PASIR MAS, 26 April 2026 – Penilaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) telah dilaksanakan bagi menilai individu yang layak menerima pengiktirafan dan penghargaan atas sumbangan mereka terhadap pembangunan belia di peringkat komuniti dan negara.
Penilaian bagi kategori lelaki telah berlangsung pada 26 April 2026 bertempat di Dewan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Pasir Mas telah menghantar dua (2) orang peserta bagi kategori lelaki, iaitu Saudara Nik Muhammad Arash bin Mohd Mustaman dan Muhamad Adam Imra bin Muhamad Masuki sebagai wakil daerah Pasir Mas. Mereka masing-masing mewakili Pertubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Daerah Pasir Mas.
Kedua-dua peserta telah membentangkan sumbangan serta program yang telah dilaksanakan di peringkat antarabangsa dan komuniti.
Penilaian APBN ini merangkumi pelbagai aspek, termasuk sumbangan kepada komuniti, tahap pengiktirafan, serta sahsiah diri calon. Penilaian tersebut dijalankan oleh tiga (3) orang panel yang berpengalaman dalam pelbagai bidang.
Semoga kejayaan berpihak kepada wakil daerah Pasir Mas pada tahun ini.
TUMPAT, 24 MEI 2026 – Kejohanan bola tampar sempena Liga Sukan Komuniti Peringkat Daerah Tumpat pada 22 hingga 23 Mei 2026 bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat telah berlangsung dalam suasana penuh meriah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pasukan-pasukan sekitar daerah ini. Kejohanan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat ini bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama dan kesukanan dalam kalangan masyarakat setempat.
Sepanjang kejohanan berlangsung, para peserta telah mempamerkan aksi permainan yang kompetitif, berdisiplin dan penuh semangat berpasukan. Sokongan daripada komuniti dan penyokong turut menambahkan kemeriahan suasana pertandingan.
Kejohanan diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah oleh Puan Hazmanita binti Che Hamid, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tumpat kepada pasukan-pasukan pemenang sebagai penghargaan atas prestasi dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang pertandingan berlangsung.
Johan telah dimenangi oleh Pasukan Berangan VC A selepas menewaskan pasukan Jawhead VT dalam perlawanan akhir. Tempat ketiga bersama pula dimenangi oleh pasukan Padang Tembesu B dan Berangan VC B. Johan membawa pulang wang tunai RM500.00 beserta medal, cek cura dan sijil. Naib Johan membawa pulang wang tunai RM300.00 beserta medal, cek cura dan sijil manakala tempat ketiga dan ketiga bersama membawa pulang wang tunai berjumlah RM200.00 beserta medal, cek cura dan sijil.
Johan dan Naib Johan akan mewakili Daerah Tumpat ke Liga Sukan Komuniti Peringkat Negeri Kelantan yang dijadualkan akan berlangsung pada bulan Julai 2026.
Penganjuran Liga Sukan Komuniti bukan sahaja menjadi platform pembangunan sukan di peringkat akar umbi, malah membantu mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
TANAH MERAH, 23 Mei 2026 – Kelab Badminton Al-Mustaqim, Tanah Merah telah berjaya menganjurkan Karnival Sukan Ukhuwah Belia dan Keluarga 2026 yang berlangsung pada 22 hingga 23 Mei 2026 bertempat di Dewan Badminton Ustaz Li, Tanah Merah.
Penganjuran karnival ini merupakan inisiatif pihak kelab dalam memperkasakan aktiviti sukan komuniti serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan belia dan institusi kekeluargaan melalui penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia menerusi Dana Sukan Komuniti (DSK) Tahun 2026 yang bertujuan memperluaskan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi secara sihat serta inklusif. Selain itu, inisiatif ini juga dilaksanakan bagi menyokong penganjuran program sukan di peringkat komuniti agar lebih tersusun, menyeluruh dan mampu memberikan impak positif kepada masyarakat setempat.
Sepanjang karnival berlangsung, pelbagai aktiviti dan pertandingan telah diadakan dengan penyertaan yang amat memberangsangkan daripada komuniti setempat. Suasana program berlangsung dengan penuh semangat kesukanan, kerjasama dan ukhuwah dalam kalangan peserta serta pengunjung yang hadir.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Encik Ismafardi bin Ismail, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah serta Encik Ahmad Ridhwan bin Zazani, Pembantu Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah. Kehadiran mereka bukan sahaja menyuntik semangat kepada para peserta, malah turut memberi inspirasi kepada golongan belia agar terus aktif melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan pembangunan komuniti.
Pihak penganjur berharap agar penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform melahirkan masyarakat yang aktif, bersatu padu dan mengamalkan gaya hidup sihat.
TANAH MERAH, 24 Mei 2026 – Tahniah diucapkan kepada wakil Daerah Tanah Merah, Saudara Ahmad Izudeen bin Mohammed Anuar Mushoddad yang telah berjaya merangkul Johan Kategori Individu Lelaki dalam Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026.
Kejayaan tersebut membolehkan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000.00, piala iringan serta sijil penyertaan sebagai penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan cemerlang beliau dalam pembangunan belia di negeri Kelantan.
Anugerah berprestij tersebut telah disampaikan oleh YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj bin Tengku Feissal, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, dan diiringi oleh YBrs Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Majlis penyampaian anugerah tersebut telah berlangsung dengan meriah pada 23 Mei 2026 (Sabtu) bertempat di AEON Mall Kota Bharu dan menghimpunkan para pemimpin belia serta penerima anugerah dari seluruh Negeri Kelantan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Encik Wan Abdul Rahman bin Haji Wan Ismail, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah bersama pegawai serta kakitangan PBSD Tanah Merah bagi memberikan sokongan dan suntikan semangat kepada calon-calon yang bertanding dalam anugerah tersebut.
Kejayaan ini diharapkan menjadi inspirasi kepada golongan belia khususnya di daerah Tanah Merah untuk terus aktif, berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan komuniti serta negara. Sekalung tahniah dan syabas diucapkan atas pencapaian yang membanggakan ini.
KUALA KRAI, 24 Mei 2026 – Kejohanan Bola Tampar Lelaki Liga Sukan Komuniti bagi Daerah Kuala Krai telah berlangsung pada 23 Mei 2026 bertempat di Gelanggang Bola Tampar Arena Cendekia Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh, Kuala Krai berlangsung dengan jayanya dan telah menarik penyertaan pelbagai pasukan dari sekitar daerah ini yang terdiri daripada pelbagai komuniti dan agensi.
Kejohanan ini merupakan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai dengan Kerjasama Kelab Ping Pong Gu Krey dan Jawatankuasa Teknik Bola Tampar Daerah Kuala Krai yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, merapatkan hubungan silaturahim serta mencungkil bakat baharu dalam kalangan masyarakat melalui platform sukan komuniti ini.
Sebanyak 11 pasukan telah berentap dan mempamerkan aksi yang menarik dan dengan penuh semangat kesukanan. Pasukan XKVB muncul johan selepas menewaskan pasukan Street Spiker A dalam perlawanan akhir manakala tempat ketiga bersama pula masing-masing dimenangi oleh pasukan Arab dan pasukan Street Spiker B.
Sepanjang kejohanan berlangsung, para peserta mempamerkan aksi permainan yang bertenaga, berdisiplin dan penuh semangat berpasukan. Sokongan padu daripada para penyokong dan komuniti setempat turut menambahkan kemeriahan kejohanan.
Johan telah membawa pulang wang tunai RM500.00 beserta medal, cek cura dan sijil. Naib Johan membawa pulang wang tunai RM300.00 beserta medal, cek cura dan sijil manakala tempat ketiga dan ketiga bersama membawa pulang wang tunai berjumlah RM200.00 beserta medal, cek cura dan sijil. Johan dan Naib Johan akan mewakili Daerah Kuala Krai ke Liga Sukan Komuniti Peringkat Negeri Kelantan yang dijadualkan akan berlangsung pada bulan Julai 2026.
Upacara penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurkan oleh Yang Berusaha Puan Rosnani Binti Haji Abdulah Zawawi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai yang turut berkesempatan menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan ini sebagai tanda sokongan kepada para peserta kejohanan.
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai
KOTA BHARU – Aktivis belia dari Kuala Krai, Nursarida Anis binti Sa’Ari berjaya mengharumkan nama daerah apabila dinobatkan sebagai Naib Johan Kategori Individu Wanita sempena Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan 2026.
Beliau yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah Undang-Undang dengan Kepujian dari Universiti Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah kini berkhidmat sebagai pendidik serta aktif dalam pelbagai kerja-kerja kesukarelawanan, kebajikan dan kemanusiaan.
Sebagai Timbalan Pengerusi Kelab Beliawanis Halwanis Kuala Krai, beliau turut berjaya melaksanakan Misi Rentas Sempadan Malaysia–Selatan Thailand bagi menyampaikan naskhah al-Quran kepada golongan belia yang memerlukan di Selatan Thailand.
Kemenangan tersebut melayakkan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 berserta trofi, sijil penghargaan dan cek cura sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan aktif dalam pembangunan belia dan komuniti. Tahniah NurSarida Anis
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai
KOTA BHARU, 23 Mei 2026 – Festival Belia @ Hari Belia Negara (FB@HBN) Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 22-23 Mei 2026 di AEON Mall, Kota Bharu telah berjaya menghimpunkan golongan belia dari seluruh negeri dalam suasana penuh meriah, aktif dan bertenaga.
Penganjuran festival ini menampilkan pelbagai pengisian menarik yang memberi fokus kepada pembangunan belia secara holistik menerusi empat segmen utama iaitu segmen penciptaan dan peluang pekerjaan, segmen kepimpinan dan kesukarelawan, segmen Malaysia Aktif serta segmen kebudayaan, kesenian dan muzik.
Sepanjang program berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran agensi kerajaan dan swasta, jualan usahawan belia, sukan rekreasi, e-sukan, pertandingan kebudayaan, persembahan seni serta pelbagai aktiviti interaktif yang berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat khususnya golongan belia.
Antara acara yang mendapat sambutan luar biasa ialah EDstore Neon Fun Walk yang berlangsung dalam suasana penuh ceria dan berwarna-warni. Program berjalan malam tersebut berjaya menarik penyertaan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, keluarga dan komuniti setempat.
Majlis kemuncak festival diteruskan dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj bin Tengku Feissal, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. Hadir sama Dr. Wan Nur Ibtisam Wan Ismail, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan, En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelatan, Sdr. Khairul Azahar bin Kamaruzaman, Presiden Majlis Gabungan Belia Kelantan dan En. Shamsuhaimie bin Nasir, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negara. Turut berlangsung ialah Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 yang mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangan belia dalam pembangunan masyarakat. Anugerah tersebut melibatkan tiga kategori utama iaitu kategori pertubuhan belia, individu lelaki dan individu wanita sebagai penghargaan kepada belia yang aktif serta cemerlang dalam pelbagai bidang.
Festival turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik kepada para pengunjung dan peserta. Hadiah utama berupa sebuah motosikal elektrik Lion G1 EV merupakan sumbangan JDMH Autopro Sdn. Bhd. Selain itu, sebuah televisyen 72 inci tajaan EDstore, sebuah peti ais tajaan By Chefiza serta 2 gram gold bar tajaan Public Gold PG1M Millionaires turut menjadi antara hadiah utama yang dinanti-nantikan.
Penutup Festival Belia @ Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 diserikan dengan Malam Yaya Empire selaku penaja utama program yang menampilkan persembahan artis-artis terkenal tanah air seperti Dato’ Jamal Abdillah, Ameng Spring, Azmani Kulit, Ezeri Layang Putih dan Adam ZBP. Persembahan tersebut berjaya menarik ribuan pengunjung dan menutup tirai festival dalam suasana penuh meriah serta menghiburkan. Penganjuran festival ini diharapkan dapat terus menjadi platform terbaik dalam memperkasa pembangunan belia, mencungkil bakat dan potensi anak muda serta memperkukuhkan hubungan antara belia dan masyarakat di Negeri Kelantan.
KOTA BHARU, 23 Mei 2026 – Kejohanan Pickleball sempena Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Kelantan telah berlangsung dengan meriah di 91 Pickleball Clubhouse, AEON Kota Bharu hari ini. Kejohanan yang dianjurkan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada golongan belia dan peminat sukan pickleball di negeri ini. Pertandingan mempertandingkan dua kategori iaitu Men’s Double dan Women’s Double dengan penyertaan sebanyak lapan pasangan bagi setiap kategori.
Program ini bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan pickleball, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan belia serta memupuk gaya hidup sihat dan aktif. Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan . Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, penganjur dan pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan tersebut. Program ini telah menerima Suntikan dari Kementerian Belia dan Sukan melalui Dana Sukan Komuniti (DSK) 2026.
Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Kelantan terus dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sukan, rekreasi dan program belia yang menarik bagi menyemarakkan semangat anak muda di negeri ini.
KOTA BHARU, 23 Mei 2026 – Pertandingan Silat Seni dan Himpunan Silat sempena Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Kelantan telah berlangsung dengan penuh meriah di AEON Mall Kota Bharu pada 22 hingga 23 Mei 2026.
Program yang menghimpunkan penggiat seni silat dari seluruh negeri ini berjaya menarik perhatian pengunjung dengan pelbagai persembahan seni mempertahankan diri yang penuh semangat, disiplin dan warisan budaya Melayu. Dua kategori telah dipertandingkan iaitu kategori putera dan puteri yang menyaksikan penyertaan belia berbakat daripada pelbagai persatuan silat di Kelantan.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Kehadiran beliau turut menyerikan program serta menjadi simbol sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan dan warisan budaya dalam kalangan belia negeri ini.
Pertandingan ini dianjurkan bagi memartabatkan seni warisan bangsa di samping memberi ruang kepada generasi muda untuk mengetengahkan bakat dan kemahiran dalam bidang persilatan. Selain pertandingan, program turut menjadi platform mengeratkan ukhuwah antara persatuan silat dan komuniti belia di Kelantan.
Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026 membawa tema “Menggerak Belia Madani” dengan pelbagai pengisian bermanfaat yang memfokuskan pembangunan belia aktif, kreatif dan berdaya saing.