PORT DICKSON, 19 Jun 2026 – Seramai 31 orang Pemimpin Bertauliah Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) dari seluruh Negeri Melaka telah menghadiri hari pertama Bengkel Refresher Pemimpin Bertauliah ARPRM Peringkat Negeri Melaka 2026 yang berlangsung di Klana Beach Resort.
Bengkel yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 19 hingga 21 Jun 2026 ini bertujuan memperkukuhkan pengetahuan, kemahiran dan kefahaman para pemimpin bertauliah dalam pelaksanaan serta pengurusan program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda di peringkat negeri dan daerah.
Program ini menghimpunkan seramai 31 orang pemimpin bertauliah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman dalam usaha memastikan penyampaian program ARPRM dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, berkualiti dan selaras dengan garis panduan semasa.
AYER KEROH, 18 Jun 2026 - Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, YBrs. Tuan Zailani bin Siran telah menerima Kunjungan Hormat daripada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka iaitu PPjB Mohd Zaidi bin Ma'at.
Kunjungan hormat ini adalah bertujuan untuk membincangkan Kerjasama Strategik dan Hala Tuju dalam Pelaksanaan Program serta mengeratkan ukhuwah di antara JBSN Melaka dan JBPM Melaka.
Hadir bersama dalam pertemuan ini ialah Timbalan Pengarah, PgKBI R Saiful Iswandy bin R Hassan, PgKB II Nurhuda binti Mohamed (Pen. Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran) dan PgB Mohd Sufian bin Alias (Bahagian Operasi).
RIM, 15 Jun 2026 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka (JBSNM) bersama Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) telah membentangkan pelaksanaan Festival Belia @ Hari Belia Negara Negeri Melaka 2026 (FB@HBNM26) semasa Mesyuarat Penyelarasan Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rim yang berlangsung di Japerun Rim, Jasin.
Pembentangan tersebut bertujuan memberikan maklumat terkini berkaitan persiapan, pengisian program serta peranan agensi dan pihak berkepentingan dalam menjayakan festival berkenaan yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Jun 2026 di Stadium Jasin, Melaka.
Mesyuarat ini turut menjadi platform penyelarasan antara pelbagai pihak bagi memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. FB@HBNM26 dijangka menghimpunkan penyertaan belia dari seluruh negeri menerusi pelbagai aktiviti berteraskan pembangunan kepimpinan, kesukarelawanan, sukan, kreativiti dan pengupayaan belia.
Program ini selaras dengan aspirasi Kementerian Belia dan Sukan dalam memperkasa belia sebagai pemangkin pembangunan komuniti dan negara.
BUKIT BERUANG, 15 Jun 2026 - Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang telah menyertai dan memeriahkan Program Langkah Sihat dan Minda Cergas @ Bukit Beruang Melaka. Program ini merupakan anjuran Politeknik Merlimau Melaka (PMM) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka (JBSNM) dengan melibatkan seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada warga kerja PMM dan JBSNM. Program ini turut disertai oleh YBrs. Encik Zailani bin Siran Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka.
Selain memperkasakan jalinan kerjasama strategik di antara agensi, program ini juga merupakan inisiatif ke arah melahirkan warga kerja yang sihat dan cergas. Ayuh semua kita terus aktif.!! JBSN Komited.!!
MELAKA, 14 Jun 2026 – Semangat kesukanan dan persaingan sihat jelas terpancar apabila Melaka Indoor Rowing Competition berjaya menghimpunkan peserta dari pelbagai lapisan masyarakat di Decathlon Melaka, hari ini. Program di bawah Dana Sukan Komuniti Jendela 2 ini turut dipantau pelaksanaannya bagi memastikan objektif pembangunan sukan komuniti dapat dicapai dengan berkesan.
Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh YBrs Tuan Zailani bin Siran, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka. Tahniah dan syabas kepada penganjur serta semua peserta yang telah menjayakan program ini dalam usaha memupuk budaya hidup aktif dan sihat dalam komuniti.
BUKIT BERUANG, 14 Jun 2026 - Telah berlangsung Program Beruang 6 Hour Challenge 2026 2ND Edition anjuran Kelab Sukan Rekreasi Kembara bertempat di Bukit Beruang Trails Hill. Seramai 121 orang menyahut cabaran menyertai program ini.
Pelepasan telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Zailani Bin Siran, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka. Tahniah & syabas diucapkan atas penganjuran program ini. Ayuh kita kekal cergas dan sihat bersama.
ALOR GAJAH, 14 JUN 2026 – Program Kem Anak Muda Pemacu Harapan (ALPHA) X Rakan Prihatin: Mobilisasi Sukarelawan Rakan Muda Peringkat Daerah Alor Gajah Tahun 2026 telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada 13 - 14 Jun 2026 bertempat di Kem Permata Resort, Alor Gajah Melaka.
Program ini merupakan anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Alor Gajah bersama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Alor Gajah dengan kerjasama Gerakan Belia 4B (M) Cawangan Padang Sebang. Seramai 40 orang pelajar UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah telah menyertai kem ini sebagai peserta.
Penganjuran kem ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran golongan belia terhadap bahaya dadah dan vape, memupuk semangat sukarelawan dan kesukarelawanan Rakan Muda di peringkat daerah dan membina jati diri, disiplin, kerjasama berpasukan serta kemahiran insaniah dalam kalangan peserta.
Sepanjang dua hari penganjuran, para peserta terlibat dalam pelbagai pengisian, antaranya ceramah kesedaran mengenai bahaya dadah dan vape khusus kepada golongan belia, aktiviti rekreasi outdoor seperti jungle trekking, adventure game, night walk, aktiviti gotong-royong sekitar kawasan surau serta eksplorasi dan latihan kemahiran interpersonal bagi mengukuhkan komunikasi, kepimpinan dan kerjasama pasukan.
Majlis penutup telah disempurnakan dengan kehadiran tetamu kehormat 𝗬𝗕𝗿𝘀. 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗭𝗮𝗶𝗹𝗮𝗻𝗶 𝗯𝗶𝗻 𝗦𝗶𝗿𝗮𝗻, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka bersama 𝗬𝗕𝗿𝘀. 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗔. 𝗦𝘄𝗮𝘆𝗮𝗹𝗻𝘂𝗿𝗮𝘀𝘆𝗶𝗱 𝗯𝗶𝗻 𝗣𝗮𝗿𝗺𝗮𝗻, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Melaka. Turut hadir 𝗬𝗕𝗿𝘀. 𝗘𝗻𝗰𝗶𝗸 𝗦𝗼𝗱𝗶𝗸𝗶𝗻 𝗯𝗶𝗻 𝗔𝗹𝗶, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Alor Gajah dan 𝗬𝗕𝗿𝘀. 𝗘𝗻𝗰𝗶𝗸 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗛𝗲𝗹𝗺𝗮𝗻 𝗯𝗶𝗻 𝗠𝗱 𝗗𝗲𝘀𝗮, wakil UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah.
Penganjuran Kem ALPHA X Rakan Prihatin ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan melahirkan belia bebas dadah, berdaya saing dan aktif dalam kerja-kerja kesukarelawanan, khususnya di Daerah Alor Gajah dan Negeri Melaka secara keseluruhan.
AYER MOLEK, 13 Jun 2026 – Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Negeri Melaka 2026 melabuhkan tirainya hari ini dengan penuh warna-warni, semangat dan kenangan bermakna apabila berjaya menghimpunkan seramai 556 peserta dari pelbagai latar belakang belia di Dewan Haji Katimin, Kampung Paya Redan, Ayer Molek.
Program yang berlangsung sepanjang hari itu menjadi platform penting dalam memperkasa belia akar umbi melalui pelbagai pengisian bermanfaat yang memupuk kepimpinan, kesukarelawanan, semangat komuniti serta jati diri belia.
Majlis telah diserikan dengan kehadiran YB Dr Mohammed Taufiq Bin Johari, Menteri Belia dan Sukan; YB Datuk Khaidhirah Binti Datuk Seri Abu Zahar, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Negeri Melaka merangkap Presiden MGBM; YBrs Puan Laila Nazurah Binti Nawi, Pengarah Cawangan Kepimpinan, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara; YBrs En. Zailani Bin Siran, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka; YBrs En. Shahrom Bin Shahdan, Pengerusi JPKK Kampung Paya Redan, Ayer Molek serta ketua dan wakil ketua jabatan agensi negeri dan persekutuan.
Kejayaan penganjuran KIBAR Melaka 2026 membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam mendekati dan memperkasakan belia di peringkat akar umbi, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan serta penglibatan aktif belia dalam pembangunan komuniti dan negara.
KIBAR Melaka 2026 bukan sekadar sebuah program, tetapi sebuah perjalanan yang meninggalkan inspirasi, mengeratkan silaturahim dan mencipta memori yang akan terus terpahat dalam sanubari setiap peserta.
AYER MOLEK, 13 Jun 2026 – Pameran Interaktif sempena Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Melaka 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dataran SRA JAIM Kampung Paya Redan, Ayer Molek, melibatkan penyertaan tujuh agensi kerajaan yang mempamerkan pelbagai perkhidmatan, inisiatif dan maklumat kepada masyarakat setempat.
Pameran tersebut turut menerima kunjungan YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, yang meluangkan masa beramah mesra bersama peserta pameran, wakil agensi serta penduduk setempat yang hadir memeriahkan program.
Penganjuran pameran ini menjadi medium penting dalam mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat melalui pendekatan yang lebih santai, mesra dan interaktif. Pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat secara terus daripada wakil agensi, sekali gus meningkatkan kefahaman mengenai pelbagai kemudahan, bantuan dan peluang yang ditawarkan oleh kerajaan.
Selain menjadi platform perkongsian maklumat, pameran ini turut berjaya memperkukuh hubungan strategik antara agensi kerajaan dan komuniti setempat, selaras dengan aspirasi KIBAR untuk memperkasa pembangunan masyarakat serta meningkatkan penglibatan komuniti dalam agenda pembangunan negara.
Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam Pameran Interaktif ini ialah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Melaka (AADK), Akademi Binaan Malaysia Wilayah Selatan (ABM), Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia dan IKTBN Alor Gajah.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan Pameran Interaktif KIBAR Melaka 2026. Penglibatan aktif semua pihak telah menyumbang kepada kejayaan program serta memberi impak positif kepada komuniti akar umbi.