- JBS Melaka
- Hits: 34
B-BEST MELAKA PERKASA BELIA TAHFIZ DAN LUAR BANDAR MELALUI KEUSAHAWANAN KULINARI
- JBS Melaka
- Hits: 34
MERLIMAU, 13 September 2026 – Program Keusahawanan Belia Bestari (B-BEST) Negeri Melaka menerusi Kursus Keusahawanan Kulinari dan Latihan Pengendali Makanan telah berjaya dilaksanakan selama tiga hari bermula 11 hingga 13 September 2026 bertempat di Politeknik Merlimau Melaka.
Program yang menghimpunkan seramai 32 orang peserta terdiri daripada belia tahfiz dan belia luar bandar ini merupakan antara usaha dalam memberikan pendedahan serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran golongan belia dalam bidang keusahawanan, khususnya sektor kulinari dan pengendalian makanan.
Sepanjang tiga hari pelaksanaan, para peserta didedahkan dengan ilmu serta kemahiran berkaitan bidang kulinari dan asas pengendalian makanan yang dapat dimanfaatkan sebagai persediaan untuk meneroka peluang keusahawanan dan menjana pendapatan pada masa hadapan.
Pelaksanaan B-BEST turut menjadi platform dalam menggalakkan golongan belia membina keyakinan, meningkatkan kemahiran serta melihat bidang keusahawanan sebagai salah satu pilihan dalam membina masa depan yang lebih mampan.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Encik Ahmad Auzani bin Razali, Ketua Unit Latihan dan Pendidikan Lanjutan, Politeknik Merlimau Melaka.
Turut hadir ialah Encik Zailani bin Siran, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, bersama pegawai serta pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Diharapkan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini dapat menjadi pemangkin kepada para peserta untuk terus mengembangkan potensi diri, meneroka peluang perniagaan serta melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing.
B-BEST: Memperkasa Kemahiran, Membina Usahawan Belia!
