Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Bahagian Kuching

Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Bahagian Kuching
Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak

KUCHING, 11 September 2026 – Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Bahagian Kuching Tahun 2026 telah diadakan pada 10 September 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Bahagian Kuching. Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Puan Dayang Hajah Joanita Azizah Abang Haji Morshidi, Residen Bahagian Kuching.  Seramai 30 orang peserta hadir yang terdiri daripada wakil jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan serta persatuan belia dan pemegang taruh berkaitan pembangunan belia di Bahagian Kuching.

Penganjuran MPBN ini merupakan platform libat urus antara pihak Kerajaan dan golongan belia bagi membincangkan isu, keperluan, cabaran serta hala tuju pembangunan belia di peringkat bahagian. MPBN juga menjadi ruang untuk mengangkat pandangan dan aspirasi belia sebagai input dalam perancangan dasar serta pelaksanaan program pembangunan belia. Selaras dengan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668), MPBN berperanan sebagai badan perunding dalam perkara yang berkaitan dengan pembangunan belia.

Dalam majlis tersebut, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) turut menyampaikan pembentangan berkaitan bidang dan inisiatif ekonomi digital Sarawak. Perkongsian ini memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai perkembangan ekonomi digital serta peluang yang boleh diterokai oleh golongan belia dalam bidang teknologi, inovasi, keusahawanan dan ekonomi digital. SDEC merupakan syarikat milik Kerajaan Sarawak yang diberi mandat untuk menerajui pelaksanaan inisiatif ekonomi digital Sarawak, termasuk pembangunan infrastruktur digital, penyelidikan dan pembangunan, inovasi serta keusahawanan.

Pelaksanaan MPBN Peringkat Bahagian Kuching Tahun 2026 ini diharapkan dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama antara Kerajaan, agensi berkaitan dan pertubuhan belia, di samping memastikan suara serta aspirasi golongan belia sentiasa diberi perhatian dalam merangka dasar dan program pembangunan di peringkat bahagian. Perkongsian daripada SDEC juga diharap dapat membuka ruang kepada golongan belia untuk memahami perkembangan ekonomi digital serta mengenal pasti peluang baharu dalam bidang teknologi, inovasi dan keusahawanan digital selaras dengan aspirasi pembangunan ekonomi digital Sarawak.

#TeamJBSN
#JBSNKomited
#MalaysiaMADANI
#IhsanMADANI
#HarungiBersama
#teampbsbkuching
#rakandemokrasi

 

Image
Aras 3, Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Sarawak
Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce
93150 Kuching Sarawak.
Tel : 082-240631 / 082-248321
Fax : 082-244537

http://www.jbsn.gov.my/jbs-sarawak

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 16-10-2026, 21:41:59

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search