JASIN, 28 Mei 2026 - Alhamdulillah selesai dengan jayanya Program Korban JBSN Melaka 2026 sempena Aidiladha 1447H yang berlangsung di perkarangan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini khususnya rakan-rakan strategik JBSN Melaka seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Negeri Melaka, Kelab Sukan Rekreasi Redtma dan Majlis Belia Daerah Jasin.
Program ini diserikan dengan kehadiran Encik Zailani bin Siran Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka bersama wakil-wakil dari rakan strategik. Semoga program ini akan mendapat keberkatan dan dirahmati Allah swt di samping mengeratkan lagi ukhwah dan siratulrahim di antara kita bersama. InshaAllah.
"Pengorbanan Menuntut Keikhlasan dan Ibadah Korban Lambang Penyucian Jiwa".
AYER KEROH, 25 Mei 2026 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) 2026 Peringkat Negeri Melaka bertempat di Bilik Mesyuarat JBS Melaka hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Encik Zailani Bin Siran, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka bagi membincangkan gerak kerja pelaksanaan program KIBAR 2026 di negeri ini.
Antara fokus utama yang dibincangkan termasuk penyelarasan pelaksanaan program, sasaran penyertaan belia akar umbi serta penglibatan komuniti setempat dalam usaha memperkasa pembangunan belia secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.
Program KIBAR 2026 dijangka menjadi platform penting dalam menarik penyertaan belia luar bandar, meningkatkan kesedaran terhadap inisiatif kerajaan serta memperkukuhkan hubungan dua hala antara belia dan agensi kerajaan.
KIBAR 2026 Negeri Melaka akan berlangsung 13 Jun 2026 di Kampung Paya Redan, Hang Tuah Jaya melibatkan penyertaan seramai 500 orang.
TANGGA BATU, 24 Mei 2026 - Telah berlangsung Tournament E-Sports Mobile Legends Tangga Batu Youth Challenge 2026 Di Bawah Kelulusan DSK Jendela 2 Negeri Melaka Tahun 2026 anjuran Kelab Sukan Elektronik Tangga Batu bertempat di Dewan Cempaka Sari, Tangga Batu. Seramai 200 anak Muda telah mengambil bahagian.
Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Nor Azman Hassan, Pengarah Urusan Puteri Qashrina Chalet, Pantai Puteri.
TANJUNG TUAN, 24 Mei 2026 - Pemantauan pelaksanaan program di bawah Geran Padanan Sukan Jendela 2 telah diadakan bagi "Tanjung Tuan Trail Run 2026" yang berlangsung di Taman Eko Rimba Tanjung Tuan, Melaka (Port Dickson) dengan penyertaan seramai 400 orang peserta dari dalam dan luar negara.
Acara larian lasak ini berjaya menarik penyertaan antarabangsa melibatkan peserta dari Malaysia, Perancis, United Kingdom, Bangladesh, Australia, Sri Lanka, Singapura, China, Filipina dan Jepun. Program yang mempertandingkan kategori Fun Trail dan Trail Challenge ini bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat di samping memperkenalkan keindahan alam semula jadi Tanjung Tuan sebagai destinasi pelancongan sukan.
Majlis penyerahan cek cura berjumlah RM 30,000.00 telah disampaikan oleh En. Sodikin bin Ali, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Alor Gajah, mewakili Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka kepada En. Munzir Alawi, wakil Pertubuhan Sahabat Media Putrajaya selaku penganjur program tersebut sebagai tanda sokongan daripada Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia melalui Geran Padanan Sukan.
AYER KEROH, 24 Mei 2026 - Telah berlangsung Sesi 1 Program Intervensi Pertandingan Biggest Loser KBS Peringkat Negeri Melaka 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka. Pada sesi ini telah diadakan aktiviti Zumba kepada para peserta yang diketuai oleh Instruktur dari Life In Balance Aerobics Club.
Selain itu, rakan strategik dari Herbalife jugak ada mengadakan Sesi Komposisi badan dan Air Tea Herba percuma kepada para peserta yang berminat. Ayuh kita amalkan gaya hidup sihat dan kekal cergas bersama.
MELAKA, 23 Mei 2026 – Sesi Penilaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2026 Negeri Melaka bagi Kategori Pertubuhan Belia melabuhkan tirainya hari ini dengan penilaian melibatkan lima buah pertubuhan belia, selepas dua lagi pertubuhan selesai dinilai pada 17 Mei lalu.
Sebanyak tujuh pertubuhan belia telah tampil sebagai calon bagi edisi tahun ini, terdiri daripada MIYC Hang Tuah Jaya, GB4B (M) Cawangan Merlimau Pasir, GB4B (M) Cawangan Padang Jambu, MAYC Cawangan Bukit Katil, Kelab Rakan Muda Tangga Batu, GB4B (M) Cawangan Tebong serta GB4B (M) Cawangan Padang Sebang.
Kesemua pertubuhan yang bertanding memperlihatkan komitmen tinggi dalam memperkasakan pembangunan belia melalui pelbagai program kemasyarakatan, kepimpinan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti di kawasan masing-masing.
Sesi penilaian kali ini dikendalikan oleh tiga orang panel penilai berpengalaman dan berwibawa iaitu Datuk Md Zahan Bin Samat, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka; Puan Nur Faizlin Binti Md Jadi, Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Melaka; serta Encik Zaini Bin Muhammad, Mantan Timbalan Presiden Majlis Gabungan Belia Negeri Melaka.
Penilaian yang dijalankan bukan sahaja memberi ruang kepada pertubuhan belia untuk mengetengahkan pencapaian dan kekuatan organisasi masing-masing, malah menjadi platform terbaik dalam mencungkil idea, kreativiti serta impak gerak kerja belia terhadap masyarakat dan pembangunan negeri.
Anugerah Perdana Belia Negara dianjurkan sebagai pengiktirafan tertinggi kepada golongan belia dan pertubuhan belia yang cemerlang, di samping bertujuan menggalakkan budaya kepimpinan, kesukarelawanan, inovasi serta penyertaan aktif belia dalam pembangunan negara.
GADEK, 23 Mei 2026 — GB4B (M) Cawangan Padang Sebang, Alor Gajah melengkapkan siri penilaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Negeri Melaka 2026 apabila tampil sebagai pertubuhan kelima dan terakhir bagi Kategori Pertubuhan Belia.
Penilaian ini menjadi platform penting dalam mengiktiraf usaha serta komitmen pertubuhan belia dalam memperkasa pembangunan komuniti dan kepimpinan belia di negeri Melaka.
MACHAP, 23 Mei 2026 — GB4B (M) Cawangan Tebong, Alor Gajah tampil sebagai pertubuhan keempat yang menjalani penilaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2026 Negeri Melaka bagi Kategori Pertubuhan Belia.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen pertubuhan dalam memperkasa pembangunan belia serta menyemarakkan semangat kepimpinan dan kesukarelawanan di peringkat komuniti.
TANGGA BATU, 23 Mei 2026 — Kelab Rakan Muda (KRM) Tangga Batu, Melaka menjadi pertubuhan ketiga dinilai dalam Sesi Penilaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2026 Negeri Melaka bagi Kategori Pertubuhan Belia.
Membawa semangat “Yakin Boleh”, KRM Tangga Batu tampil aktif dan komited dalam memperkasa belia melalui pelbagai penglibatan serta program komuniti sepanjang tahun.
Semangat, kerjasama dan usaha berterusan yang ditonjolkan jelas mencerminkan aspirasi Rakan Muda dalam melahirkan belia berdaya saing dan progresif.