yang memenuhi piawaian industri kopi khusus (specialty coffee).
Beliau turut berkongsi bahawa hasil pemantauan rapi terhadap pengeluaran biji kopi yang ditanam di Sarawak telah membuahkan kejayaan apabila biji kopi tempatan berjaya menarik perhatian seorang peserta dari Jerman yang menyertai Kejohanan Kopi Dunia (World Coffee Championships). Pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa kopi keluaran Sarawak memiliki kualiti yang mampu menembusi pasaran antarabangsa serta berpotensi berdiri sebaris dengan pengeluar kopi terbaik dunia.
Menurut beliau lagi, kejayaan dalam industri kopi memerlukan komitmen tinggi, ilmu pengetahuan, inovasi dan kawalan kualiti yang konsisten pada setiap peringkat pengeluaran. Beliau percaya industri kopi mempunyai prospek yang amat cerah dan mampu menjadi platform keusahawanan berimpak tinggi kepada golongan belia, khususnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan serta memperkukuh jenama kopi tempatan di peringkat global.
Lawatan ini bukan sahaja menjadi sebahagian daripada persediaan program lawatan rasmi Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, malah membuka ruang kepada Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu untuk mengetengahkan kisah kejayaan usahawan muda tempatan sebagai inspirasi kepada generasi belia agar terus berani meneroka peluang dalam bidang keusahawanan, sekali gus membuktikan bahawa produk tempatan berasaskan sumber Sarawak mampu mencipta nama di pentas dunia.
SIBU, 10 JULAI 2026 – Persiapan menjelang penganjuran Kem Belia @ Rakan Prihatin Peringkat Bahagian Sibu 2026 terus diperkemaskan apabila Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu mengadakan lawatan tapak ke Kem Belia Kemuyang, Sibu sebagai persediaan pelaksanaan program yang akan berlangsung pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2026.
Lawatan tersebut diketuai oleh Mohd Nadzrul Idzlan bersama Terence Tan dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu. Delegasi turut mengadakan sesi perbincangan bersama kakitangan Kem Belia Kemuyang serta meninjau fasiliti dan kemudahan yang akan digunakan sepanjang program.
Lawatan ini bertujuan memastikan semua aspek penganjuran berada pada tahap kesiapsiagaan yang optimum, termasuk kemudahan penginapan peserta, dewan dan ruang aktiviti, kawasan latihan, kemudahan asas, aspek keselamatan, pengurusan logistik serta penyelarasan operasi antara urus setia dan pihak kem.
Kem Belia @ Rakan Prihatin merupakan platform pembangunan belia yang memfokuskan kepada pembentukan sahsiah, kepimpinan, semangat kesukarelawanan, disiplin, kerja berpasukan serta nilai keprihatinan terhadap masyarakat. Program ini juga bertujuan melahirkan belia yang berdaya tahan, berintegriti, berkemahiran dan mampu menjadi pemimpin masa hadapan yang menyumbang secara aktif kepada pembangunan komuniti.
Melalui kerjasama erat antara Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu dengan pihak pengurusan Kem Belia Kemuyang, diharapkan penganjuran Kem Belia @ Rakan Prihatin Peringkat Bahagian Sibu 2026 dapat dilaksanakan dengan lancar, sekali gus memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan impak positif kepada seluruh peserta.
MUKAH, 28 Jun 2026 – Majlis Perasmian Penutupan Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Sarawak 2026 telah berlangsung dengan jayanya di UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah selepas dua hari penganjuran yang dipenuhi pelbagai aktiviti pembangunan belia.
Sepanjang hari terakhir, peserta menyertai Fun Run Rakan Muda, senamrobik, Seminar Malaysia MADANI, Pertandingan Doodle, saringan kesihatan percuma, gunting rambut percuma, aktiviti kraftangan dan makanan tradisional, serta pelbagai pengisian yang memberi manfaat kepada komuniti belia.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Royston bin Valentine, Ahli Dewan Undangan Negeri N.57 Tellian. Turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik, penyampaian hadiah pertandingan, cabutan bertuah utama, sesi fotografi serta simbolik penanaman pokok sebagai usaha menyemai kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Sarawak 2026 berjaya menghimpunkan pelbagai agensi, institusi pendidikan, pertubuhan belia dan komuniti dalam menjayakan program yang mengangkat konsep pembangunan belia secara holistik. Penganjuran ini membuktikan komitmen Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak dalam menyediakan platform yang inklusif untuk mengembangkan bakat, meningkatkan kemahiran serta memupuk semangat perpaduan, kepimpinan dan kesukarelawanan dalam kalangan belia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
MUKAH, 27 Jun 2026 – Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Sarawak 2026 membuka tirainya dengan penuh meriah di UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah, menghimpunkan belia dari pelbagai bahagian bagi menyertai aktiviti berteraskan gaya hidup sihat, kepimpinan, inovasi dan kesukarelawanan. Sepanjang hari pertama penganjuran, peserta disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik merangkumi Program Youth Entrepreneurship & Innovation Programme (YEIP), Klinik Asas Bola Jaring, Klinik Pickleball, Cabaran Pidato 1 Minit, Bengkel Pengacaraan Majlis, PUBG Mini Tournament, Mari Mencuba Drone, RC Crawler, pertandingan karaoke, Youth Bazaar, Content Creator Challenge serta pelbagai aktiviti di bawah segmen Rakan Aktif, Rakan Digital, Rakan Mahir, Rakan Ekspresi dan Rakan Prihatin. Penganjuran fiesta ini bertujuan memperkasakan belia melalui penglibatan aktif dalam aktiviti pembangunan sahsiah, kemahiran, keusahawanan, teknologi, kesihatan dan kreativiti selaras dengan aspirasi Rakan Muda sebagai platform pembangunan belia negara. Fiesta ini turut menjadi medium memperkukuhkan kerjasama strategik antara Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak dengan pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pertubuhan belia dan rakan komuniti. Diharapkan penganjuran program seperti ini akan terus melahirkan generasi belia yang berdaya saing, berinovasi, berkemahiran serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri Sarawak.
SIBU, 9 JULAI 2026 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu (PBSB Sibu) amat berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Encik Abdul Musrafiq bin Abdul Razak, Presiden Kelab Larian Underground Sibu (UGRS) bertempat di pejabat kami hari ini.
Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan khidmat nasihat mengenai tatacara permohonan dana sukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) demi memacu pembangunan sukan larian di peringkat akar umbi.
Dalam sesi yang sama, Encik Abdul Musrafiq turut berkongsi kejayaan pasukan beliau iaitu UGRS atas penganjuran Nam-Nam Ultra 2026 (66 Ultra) yang telah berlangsung dengan jayanya pada 6-7 Jun 2026 yang lalu. Untuk rekod, acara ini merupakan acara larian jarak jauh (ultra road) yang pertama kali dianjurkan di wilayah tengah Sarawak, khususnya di Bahagian Sibu!
Objektif utama penganjuran ini adalah untuk membangunkan komuniti pelari tempatan dan luar negara; membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat; menangani isu kekurangan penyertaan belia akibat kekangan masa dan kurang pendedahan dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama komuniti tanpa mengira latar belakang.
PBSB Sibu sentiasa menyokong usaha murni kelab-kelab sukan tempatan seperti UGRS yang aktif menggerakkan komuniti. Semoga penyaluran maklumat tatacara dana KBS ini dapat membantu UGRS melangkah lebih jauh dalam menganjurkan impak sukan yang lebih besar pada masa hadapan!
KUCHING, 8 Julai 2026 – Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak telah mengadakan Mesyuarat Pengurusan Kompleks yang dipengerusikan oleh Encik Eshady bin Ahmad, Pengurus Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Dalam perutusan pengerusi, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Puan Sharifah Zainab binti Wan Yahya atas pencapaian yang membanggakan. Beliau turut menyampaikan penghargaan daripada Tuan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak kepada seluruh warga kerja Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak atas komitmen, dedikasi dan kerjasama yang telah diberikan dalam memastikan pengurusan serta penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik. Mesyuarat turut membincangkan pelbagai perkara berkaitan pentadbiran dan pengurusan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, termasuk usaha memperkukuh sistem pengurusan, meningkatkan kecekapan operasi serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan masyarakat. Diharapkan segala keputusan dan tindakan yang dipersetujui dalam mesyuarat ini dapat dilaksanakan dengan berkesan demi memastikan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak terus cemerlang sebagai pusat pembangunan belia dan sukan di negeri ini.