Kota Bharu, 26 Januari 2025 - Selamat bersara diucapkan kepada Puan Wan Roslinda bt Wan Ibrahim, Pembantu Belia dan Sukan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu. Beliau yang telah mula berkhidmat di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu pada 9 Julai 2024 sehingga 1 Januari 2025.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu mengucapkan selamat bersara dan mengucapkan jutaan terima kasih di atas komitmen dan jasa yang telah dicurahkan semasa berkhidmat di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu. Semoga Puan Wan Roslinda bt Wan Ibrahim sihat dan ceria sepanjang tempoh persaraan.
Disediakan oleh : Urus Setia Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu
KOTA BHARU, 22 JANUARI 2025 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan telah mengadakan Perhimpunan Bulanan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan Bil 1/2025 yang berlangsung sempena lawatan kerja rasmi YABrs. Pn. Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara ke Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Perhimpunan Bulanan ini merupakan satu aktiviti bulanan Jabatan di mana Sesi Perjumpaan bersama Pegawai dan Kakitangan JBS serta Skim Perkhidmatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan yang bermatlamat sebagai wadah perkongsian cadangan, penjelasan isu serta penyampaian aspirasi hala tuju JBSN bagi tahun 2025 yang berkait dengan Pembangunan Sukan, Belia dan Rakan Muda.
Dalam majlis tersebut, YABrs. Pn. Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara telah menyampaikan amanat serta memberikan kata-kata semangat kepada semua kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan seramai 76 orang yang hadir. Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya peranan setiap pegawai dan kakitangan dalam merealisasikan visi dan misi jabatan serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.
Turut hadir, YBrs. En. Mohd Soufi bin Mohd Ibrahim, Pengarah IKTBN Bachok dan YBrs. Dr. Mohamed Maliki bin Mohamed Rapiee, Pengarah Pusat Belia Antarabangsa. YABrs. Pn. Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara turut berkesempatan melawat fasiliti-fasiliti yang terdapat di kompleks ini. Dalam Majlis tersebut turut diadakan Majlis Perpisahan Puan Wan Roslinda bt Wan Ibrahim, mantan Pembantu Belia dan Sukan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu yang bersara pilihan pada 1 Januari 2025.
Semoga perhimpunan bulanan ini dapat mengeratkan ikatan silaturahim di antara kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan terus menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi jabatan.
Disediakan Oleh : Urus Setia Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu
BACHOK, 19 FEBRUARI 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok telah mengadakan Mesyuarat Pengurusan Bilangan 2 Tahun 2025 hari ini, yang dipengerusikan oleh Puan Azma binti Yahya, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Bachok. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh semua ketua unit Belia, Sukan dan Rakan Muda.
Mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk membincangkan perkembangan serta pelaksanaan program-program dibawah unit Belia, Rakan Muda dan Sukan di Daerah Bachok. Dalam mesyuarat ini, beberapa agenda penting telah dibincangkan, termasuk perancangan dan pelaksanaan program bagi memperkasakan pembangunan belia, aktiviti di bawah inisiatif Rakan Muda serta penganjuran sukan peringkat daerah yang dijangka akan menarik penyertaan ramai. Antara program yang bakal menjengah adalah Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) dan Program rakan Muda Ramadhan.
Puan Azma binti Yahya dalam ucapannya menekankan kepentingan kerjasama semua pihak dalam memastikan kejayaan setiap program yang dirancang. Beliau turut menggesa agar program-program yang dijalankan selaras dengan keperluan semasa belia serta memberi impak positif kepada pembangunan modal insan di daerah ini.
BACHOK, 10 FEBUARI 2025 – Satu sesi penilaian rasmi bagi Pegawai Penilai bersama calon Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui Portfolio Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) Menerusi Pelaksanaan Kerja Belia Tahap 3 telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Aras 1, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Program ini bertujuan untuk menilai dan mengiktiraf pencapaian calon yang telah memenuhi keperluan kompetensi dalam bidang kemahiran melalui pengalaman kerja terdahulu mereka. Sesi penilaian ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memperkukuh kebolehpasaran belia serta meningkatkan taraf kemahiran mereka melalui mekanisme pengiktirafan formal.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok turut diwakili oleh Encik Noorazihan bin Jusoh, Penolong Pegawai Belia dan Sukan yang juga merupakan salah seorang calon yang telah terpilih untuk menjadi pasukan awal dalam pelaksanaan SKM Tahap 3 di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Sesi penilaian telah dilaksanakan oleh Puan Laila Nazura binti Nawi selaku Pegawai Penilai yang telah dilantik oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.
BACHOK, 27 JANUARI 2025 – Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok telah mengadakan Majlis Taklimat Pembangunan Jajahan Bachok Sempena Lawatan Kerja YAB Dato’ Panglima Perang Menteri Besar Kelantan Ke Jajahan Bachok pada 23 Januari 2025 bertempat di Pejabat Tanah Dan Jajahan Bachok.
Sempena Lawatan Kerja tersebut juga, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nasaruddin Daud Bersama kepimpinan kerajaan negeri telah merasmikan Pembukaan Bandar Baru Jelawat pada 23 Januari 2025 yang lalu. Objektif program ini adalah untuk pembukaan bandar-bandar baru yang terancang dan tersusun yang mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan eknomi dengan mencipta peluang pekerjaan, memperkasakan perniagaan serta meningkatkan daya saing ekonomi tempatan.
Turut hadir pada program tersebut Exco Kerajaan Negeri, Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman dan Hilmi Abdullah serta Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Yang Dipertua MDBBPI, Shamsul Abu Bakar.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok
BACHOK, 23 JANUARI 2025 – Perhimpunan Bulanan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan Bil 1/2025 telah diadakan pada 22 Januari 2024 bertempat di Dewan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan bersempena lawatan kerja rasmi YABrs. Puan. Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara ke Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Pada Perhimpunan tersebut YABrs. Puan Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara telah berkesempatan hadir sama bagi bertemu dengan semua Pegawai dan Kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan Pegawai Perkhidmatan Skim Belia dan Sukan dari IKTBN Bachok, IKTBN Tanah Merah, Politeknik Jeli dan Politeknik Kota Bharu.
Objektif perhimpunan pada kali ini berfokus kepada amanat Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negara kepada warga kerja di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan berkenaan hala tuju dan gerak kerja Jabatan Belia dan Sukan Negara bagi tahun 2025 yang lebih berkesan. Dalam ucapan YABrs. Puan Ketua Pengarah, beliau mengingatkan kepada semua pegawai untuk mengukuhkan hubungan kerjasama strategik dalam meningkatkan mutu perkhidmatan awam.
Pada Perhimpunan ini juga turut diadakan Majlis Penyampaian Bantuan Misi Banjir kepada pegawai dan kakitangan yang terlibat bencana alam seperti banjir dan Majlis Persaraan Puan Wan Roslinda binti Wan Ibrahim, Pembantu Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu. Hadir sama dalam perhimpunan ini, YBrs. En. Mohd Soufi bin Mohd Ibrahim, Pengarah IKTBN Bachok dan YBrs. Dr. Mohamed Maliki bin Mohamed Rapiee, Pengarah Pusat Belia Antarabangsa.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok
Tumpat, 18 Februari 2025 - Kelab Belia Perwaris Wakaf Bharu (PERWARIS) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Kedua pada 16 Februari 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat. Kelab ini telah diluluskan pendaftaran oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia pada 5 Januari 2024. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh ahli-ahli kelab.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Encik Mohd Hasrun Bin Mohd Yusof, Pengerusi Kelab Belia Perwaris Wakaf Bharu. Agenda utama mesyuarat kali ini adalah untuk membentangkan aktiviti dan laporan kewangan sepanjang tahun 2024. Selain daripada agenda utama, mesyuarat juga membincangkan pelbagai aktiviti dan program yang bakal dilaksanakan pada tahun ini.
Harapan pengerusi agar keahlian kelab akan bertambah dan ahli-ahli sentiasa memberi komitmen di dalam melaksanakan program-program yang akan datang.
Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat
TUMPAT, 18 FEBRUARI 2025 - Pasukan DUN Pengkalan Kubor FC telah berjaya merangkul johan di dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar Kelantan 2024 yang telah diadakan pada 11 Februari 2025 bertempat di Stadium Sultan Muhammad Ke IV setelah menewaskan pasukan DUN Chetok pada perlawanan akhir dengan tendangan penalti 4-2 setelah keputusan terikat jaringan 0-0 pada masa perlawanan sebenar.
Perlawanan tersebut telah memecahkan rekod kehadiran penonton sepanjang sejarah penganjuran Piala Menteri Besar Kelantan dengan kehadiran 8,000 orang penonton. Kejohanan ini melibatkan 48 pasukan iaitu 45 pasukan yang mewakili DUN di negeri Kelantan dan 3 pasukan jemputan. Kejohanan ini telah bermula pada bulan Disember 2024 dan berakhir pada 11 Februari 2025. Pasukan DUN Pengkalan Kubor FC telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 6,000.00, medal dan piala pusingan.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan DUN Pengkalan Kubor FC di atas kejayaan menjadi johan Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar Kelantan 2024.
KELANTAN, 20 Februari 2025 – Kejohanan Sukan Raja Perfume (Rajalimpik) 2025 telah memeriahkan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Rajalimpik tersebut telah dilaksanakan pada 17 Februari 2025 yang lalu bermula jam 8.00 pagi sehingga 10.00 malam. Kejohanan ini disertai seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada pekerja-pekerja Raja Perfume dari seluruh Kelantan dengan aktiviti-aktiviti seperti Bola Tampar, Bola Jaring, Badminton dan banyak lagi yang dipertandingkan.
Kejohanan ini merupakan inisiatif Raja Perfume dalam mempromosikan aktiviti pembudayaan gaya hidup cergas selari dengan hasrat untuk pembudayaan semangat bersukan dan meningkatkan gaya hidup sihat di kalangan pekerja-pekerja untuk menyahut kempen gaya hidup sihat cergas dan aktif kearah menjadikan Malaysia sebagai Negara bersukan.
Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan sentiasa mengalu-alukan pelaksanaan program dari setiap agensi sama ada dari agensi kerajaan, swasta, persatuan, kelab, mahupun perseorangan bagi pelaksanaan aktiviti sukan, kecergasan, pertandingan dan kejohanan di Kombes Kelantan. Sebarang tempahan penggunaan kemudahan fasiliti di KOMBES Negeri Kelantan boleh layari laman web stf.kbs.gov.my
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan.