- JBS Melaka
- Hits: 33
32 SUKARELAWAN UNITAR COLLEGE MELAKA CERIAKAN KIBAR MELAKA 2026 DENGAN SEMANGAT KESUKARELAWANAN
AYER MOLEK, 13 Jun 2026 – Semangat kesukarelawanan dan perpaduan jelas terpancar apabila seramai 32 sukarelawan daripada UNITAR College Melaka berganding bahu menjayakan Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Negeri Melaka 2026 yang berlangsung di Kampung Paya Redan, Ayer Molek.
Sukarelawan yang terdiri daripada pelajar pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India telah memainkan peranan penting sepanjang program berlangsung dengan membantu kerja-kerja pembersihan kawasan luar dan dalam masjid, penyediaan makanan dan minuman, serta memastikan aspek kebersihan dan kelancaran program sentiasa berada pada tahap terbaik.
Penyertaan mereka turut diiringi oleh Puan Nur Aina Nadhirah binti Noor Sham dan Cik Nur Shafariqa binti Shafie, Pensyarah Fakulti Bisnes UNITAR College Melaka yang sentiasa memberikan bimbingan dan sokongan kepada para pelajar sepanjang pelaksanaan program.
Penglibatan aktif para sukarelawan ini bukan sahaja membantu melancarkan perjalanan KIBAR Melaka 2026, malah menjadi contoh terbaik dalam memupuk nilai kepimpinan, kerja berpasukan, kesukarelawanan dan perpaduan dalam kalangan belia.
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada UNITAR College Melaka serta semua sukarelawan yang telah menyumbangkan tenaga, masa dan komitmen dalam menjayakan program ini.
- JBS Melaka
- Hits: 33
