- JBS Kelantan
- Hits: 26
"MELANGKAH BERSAMA, MEMBINA JATI DIRI" KEM BELIA @ RAKAN PRIHATIN PERINGKAT DAERAH PASIR PUTEH
PASIR PUTEH, 10 SEPTEMBER 2026 - Kem Belia @Rakan Prihatin Peringkat Daerah Pasir Puteh telah melabuhkan tirainya setelah berlangsung selama tiga hari, bermula 7 hingga 9 September 2026 bertempat di Tanjung Demong Beach Resort, Besut, Terengganu.
Program yang melibatkan seramai 50 orang peserta daripada tujuh buah sekolah di sekitar daerah Pasir Puteh ini merupakan satu inisiatif dalam usaha membentuk generasi muda yang mempunyai jati diri, sahsiah terpuji serta mampu menjadi individu yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Kem ini memberi penekanan kepada beberapa objektif utama, antaranya membentuk sahsiah dan jati diri peserta, memupuk nilai integriti, meningkatkan kemahiran komunikasi, membina semangat kerja berpasukan, memupuk kepimpinan serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan gaya hidup sihat dan bebas daripada gejala sosial.
Sepanjang tiga hari program, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti dan pengisian yang bermanfaat dengan kerjasama serta perkongsian daripada beberapa agensi dan organisasi, antaranya IPSAS UPM, AADK, KKM dan PDRM.
Pelbagai aktiviti berbentuk pembangunan diri, pembinaan karakter, kerja berpasukan dan kesedaran sosial telah disusun bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada para peserta. Pengisian tersebut diharapkan dapat membantu peserta mengaplikasikan nilai-nilai positif yang dipelajari dalam kehidupan seharian, khususnya ketika berada di sekolah, dalam keluarga serta dalam komuniti.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Shamsudin bin Haji Musa, Timbalan Pegawai PPD Pasir Puteh (Sektor Pembangunan Murid) dan turut dihadiri oleh Puan Masyitah Fadillah bt Rosdi, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian beberapa anugerah kepada peserta sebagai penghargaan terhadap penglibatan, komitmen dan pencapaian mereka sepanjang kem berlangsung. Antara penerima anugerah ialah Peserta Lelaki Terbaik, Saudara Muhammad Danial Asyraaf bin Nd Alamin, dan Peserta Wanita Terbaik, Saudari Nurul Faqihah Maisarah binti Mohd Fadli.
Penganjuran Kem Belia @Rakan Prihatin ini diharapkan dapat menjadi platform berkesan dalam melahirkan golongan belia yang lebih berkeyakinan, berintegriti, berdisiplin dan mampu bekerjasama dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #MalaysiaMADANI
Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia
Rakan Muda
- JBS Kelantan
- Hits: 26
