KOTA BHARU, 27 Mac 2025 – Majlis Berbuka Puasa bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan telah diadakan semalam bertempat di Padang Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Program ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara semua pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan sambil menikmati keberkatan bulan Ramadan.
Majlis ini turut diserikan dengan pelbagai juadah berbuka puasa iaitu menu utama adalah Gulai Rusa, Ayam Percik, Lemak Daging Bakar, Ayam Panggang, Aneka Air Balang dan pelbagai kuih-muih. Kehadiran pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan mencerminkan semangat kebersamaan dan ukhwah yang kukuh dalam keluarga Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan di bawah pimpinan YBrs En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Disediakan oleh : Urus setia Portal Bahagian Pentadbiran, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
KOTA BHARU, 26 Mac 2025, Rabu – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSNK) telah mengadakan Perhimpunan Bulanan Pegawai dan Kakitangan bertempat di Dewan Malaysia, (JBSNK). Perhimpunan bulanan ini diadakan bertujuan untuk menyemai nilai-nilai murni dan memupuk semangat bergerak ke arah satu haluan bagi mencapai matlamat pembangunan dan kesejahteraan negara di kalangan warga (JBSNK). Nilai-nilai murni seperti benar, amanah, adil, bijaksana, telus, bersyukur, bertanggungjawab dan berdisiplin perlu disemai dan dijadikan teladan dalam perkhidmatan ini.
Atur cara perhimpunan bulanan ini dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, nyanyian lagu Selamat Sultan, Bacaan Ikrar Penjawat Awam serta amanat yang telah disampaikan oleh Tuan Mohd Saipuddin bin Zakaria , Pengarah (JBSNK). Turut diadakan Penyampaian Anugerah bagi Program The Biggest Loser Challenge @ JBSNK 2025 yang telah di sertai oleh Pegawai dan kakitangan di Jabatan. Seramai 5 (lima) orang pemenang telah menerima hadiah wang tunai yang disampaikan oleh Tuan Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah (JBSNK) dan diiringi oleh Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Sukan (JBSNK). Objektif program ini adalah untuk memastikan kakitangan JBSNK mempunyai berat badan yang ideal dan mengamalkan kehidupan gaya hidup sihat dan membudayakan pengamalan gaya hidup sihat.
Berikut adalah senarai Pemenang Program The Biggest Loser Challenge @ JBSNK 2025 :- 1.PUAN ROZILAWATI BINTI ABDUL RAHMAN (PENURUNAN SEBANYAK 3.9 KG) 2.ENCIK SYED ABDUL AZIZ BIN ENGKU CHIK ABDULLAH (PENURUNAN SEBANYAK 3.8 KG) 3.ENCIK MOHD SAIPUDDIN BIN ZAKARIA (PENURUNAN SEBANYAK 3.6 KG) 4.HAZRI NIZAM BIN ZAKARIA (PENURUNAN SEBANYAK 3.5 KG) 5.SITI SURIATI BINTI ZAKARIA (PENURUNAN SEBANYAK 3.4 KG)
Pada Majlis Perhimpunan Bulanan ini, diserikan dengan Tazkirah Ramadan yang bertajuk Ramadan yang Terakhir telah disampaikan oleh Ustaz Saibon bin Ismail, Pegawai Agama Jajahan Kuala Krai. Malam sepuluh terakhir Ramadan dikenali dengan kehadiran Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam ini, ganjaran ibadah dilipat gandakan dengan luar biasa. Antara amalan yang dianjurkan ialah Memperbanyakkan Ibadah Malam (Qiamullail), Memberi sedekah dan membantu sesama, I’tikaf di Masjid dan Mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan komuniti. Pada penghujung Program turut diadakan Majlis Berbuka Puasa beramai-ramai bertempat di Padang Kompleks Belia dan Sukan Panji.
Disediakan oleh: Urusetia Portal Bahagian Pentadbiran, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan
TUMPAT, 27 Mac 2025 – Masjid Warisan Kampung Laut, Tumpat bergema dengan alunan ayat suci Al-Quran dalam Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Program Ekspresi Rakan Muda Ramadan Peringkat Daerah Tumpat yang berlangsung dengan penuh kemeriahan dan keberkatan semalam. Majlis ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi juga menjadi wadah menyuburkan kecintaan terhadap Al-Quran serta memperkukuhkan penghayatan Islam dalam kalangan belia Tumpat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran secara beramai-ramai oleh 80 peserta yang terdiri daripada 4 masjid sekitar Daerah Tumpat. Saat yang dinantikan tiba apabila bacaan doa khatam dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Habibullah Bin Hussian, mencipta suasana penuh syahdu dan keinsafan. Tazkirah ringkas yang disampaikan turut mengingatkan hadirin tentang keutamaan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Seterusnya majlis diteruskan lagi dengan ucapan aluan oleh YABrs Tuan Mohamad Nazwan Bin Ismail, Yang Dipertua Majlis Daerah Tumpat serta ucapan perasmian penutup bagi Program Perkampungan Ramadan dan Program Ekspresi Rakan Muda Ramadan Peringkat Daerah Tumpat daripada YB Dato’ Bentara Kanan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob, ADUN Pasir Pekan. Beliau yang dalam ucapan perasmiannya telah mengucapkan syabas dan tahniah serta harapan kepada peserta-peserta yang diraikan dalam majlis ini agar menghargai kesungguhan mereka dalam menamatkan hafazan dengan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan hafazan 30 juzuk.
Majlis ini juga turut diserikan dengan penyampaian sijil penyertaan dan sumbangan kepada pembimbing tadarus dan peserta-peserta yang terlibat. Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan melalui Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat kekal komited dalam usaha menyemarakkan nilai-nilai Islam dan akan terus menganjurkan program-program berbentuk keagamaan bagi memantapkan keimanan serta memperkukuhkan jati diri belia daerah Tumpat.
TUMPAT, 27 MAC 2025 - Mesyuarat Penyelarasan Liga Sukan Komuniti Peringkat Daerah Tumpat bersama penyelaras teknikal sukan telah diadakan pada 25 Mac 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat. Taklimat telah disampaikan oleh Encik Mohamad Saupi bin Ibrahim, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tumpat.
Program LSK merupakan program sukan yang berbentuk pertandingan dan dilaksanakan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Program ini dilaksanakan untuk memupuk minat dan menarik penyertaan lebih ramai dari pelbagai peringkat umur di peringkat akar umbi ke arah melahirkan masyarakat berbudaya sukan untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Sukan (Sporting Nation).
Setiap daerah wajib melaksanakan 3 jenis sukan iaitu bola jaring, ping pong dan sepak takraw. LSK peringkat Daerah Tumpat dijangka akan berlangsung pada bulan April nanti. Johan dan Naib Johan pertandingan LSK Peringkat Daerah akan mewakili daerah ke Peringkat Negeri.
PASIR PUTEH, 27 MAC 2025 : Jaringan hubungan antara Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh dengan Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh diteruskan untuk pembangunan potensi pelajar Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh dengan aktiviti-aktiviti bahagian belia, sukan dan rakan muda. Salah satu skor utama adalah Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda yang bakal diadakan pada tahun ini.
Satu pertemuan telah diadakan untuk memberi penerangan kepada pihak pengurusan sekolah mengenai pelaksanaan Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda setelah kebenaran untuk berkolaborasi dengan pihak sekolah diperoleh daripada Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh.
Program ini telah terbukti dapat memberi impak yang positif kepada pelajar dalam membentuk personaliti dan jatidiri yang unggul serta menanamkan nilai kesukarelawan yang tinggi.
Kehadiran PBSDPP telah disambut mesra oleh Puan Rosilawati binti Yusof, Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh dan Encik Aziz bin Ab Rahman, Penolong Kanan Ko-Kurikulum. Hadir sama Encik Rosshazelan bin Sulaiman, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh.
Tanah Merah, 25 Mac 2024 – Kelab Belia Generasi Penggerak Ummah (GPU) telah menganjurkan sebuah program kebajikan yang penuh bermakna di Masjid Saidina Osman, Tepi Sungai Tanah Merah , bagi menyantuni asnaf dan anak-anak yatim di daerah ini. Program ini bertujuan menyemarakkan semangat Ramadhan dengan nilai kasih sayang dan kepedulian terhadap golongan yang memerlukan.
Program ini dimeriahkan dengan kehadiran Sdr Hafizul Nizam Bin Abdullah , Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Tanah Merah, dan En Mohd Azmi Bin Abdullah , yang hadir mewakili YBhg Datuk Wan Rakemi Wan Zahari . Kehadiran mereka bukan sahaja memberikan sokongan moral kepada program ini tetapi juga melambangkan kepentingan perpaduan dan kebersamaan dalam menyantuni masyarakat.
Antara pengisian utama program adalah penyampaian Bakul Makanan Raya kepada setiap asnaf dan anak yatim yang hadir. Inisiatif ini bertujuan membantu meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri, sekali gus membawa kegembiraan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Program ini turut diserikan dengan penyampaian Baju Raya kepada semua ahli Kelab Belia GPU sebagai tanda penghargaan dan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli kelab.
Suasana di perkarangan masjid penuh dengan aura kasih sayang, kesyukuran, dan keikhlasan apabila para peserta bersama-sama menjalankan aktiviti ini. Program ini menjadi bukti bahawa amalan kebajikan dan nilai perpaduan dapat diwujudkan apabila masyarakat dan pemimpin belia bersatu untuk kebaikan bersama. Kelab Belia GPU berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk membantu golongan yang memerlukan, di samping memperkukuhkan ukhuwah Islamiyah di Tanah Merah. Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan Allah SWT dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah
Tanah Merah, 24 Mac 2025 – Kelab Belia Generasi Penggerak Ummah telah berjaya menganjurkan Majlis Iftar Perdana dengan penuh keberkatan di Padang Majlis Daerah Tanah Merah pada 23 Mac 2025. Majlis tersebut menjadi medan untuk mengeratkan ukhuwah Islamiyah dan menyemarakkan semangat Ramadan dalam kalangan ahli kelab. Majlis dimulakan dengan usrah ringkas yang membicarakan tentang kepentingan ukhuwah sebagai asas kepada kekuatan dan kesejahteraan umat Islam. Usrah ini berjaya mengetengahkan mesej tentang bagaimana ukhuwah yang erat dapat mencipta masyarakat yang harmoni dan saling menyokong dalam menjalani kehidupan seharian. Selepas itu, hadirin bersama-sama melaksanakan majlis tahlil sebagai tanda memperingati dan mendoakan kesejahteraan roh orang-orang yang telah pergi. Suasana penuh khusyuk dan harmoni dapat dirasakan sewaktu bacaan tahlil dijalankan secara berjemaah.
Keceriaan majlis bertambah apabila acara diteruskan dengan cabutan bertuah , yang menawarkan hamper keperluan makanan sebagai hadiah kepada peserta bertuah. Hadiah ini bukan sahaja menjadi daya tarik acara, tetapi juga simbol pemberian rezeki dan keprihatinan pengurusan Kelab Belia Generasi Penggerak Ummah kepada semua ahli. Tepat ketika azan Maghrib berkumandang, hadirin berbuka puasa bersama-sama dalam suasana harmoni dengan hidangan yang enak dan menyelerakan. Aktiviti berbuka puasa ini menjadi kemuncak kepada majlis, memperlihatkan keindahan bulan Ramadan sebagai peluang untuk berbagi nikmat dan menyemai kasih sayang dalam komuniti. Majlis Iftar Perdana ini bukan sekadar sebuah acara, tetapi juga manifestasi semangat kebersamaan, keprihatinan, dan kecintaan terhadap nilai-nilai Islam. Kelab Belia Generasi Penggerak Ummah berharap agar aktiviti seperti ini dapat diteruskan untuk menyemai ukhuwah dan menyemarakkan semangat Islam di masa akan datang. Semoga program ini mendapat keberkatan Allah SWT dan menjadi inspirasi untuk memperkukuhkan hubungan sesama komuniti belia di Tanah Merah.
Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah
Kota Bharu, 25 Mac 2025 - Telah berlangsung Tayangan Skrin Besar Aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menyaksikan pertemuan di antara Malaysia menentang Nepal berkesudahan dengan keputusan 2-0.
Dengan kelebihan sebagai tuan rumah, debut oleh pemain warisan negara Hector Hevel tampak bermula dengan langkah kanan apabila berjaya menjaringkan gol pertama buat Malaysia pada minit ke-30. Sepakan leret yang deras terus meluru ke arah gol. Tidak terhenti disitu, pergerakan menarik dari situasi bola mati telah memastikan Malaysia berjaya mendapat gol kedua.
Gandingan Endrick, Ariff berjaya membolehkan Corbin Ong mudah meletakkan bola ke dalam gawang pada minit ke-70 sebelum terbias dan menggegar gawang gol Nepal. Kehadiran penonton pada tayangan skrin besar ini dianggarkan seramai 350 orang telah hadir membanjiri perkarangan tempat parkir Dermasiswa Harmoni, Politeknik Kota Bharu. Pelbagai aktiviti menarik turut dijalankan seperti Mari mencuba Sepakan Penalti, Dart, sepak penalti dan cabutan bertuah.
Hadir menyaksikan perlawanan ini adalah En. Mohd Saipuddin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia Negeri Kelantan, Dr. Hj Mohd Daud bin Isa, Pengarah Politeknik Kota Bharu, En. Fathuddin Aizat bin Che Mohd Ariff, Pengarah Kolej Komuniti Pasir Mas. Turut Hadir sama En. Hazri Nizam Zakaria (TP Sukan, JBS Kelantan), En. Wan Mohd Erfan (Peg. Belia & Sukan Daerah Tumpat), En. Syed Abd. Aziz (Peg. Belia & Sukan Daerah Kota Bharu) dan En. Ahmad Shauki bin Saad (Peg. Peggalakan Sukan, BPS, KBS. Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan Harimau Malaya kerana telah berusaha keras dalam menyekat kemaraan Nepal.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Bahagian Pembangunan Sukan JBSNK
KELANTAN, 24 MAC 2025 – Ramadan Gathering Kelantan 2025 telah dilaksanakan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan (KOMBES Kelantan) pada 18 Mac 2025 yang lalu. Program tersebut telah dianjurkan oleh Pertubuhan Mukmin Perintis untuk menghidupkan suasana ramadan sempena Hari Nuzul Al-Quran . Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan pada hari tersebut antaranya adalah pertandingan mewarna dan bercerita kanak-kanak, kuiz Al-Quran dan tazkirah Nuzul Al-Quran yang berlangsung bermula jam 8.00 pagi sehingga 6.00 petang. Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan sentiasa mengalu-alukan pelaksanaan program dari setiap agensi sama ada dari agensi kerajaan, swasta, persatuan, kelab, mahupun perseorangan bagi pelaksanaan aktiviti sukan, kecergasan, pertandingan dan kejohanan di Kombes Kelantan. Sebarang tempahan penggunaan kemudahan fasiliti di KOMBES Negeri Kelantan boleh layari laman web stf.kbs.gov.my . #TEAMJBSNK #KOMBESKELANTAN #MalaysiaMADANI
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan.