Disediakan oleh: AAC, JBSN Sarawak
LIMBANG, 15 September 2026 – Bengkel Pemantapan Penyampaian Juruacara Majlis serta Personaliti dan Keterampilan telah diadakan pada 9 September 2026 bertempat di Auditorium RTM Limbang. Bengkel yang berfokus kepada pemantapan kemahiran pengacaraan, teknik penyampaian serta pembentukan personaliti dan keterampilan profesional ini menjadi platform yang bermanfaat dalam meningkatkan keyakinan dan keupayaan peserta dalam mengendalikan sesuatu majlis dengan lebih berkesan.
Turut menyertai bengkel tersebut ialah Puan Aimy Alisha Charlie, Pembantu Belia dan Sukan, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Limbang (PBSB Limbang) yang mempunyai pengalaman dalam bidang pengacaraan majlis secara sambilan dan freelance. Mengangkat cogan kata “Berani Tampil. Yakin Menyampai”, bengkel ini diharapkan dapat memberi impak positif terhadap pembangunan kompetensi, keyakinan diri serta perkembangan kerjaya peserta, khususnya dalam bidang pengacaraan majlis.
Penglibatan Puan Aimy Alisha dalam bidang pengacaraan turut mencerminkan kepelbagaian bakat dan potensi warga kerja PBSB Limbang yang bukan sahaja mampu melaksanakan tugas hakiki, malah mempunyai kemahiran serta keterampilan dalam bidang lain yang menyokong pembangunan profesionalisme diri.
PBSB Limbang turut berbangga dengan pencapaian dan bakat yang diketengahkan oleh beliau dan berharap agar kemahiran tersebut dapat terus diperkembangkan serta dimanfaatkan dalam pelbagai program dan majlis, sekali gus menyumbang kepada reputasi, imej dan profesionalisme Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Limbang.
Semoga penyertaan dalam bengkel ini menjadi pemangkin kepada peningkatan kemahiran serta membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada Puan Aimy Alisha untuk terus menyerlah dalam bidang pengacaraan pada masa akan datang.
#TeamJBSN
#JBSNBersama
#MalaysiaMADANI
#ihsanMADANI
#HarungiBersama
#teampbsblimbang
- JBS Sarawak
- Hits: 19
