SARIKEI, 2 Julai 2026 – Satu sesi perbincangan telah diadakan antara Pejabat Residen Bahagian Sarikei, Pejabat Imigresen Bahagian Sarikei dan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei bagi membincangkan penyelarasan permohonan perpindahan pejabat serta pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan di Wisma Negeri, Jalan Bangunan Kerajaan, Sarikei.Perbincangan tersebut telah dipengerusikan oleh Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Tuan Shafrie Saili, dan dihadiri oleh wakil-wakil daripada agensi yang berkaitan. Sesi ini diadakan bagi menyelesaikan pertindihan permohonan penggunaan ruang pejabat serta memastikan pengagihan ruang dapat dilaksanakan secara sistematik, selaras dengan keperluan operasi setiap agensi. Hasil perbincangan yang berlangsung dalam suasana penuh muafakat telah mencapai persetujuan bersama bahawa Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei akan mengemukakan permohonan penggunaan Bay 17 dan Bay 18, manakala Jabatan Imigresen Malaysia Bahagian Sarikei akan mengemukakan permohonan penggunaan Bay 1 hingga Bay 16. Sehubungan dengan itu, tindakan susulan akan dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkaitan, termasuk penyediaan dokumen permohonan rasmi serta penyelarasan kerja-kerja penyelenggaraan yang diperlukan. Langkah ini bertujuan memastikan proses perpindahan pejabat dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan mematuhi prosedur serta peraturan yang berkuat kuasa. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei sentiasa komited dalam menyediakan persekitaran kerja yang kondusif, selamat dan berkualiti bagi memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Jabatan dalam menyokong agenda Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Sarikei melalui penyediaan kemudahan pejabat yang lebih efisien dan kondusif.
#TeamKBS
#JBSNBersama
#MalaysiaMADANI
#IhsanMADANI
#HarungiBersama
#TeamPBS6D
Disediakan Oleh : M Johari, JBSNSarawak
SARIKEI, 2 Julai 2026 : Bagi melancarkan pelaksanaan Kem Skim Lencana Pengakap Daerah Sarikei yang akan diadakan pada penghujung bulan Julai di PULAKO, IPG Kampus Rajang, pihak Pengakap Daerah Sarikei telah mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Mahmudin Narudin, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor. Kunjungan hormat ini diadakan bagi membincangkan kerjasama strategik yang melibatkan Balai Bomba & Penyelamat Bintangor.
Rombongan Pengakap Daerah Sarikei diketuai Tuan Zalani Hj. Sidi, Pesuruhjaya Pengakap Daerah bersama Encik Mohd Johari Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei merangkap Penolong Pesuruhjaya (Latihan) dan Sdr. Chairul Azlan Johari, Pengakap Raja.
Penglibatan PBSB Sarikei dalam Kem ini merupakan penglibatan dan sumbangan luar PBSB Sarikei kepada belia, VO (Pertubuhan Sukarela) dan komuniti setempat.
Terima kasih kepada Balai Bomba & Penyelamat Bintangor. Semoga program ini akan dapat dilaksanakan dengan lancar.
#TeamKBS
#JBSNBersama
#MalaysiaMADANI
#ihsanMADANI
#HarungiBersama
#Teampbs6d
Women In Sport Leadership Seminar
Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 3 Julai 2026 – Seramai tiga orang pegawai dari PBSB Kuching telah menyertai seminar Women In Sport Leadership pada 1 hingga 2 Julai 2026 bertempat di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan. Seminar ini merupakan anjuran Majlis Sukan Negeri Sarawak dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak dan UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan. Para peserta seramai 120 orang dari agensi Kerajaan, swasta, persatuan sukan serta jurulatih sukan.
Wanita memainkan peranan yang semakin penting dalam landskap kepimpinan sukan, bukan sahaja sebagai atlet, malah sebagai pentadbir, jurulatih, pengadil, pengurus pasukan dan pembuat dasar. Penglibatan wanita dalam jawatan kepimpinan menyumbang kepada pembangunan ekosistem sukan yang lebih inklusif, progresif dan berdaya saing. Kesimpulannya, memperkasakan wanita dalam kepimpinan sukan bukan sahaja meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor ini, malah memperkukuh pembangunan sukan negara secara menyeluruh. Dengan peluang yang adil dan sokongan yang berterusan, wanita mampu menjadi pemimpin yang berwibawa serta inspirasi kepada generasi akan datang.
#TeamJBSN
#JBSNKomited
#MalaysiaMADANI
#IhsanMADANI
#HarungiBersama
#teampbsbkuching
#MADANISihat
#RakanAktif
Women’s Trail Hiking Peringkat Negeri Sarawak 2026
Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 30 Jun 2026 – JBSN Sarawak dengan kerjasama PBSB Kuching dan Kelab Rekreasi Komuniti Petra Jaya telah berjaya melaksanakan program Women’s Trail Hiking Peringkat Negeri Sarawak 2026 pada 25 hingga 26 Jun 2026 bertempat di Libiki Bamboo Resort. Seramai 28 orang peserta wanita telah menyertai program selama 2 hari ini. Majlis Flag Off telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Mordi Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada jam 3.00 petang pada 25 Jun 2026. Objektif program ialah untuk menggalakkan semangat penjelajahan dan pengembaraan di kalangan wanita di samping mengekalkan gaya hidup sihat.
#TeamJBSN
#JBSNKomited
#MalaysiaMADANI
#IhsanMADANI
#HarungiBersama
#teampbsbkuching
#MADANISihat
#RakanAktif
Disediakan oleh: Mohammad Arbi Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 2 JULAI 2026 – Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Kerja Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Mukah Bil.2 Tahun 2026 telah diadakan pada 2 Julai 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Bahagian Mukah). Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tuan Bujang Rahman Seli, Residen Bahagian Mukah.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah turut dijemput hadir dalam mesyuarat tersebut dan telah dihadiri Encik Bonnie Manau Michael Amerikan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah. Antara agenda mesyuarat ialah Perutusan Pengerusi, Taklimat Program oleh Urusetia Negeri dari Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak dan Laporan Jawatankuasa Kerja Program Sarawakku Sayang 2026 Peringkat Bahagian Mukah. Program Sarawakku Sayang 2026 Peringkat Bahagian Mukah akan dilaksanakan pada 28-30 Ogos 2026 di Dataran Pehin Setia Raja Mukah.
Disediakan oleh: Mohammad Arbi Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 2 JULAI 2026 – Encik Bonnie Manau Michael Amerikan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah telah melakukan kunjungan hormat ke Pejabat Residen Bahagian Mukah pada 2 Julai 2026. Beliau dan Puan Noorlina Mirais telah disambut mesra oleh Yang Berbahagia Tuan Bujang Rahman Seli, Residen Bahagian Mukah bersama Encik Mohd.Hafizul Rahman Nordin. Kunjungan tersebut bertujuan untuk memaklumkan kepada Tuan Residen berkenaan Program Majlis Perundingan Belia Peringkat Bahagian Mukah 2026 yang akan dilaksanakan pada 6 Ogos 2026 di Bilik Mesyuarat Utama Tingkat 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri.
Dalam pertemuan tersebut, beliau diterangkan berkenaan perancangan program dengan penglibatan beberapa agensi dan persatuan belia serta persatuan sukan di Mukah. Program Majlis Perundingan Belia Peringkat Bahagian Mukah 2026 akan dipengerusikan oleh Tuan Residen. Pejabat mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan dan kerjasama Pejabat Residen Mukah dalam bersama-sama membantu untuk menjayakan program yang akan dilaksanakan nanti.
Disediakan oleh : TT, PBSB Sibu
SIBU, 1 Julai 2026 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu (PBSB Sibu) hari ini memulakan gerak kerja awal penganjuran Program Kem Belia Peringkat Bahagian Sibu melalui satu sesi perbincangan strategik yang diadakan di pejabat mereka.
Sesi perbincangan meja bulat ini dipimpin oleh Puan Nur Fatheen Khairuzan bt Seleman, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu. Beliau duduk semeja bersama Encik Jeremy Ling Beng Leh, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sibu (Sektor Pembangunan Bakat Murid) dan Encik Ling Jing Loon, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sibu. Kehadiran para penggerak utama ini mencerminkan komitmen padu rentas agensi dalam usaha mencungkil serta menggilap potensi kepimpinan generasi muda.
Fokus utama perbincangan adalah untuk memperincikan pengisian modul, logistik, dan kriteria pemilihan peserta bagi kem yang dijadualkan berlangsung pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Kem Belia Kemuyang dengan sasaran 50 peserta dikalangan belia berumur 15 hingga 16 tahun.
Kolaborasi erat bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu ini memastikan elemen gaya hidup Rakan Muda dapat diterapkan secara holistik, sekali gus melahirkan generasi belia Sarawak yang dinamik, berdisiplin, dan berdaya saing.
#JBSNKomited #JBSNBersama #MalaysiaMadani #TeamJBSN #JBSNSarawak #TeamKBS #PBSBSibu
Disediakan oleh: TT, PBSB Sibu
SIBU, 1 Julai 2026 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu (PBSB Sibu) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Encik Andrew Khiing Kiu Woo, seorang pengamal dan pakar dalam bidang Sports Massage (Urutan Sukan). Ketibaan beliau di pejabat telah disambut dengan mesra oleh Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu, Puan Nur Fatheen Khairuzan bt Seleman.
Pertemuan dua hala ini bertujuan untuk membincangkan potensi kolaborasi strategik, terutamanya dalam menyuntik elemen sains sukan dan kebajikan atlet tempatan. Encik Andrew Khiing merupakan seorang profesional yang memiliki kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 yang mengkhusus dalam bidang Sports Massage. Beliau mempunyai kepakaran mendalam yang memfokuskan kepada proses pemulihan atlet (athlete recovery), pencegahan kecederaan (injury prevention), serta penilaian tisu lembut (soft tissue assessment). Selain itu, beliau turut menguasai teknik urutan sukan khusus untuk rawatan sebelum acara (pre-event), selepas acara (post-event), dan fasa penyelenggaraan (maintenance treatment).
Intipati utama kunjungan hormat ini adalah bagi menyatakan hasrat murni beliau untuk terlibat sama dan menyertai Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Bahagian Sibu yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober 2026 nanti. Kehadiran pakar terapi seperti beliau dilihat mampu memberikan nilai tambah yang signifikan kepada penganjuran HSN 2026, sekali gus memberi pendedahan kepada komuniti setempat mengenai kepentingan pengurusan kecederaan dan pemulihan fizikal dalam sukan.
Puan Nur Fatheen Khairuzan menzahirkan penghargaan atas kesediaan pihak industri dan pakar bertauliah seperti Encik Andrew untuk tampil menyokong agenda sukan bahagian. Sinergi antara agensi kerajaan dan pengamal profesional ini diharapkan dapat meningkatkan standard pengurusan atlet di Sibu, selain memeriahkan lagi sambutan HSN peringkat bahagian tidak lama lagi.
#JBSNKomited #MalaysiaMadani #TeamJBSN #TeamKBS #JBSNBersama #PBSBSibu #JBSNSarawak
Disediakan oleh : TT, PBSB Sibu
SIBU, 1 Julai 2026 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu (PBSB Sibu) hari ini mengambil inisiatif proaktif menyertai program Jualan Rahmah Madani Bergerak, yang dibawakan khas untuk warga agensi kerajaan di Wisma Persekutuan Blok 3 Sibu. Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sibu ini berlangsung di lobi bangunan tersebut dengan memfokuskan kepada kebajikan para penjawat awam dan komuniti jabatan di sini.
Pemilihan lokasi di Lobi Wisma Persekutuan Blok 3 ini ternyata amat strategik kerana memberi peluang kepada kakitangan daripada pelbagai agensi kerajaan untuk membeli-belah tanpa perlu keluar jauh dari pejabat mereka. Seawal pagi, kawasan lobi telah dipenuhi oleh para penjawat awam yang mengambil kesempatan di sela-sela waktu rehat untuk mendapatkan barangan keperluan asas berkualiti dengan potongan harga khas Rahmah yang jauh lebih murah.
Penglibatan langsung PBSB Sibu, yang juga merupakan salah satu agensi yang beroperasi di dalam kompleks bangunan tersebut, memperlihatkan semangat setiakawan dan kerjasama erat antara jabatan. Kehadiran kakitangan PBSB Sibu bukan sahaja membantu menyokong kelancaran program KPDN, malah menjadi penggerak kepada budaya bantu-membantu di kalangan komuniti penjawat awam dalam mendepani isu kos sara hidup.
Inisiatif khusus inter-agensi ini menerima maklum balas yang amat positif daripada ketua-ketua jabatan dan kakitangan sokongan. Program ini dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan dan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan warga kerjanya sendiri, di samping memastikan mesej dan kemudahan Jualan Rahmah Madani dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat, termasuk para petugas barisan hadapan pentadbiran negara.
Secara keseluruhannya, diharapkan agar program komuniti dalaman seperti ini dapat dijadikan acara berkala untuk terus memelihara kebajikan dan keceriaan warga kerja sektor awam di Bahagian Sibu.
#JBSNKomited #MalaysiaMadani #TeamJBSN #TeamKBS #JBSNBersama #PBSBSibu #JBSNSarawak