BINTULU, 25 OKTOBER 2024 - Tahniah diucapkan kepada Puan Everlyn Anak Morgan, Pembantu Tadbir Pejabat Bahagian Bintulu di atas pencapaian Anugerah Khas Pekerja Terbaik Bulan Julai 2024. Diharap dengan pencapaian ini, dapat dijadikan sebagai motivasi dan terus cemerlang di masa akan datang.
BINTULU, 25 OKTOBER 2024 - Perhimpunan bulanan Jabatan Belia Negeri Sarawak Bilangan 4/2024 telah berlangsung secara bersemuka di peringkat jabatan manakala di Bahagian pula menggunakan patform atas talian google meet yang telah diadakan pada Rabu lalu.
Dalam perhimpunan tersebut, Encik Lamat Anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak telah menyampaikan beberapa amanat kepada semua kakitangan JBSN salah satunya menekankan etika kerja sebagai penjawat awam, pematuhan integriti, penggunaan kemudahan dan fasiliti sukan sedia ada serta hal-hal lain.
Pengisian perhimpunan tersebut turut mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Pekerja Terbaik Bulanan kepada kakitangan dan sambutan hari lahir pekerja pada bulan Julai hingga Oktober. Pihak pejabat mengucapkan tahniah kepada semua yang telah mendapat Anugerah Terbaik Bulan dan selamat hari lahir kepada semua yang meraihnya.
BINTULU, 25 OKTOBER 2024 – Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Bintulu telah menerima lawatan pemeriksaan Pemeriksaan Aset Alih Kerajaan yang telah dijalankan oleh pegawai-pegawai Belia dan Sukan daripada Bahagian Samarahan, dan Sri Aman, di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Bintulu pada khamis lalu.
Pemeriksaan aset dilakukan bertujuan bagi memastikan setiap aset mempunyai daftar/rekod yang lengkap, tepat dan dikemaskini serta memastikan setiap aset berada di lokasi yang telah ditetapkan.
BINTULU, 25 OKTOBER 2024 – Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Bintulu telah berkolaborasi dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu dalam menjayakan program sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Tahun 2024 Peringkat Bahagian Bintulu bertempat di Dewan Suarah Bintulu pada Sabtu lepas. Turu hadir menyempurnakan majlis YB Encik Iskandar Bin Turkee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N67 Jepak.
Sambutan kali ini turut diraihkan bersama hari warga emas, pelbagai pengisisan program diadakan pada hari tersebut antaranya ialah Fun Walk @ Berjalan Ria Madani, 5KM charity run@ larian untuk negara, Bintulu Balance Bike Challenge, Mega Aerobic, pertandingan memanah, menyumpit, sukaneka kanak-kanak istimewa, klinik pickleball, e-sport carnival, cabutan bertuah, saringan kesihatan, ceramah kesihatan dan banyak lagi.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua agensi, penaja-penaja dan rakan strategik yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam menjayakan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) tahun 2024 Peringkat Bahagian Bintulu.
Disediakan oleh: Mohammad Arbi bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 24 OKTOBER 2024 – Pertandingan aerobicthon merupakan salah satu aktiviti sebagai pengisian kepada Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Mukah 2024 yang berlangsung pada 19 Oktober 2024 di Dewan Sri Balau, UiTM Kampus Mukah. Pertandingan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah dengan kerjasama UiTM Kampus Mukah tersebut telah disertai 13 pasukan.
Pertandingan tersebut telah dimenangi oleh pasukan Pink Lady dan membawa pulang hadiah wang tunai RM 1000.00, Tempat kedua hingga tempat kelima telah dimenangi pasukan Crew Cues, Pusoy, Litahayu dan The Magical masing-masing menerima hadiah wang tunai RM700.00, RM500.00, RM400.00 dan RM300.00. Hadiah telah disampaikan oleh Yang Berhormat Tuan Royston bin Valentine, Ahli Dewan Undangan Negeri N.57 Tellian. Turut hadir Encik Bonnie Manau anak Michael Amerikan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah.
Disediakan oleh: Mohammad Arbi bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 24 OKTOBER 2024 – TEAM S telah dinobatkan sebagai juara PUBG Kejohanan E-Sport Hari Sukan Negara Mukah 2024 setelah menewaskan pasukan MDSEA SIXTY9 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Datuk Awang Udin, Mukah pada 19 Oktober 2024 baru-baru ini. Pasukan mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM 700.00 dan RM 500.00 diikuti tempat ketiga pasukan BUKANLAH ESPORT RM 400.00 dan PMUCHAMPS mendapat hadiah wang tunai RM100.00 di tempat keempat. Manakala bagi hadiah tempat kelima sehingga kelapan masing-masing pasukan yang menang membawa pulang hadiah wang tunai RM50.00 untuk setiap pasukan.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Royston bin Valentine, Ahli Dewan Undangan Negeri N.57 Tellian. Hadir sama semasa majlis penyampaian hadiah ialah Encik Mohammad Arbi bin Rosli, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah,Encik Julaihi bin Haji Hassan, Pengerusi JKKK Kampung Datuk, Mukah dan Encik Mohd Helmi bin Ibrahim, Presiden Persatuan Sukan Elektronik Bahagian Mukah. Program anjuran Persatuan Sukan Elektronik Bahagian Mukah sempena Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Mukah 2024 disokong penuh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah.
Disediakan oleh : Mohammad Arbi bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 24 OKTOBER 2024 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah telah dijemput hadir ke Balingian Fun Walk 3.5 KM bersempena Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Mukah 2024 pada 20 Oktober 2024 di Tapak Pesta Bederun, Balingian. Program tersebut telah dihadiri Encik Bonnie Manau anak Michael Amerikan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagia Mukah bersama Encik Mohammad Arbi bin Rosli, Puan Noorlina binti Mirais dan Puan Hatijah binti Halidi. Majlis Pelepasan telah disempurnakan oleh Tuan Peleadzman anak Ahip , Pegawai Daerah Mukah.
Program ini telah disertai 350 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum sekaligus mencerminkan kesepaduan penduduk Sarawak yang telah diterjemah pada Hari Sukan Negara Mukah 2024 kali ini. Selain itu, kehadiran ketua jabatan, ketua masyarakat dan ketua kaum yang terdiri dengan kepelbagaian bangsanya memeriahkan program tersebut. Penampilan seperti ini bersesuaian dengan objektif penganjurannya untuk kecergasan komuniti akar umbi dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Disediakan oleh: Mohammad Arbi bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 24 OKTOBER 2024 – Kejohanan Wushu Toulu dan Wushu Sanda Terbuka Sarawak 2024 telah dirasmikan oleh Yang Berhormat, Tuan Royston bin Valentine, Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak N.57 Tellian pada 18 Oktober 2024 di Dewan Serbaguna, Politeknik Mukah. Majlis tersebut turut dihadiri Encik Bonnie Manau Anak Michael Amerikan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Persatuan Wushu Bahagian Mukah dengan kerjasama Persatuan Wushu Sarawak dan merupakan salah satu daripada aktiviti yang turut memeriahkan Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Mukah 2024. Antara tujuan kejohanan tersebut adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan tersebut seterusnya menghasilkan atlet yang berpotensi di bahagian Mukah untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
MIRI, 24 OKTOBER 2024 – Pertandingan Futsal Lelaki sempena Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Miri telah berlangsung dengan meriah di Stadium Bandaraya Miri, dengan kerjasama Buceros Futsal Club. Acara ini menampilkan aksi hebat dari pasukan-pasukan yang bersaing merebut gelaran juara.
Pasukan KV Miri City FC A berjaya muncul sebagai juara, membawa pulang Piala, Pingat, dan hadiah wang tunai RM500. Naib juara, SMK Merbau, menerima Piala, Pingat, serta wang tunai RM300. Sementara itu, pasukan Riam FT menduduki tempat ketiga dan membawa pulang Piala, Pingat, dan RM200.
Acara ini juga memberi pengiktirafan kepada pemain-pemain cemerlang. Ryvennis Arron Ak Ricky dari KV Miri City FC A dinobatkan sebagai Pemain Terbaik dan menerima beg galas jenama Figos. Muhammad Danil Bin Ahmad, juga dari KV Miri City FC A, diiktiraf sebagai Goleiro Terbaik, menerima Knee & Elbow Pad jenama Figos. Najmi Bin Mohammad Naim dari Riam FT pula dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak dengan 6 gol, menerima hadiah berupa kasut Figos Genk2.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Miri, Encik Roley Anak Langir, bersama Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Miri, Encik Mohd. Saif Bin Bujang, dan Presiden Buceros Futsal Club, Encik Fadillah Bin Ibrahim.
Pertandingan ini tidak hanya mempromosikan semangat kesukanan, tetapi juga memperkukuh hubungan dalam kalangan peminat dan pemain futsal di bahagian Miri.