- JBS Sarawak
- Hits: 61
BETONG TUAN RUMAH HSN2026 SARAWAK, 33 AKTIVITI DISASAR TARIK 21,000 PENYERTAAN
- JBS Sarawak
- Hits: 61
Disediakan oleh : RJH, JBSN SARAWAK
BETONG, 17 September 2026 – Bahagian Betong bakal menjadi tuan rumah Hari Sukan Negara 2026 (HSN2026) Peringkat Negeri Sarawak pada 16 hingga 18 Oktober 2026 dengan 33 aktiviti dicadangkan, menyasarkan anggaran penyertaan keseluruhan seramai 21,000 orang.
Kemuncak sambutan dijadualkan pada 17 Oktober 2026 (Sabtu) di Dewan Panglima Rentap, Betong, menerusi Majlis Perasmian HSN2026 Peringkat Negeri Sarawak, Larian Ria Madani 5KM dan Berjalan Ria Madani 2KM. Ketiga-tiga acara teras ini menyasarkan penyertaan keseluruhan seramai 3,000 orang.
Pelaksanaan HSN2026 di Sarawak dipinda daripada jadual kebangsaan pada 9 hingga 11 Oktober kepada 16 hingga 18 Oktober 2026 bagi menghormati sambutan Ulang Tahun Kelahiran TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Penganjuran ini bertujuan membudayakan gaya hidup aktif, sihat dan cergas serta memperkukuh perpaduan melalui penglibatan masyarakat dalam sukan dan rekreasi. Penyertaan merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, veteran, Rakan Muda, orang kurang upaya (OKU), wanita dan kanak-kanak.
Antara aktiviti yang dirancang ialah Aerobicthon, pickleball, e-sukan Mobile Legends, dart, memanah, sepak takraw, futsal, street soccer, Walking Football, sukaneka dan permainan tradisional. Sambutan turut dicadangkan merangkumi pemeriksaan dan saringan kesihatan, pameran interaktif agensi kerajaan, pameran industri sukan, jualan serta program usahawan belia.
JBSN Sarawak memberi penekanan kepada kualiti pelaksanaan, keselamatan serta pengalaman dan impak positif kepada masyarakat. Kerjasama jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, NGO, persatuan sukan, sektor swasta serta komuniti menjadi tunjang kelancaran penganjuran.
Orang ramai dijemput bersama-sama memeriahkan HSN2026 Peringkat Negeri Sarawak. Nantikan maklumat lanjut aktiviti dan penyertaan melalui saluran rasmi JBSN Sarawak.
Ayuh warga Sarawak, kita aktif bersama!
#HSN2026 #MalaysiaAktif #JBSNSarawak #HariSukanNegara #Betong
