- JBS Kelantan
- Hits: 7
PROGRAM EKSPLORASI ALAM PERINGKAT NEGERI KELANTAN 2026 MERIAHKAN AKTIVITI REKREASI DAN CABARAN ALAM
Dabong, 6 September 2026 – Program Eksplorasi Alam Peringkat Negeri Kelantan 2026 telah dilaksanakan pada 4 hingga 5 September 2026 bertempat di Campsite Kenerong 108, Dabong anjuran Unit Pembangunan Rekreasi, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dengan kerjasama Kelab Sukan Rekreasi Natura dan Team Geopark Dabong. Program ini merupakan salah satu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan memperkasakan aktiviti sukan dan rekreasi luar dalam kalangan belia serta masyarakat, di samping memberi peluang kepada peserta menikmati pengalaman meneroka keindahan alam semula jadi.
Program ini memberi penekanan kepada aktiviti eksplorasi melalui pengisian program seperti ikhtiar hidup, kraf perkhemahan, asas pertolongan cemas, tubing, meneroka gua serta pembinaan semangat berpasukan, ketahanan diri, kepimpinan dan penerapan nilai kecintaan terhadap alam sekitar. Para peserta turut berpeluang menguji kemampuan diri melalui pelbagai aktiviti rekreasi yang mencabar, menyeronokkan dan menggalakkan gaya hidup aktif.
En. Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah (Sukan), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dalam ucapan perasmiannya menyatakan penganjuran program ini menjadi platform untuk memperkenalkan kepelbagaian aktiviti rekreasi luar serta meningkatkan kesedaran peserta mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar. Pengalaman yang diperoleh sepanjang program diharap dapat membentuk keyakinan diri, disiplin dan semangat kerjasama dalam kalangan peserta.
Diharapkan penganjuran program ini dapat terus menyemarakkan budaya bersukan dan berekreasi dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, serta menjadikan aktiviti luar sebagai medium untuk membina sahsiah, kecergasan fizikal dan hubungan yang lebih erat antara peserta.
Program ini juga diharapkan dapat menjadi wadah dalam melahirkan generasi yang berani meneroka, cekal menghadapi cabaran dan pada masa yang sama menghargai serta memelihara khazanah alam semula jadi. Turut bersama Puan Ainaa Diyyana binti Mokhtar, Pegawai Pembangunan Rekreasi, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan serta Saudara Ropaiza bin Muhamad, Pengerusi Kelab Sukan Rekreasi Natura.
“JOM TEROKAI ALAM, CABAR DIRI & CIPTA MEMORI!”
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #JBSNKelantan #MalaysiaMADANI #RakanMuda #MalaysiaAktif
Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia
JBSNegara
belia.my
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Bahagian Pembangunan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan
- JBS Kelantan
- Hits: 7
