JASIN, 9 September 2026 – Seramai 103 orang pelajar telah menyertai Program Rakan Demokrasi; Undi Orang Muda 2026 Peringkat Daerah Jasin yang berlangsung di ADTEC Jabatan Tenaga Kerja Kampus Selandar, Jasin.
Program ini merupakan satu platform bagi memberikan pendedahan dan meningkatkan kefahaman golongan muda berkaitan demokrasi, tanggungjawab sebagai warganegara serta kepentingan penglibatan orang muda dalam proses demokrasi negara.
Menariknya, para peserta turut mengikuti sesi perkongsian yang disampaikan oleh pegawai daripada Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Melaka. Sesi tersebut memberi peluang kepada para pelajar untuk mendapatkan maklumat dan pemahaman secara lebih dekat berkaitan perkara-perkara yang mempunyai kaitan dengan proses pilihan raya dan penglibatan generasi muda melalui Simulasi Pilihan Raya yang dilaksanakan.
Golongan muda merupakan aset penting dalam menentukan hala tuju masa depan negara. Justeru, penganjuran program seumpama ini amat signifikan dalam membentuk generasi yang berpengetahuan, cakna, matang dan bertanggungjawab.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Ts. Rostam bin Hashim, Pengarah ADTEC JTM Kampus Selandar. Turut hadir ialah En. Mohd Hazriq bin Abu Zarin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin.
Penyertaan seramai 103 orang pelajar dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa golongan muda dengan pengetahuan serta kesedaran sivik yang mampu membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab.
Suara orang muda hari ini, mencorakkan masa depan negara.
- JBS Melaka
- Hits: 31
