MACHANG, 12 MAC 2025 – Sesi penilaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan 2025 bagi Kategori Individu Wanita telah diadakan pada 11 Mac 2025 di Dewan Malaysia, Kompleks Belia dan Sukan Panji, Kota Bharu.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Machang telah menghantar penyertaan seramai 2 orang calon wanita iaitu Saudari Norfatin Farhah binti Abdullah dan Saudari Zulfa Nazifah binti Azhar.
Semoga penyertaan Saudari Norfatin Farhah dan Saudari Zulfa Nazifah dalam APBN Peringkat Negeri Kelantan 2025 mendapat kejayaan.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang
MACHANG, 12 MAC 2025 – Sesi penilaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan 2025 bagi Kategori Individu Lelaki telah diadakan pada 10 Mac 2025 di Dewan Malaysia, Kompleks Belia dan Sukan Panji.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Machang telah menghantar penyertaan seramai 2 orang calon lelaki iaitu Saudara Muhammad Ni’am bin Mohd Zuhairy dan Saudara Ahmad Zaim bin Anuar.
Semoga penyertaan Saudara Muhammad Ni’am dan Saudara Ahmad Zaim dalam APBN Peringkat Negeri Kelantan 2025 mendapat kejayaan.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang
MACHANG, 10 MAC 2024 – Panel Penilai Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan 2025 telah mengadakan lawatan ke premis Kelab Belia Seni Warisan Pusaka Kemunchup kerana telah terpilih antara 5 pertubuhan belia terbaik dalam saringan awal bagi Kategori Pertubuhan Belia APBN Peringkat Negeri Kelantan 2025 pada 8 Mac 2025 di Masjid Mukim Kemunchup.
Tujuan penilaian secara lawatan ke premis adalah bagi memastikan kesahihan maklumat yang dikemukakan oleh pertubuhan melalui dokumen serta pelaksanaan temuduga secara bersemuka dapat dilaksanakan. Melalui lawatan tersebut juga para panel berkesempatan melihat sendiri potensi sesebuah pertubuhan serta impak yang dilaksanakan oleh pertubuhan kepada komuniti.
Barisan panel penilai diketuai oleh Encik Mod Nadzri bin Yaacob, Alumni KBS - Mantan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan selaku Ketua Panel Penilai; Puan Nurhamizah binti Kamarun Majif, Penolong Pendaftar Pejabat Pertubuhan Belia KBS selaku Panel 1 dan Puan Rohani binti Abu Hassan, Mantan YDP Majlis Belia Negeri Kelantan selaku Panel 2. Manakala Puan Naziah binti Dollah, Timbalan Pengarah (Belia), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan turut hadir sebagai pegawai pemerhati. Semoga Kelab Belia Seni Warisan Pusaka Kemunchup berjaya dalam penilaian ini dan selamat maju jaya.
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang
KOTA BHARU, 12 Mac 2025, Rabu (11 Ramadan 1446H). Syarikat Maxis Broadband telah membuat kunjungan hormat ke Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Kunjungan hormat ini bertujuan membincangkan potensi kolaborasi kerjasama yang boleh dijalankan antara Syarikat Maxis Broadband dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan antaranya ialah Sektor Pakej Promosi Hotlink Khas yang menawarkan pelbagai kemudahan dan tawaran menarik untuk golongan belia, bagi memudahkan akses kepada komunikasi dan teknologi digital, Perkongsian ilmu dalam kepakaran bidang teknologi digital, inovasi dan keusahawanan, peluang kerjaya kepada belia Kelantan melalui program Latihan, Latihan industri serta peluang pekerjaan di Maxis serta Program-program kemasyarakatan iaitu memberi sokongan kepada pelbagai program seperti Program Pembangunan Belia , aktiviti sukarelawan dan projek kemasyarakatan yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan komuniti tempatan.
Tuan Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan bersama Puan Naziah bt Dollah, Timbalan Pengarah (Belia), Encik Hazri Nizam bin Zakaria Timbalan Pengarah (Sukan) serta pegawai-pegawai dari setiap bahagian iaitu Bahagian Sukan, Belia dan Rakan Muda telah menyambut baik kedatangan pihak Syarikat Maxis Broadband ke Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Disediakan oleh: Urusetia Portal Bahagian Pentadbiran, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan
KOTA BHARU, 6 Mac 2025, Khamis (5 Ramadan 1446H). Bahagian Pentadbiran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan telah mengadakan Program Tazkirah setiap hari khamis pada setiap minggu sepanjang bulan Ramadhan.
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang dipenuhi dengan keberkatan dan kerahmatan Allah. Kehadirannya sangat dinanti-nanti dengan penuh kegembiraan bagi meraih ganjaran yang dijanjikan kepada hambaNya yang berpuasa dan melakukan amal soleh. Umat Islam akan berlumba-lumba melakukan segala amalan soleh dan memanfaatkan setiap detik yang ada untuk mencari keredhaan Allah. Tazkirah ini telah disampaikan oleh Ustaz Faisal bin Abdullah, Pengerusi Wardah Pencerdasan Umat Malaysia Cawangan Negeri Kelantan, dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Tazkirah yang disampaikan adalah bertajuk “Surah Al-Kahfi”. Surah Al-Kahfi diturunkan di Makkah (kecuali ayat 28, 83 dan 101 yang diturunkan di Madinah) dan merupakan salah satu dari lima surah Mekah yang dimulai dengan “Alhamdu lilah” (Segala puji bagi Allah). Surah ini mempunyai 110 ayat, dan namanya diambil dari ayat ke-9 apabila disebut tentang orang orang yang berada di dalam gua (Kahfi). Ramai yang sedia maklum bahawa surah al-Kahfi sangat digalakkan untuk dibaca pada setiap hari Jumaat.
Antara Kelebihan Surah Al-Kahfi adalah dipancarkan Cahaya Untuknya Antara 2 Jumaat, Terselamat Dari Fitnah Dajjal, Turunnya Ketenangan dan Rahmat Yang disertai Dengan Para Malaikat, Menceritakan Realiti Kehidupan Sebenar dan Iktibar untuk Menghadapi Ujian & Fitnah Akhir Zaman. Hadir sama mendengar tazkirah yang disampaikan adalah Tuan Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, serta Pegawai dan Kakitangan di Ibu Pejabat, Kompleks Belia dan Sukan Panji serta Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu.
Disediakan oleh: Urusetia Portal Bahagian Pentadbiran, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
KUALA KRAI, 16 Mac 2025 – Program Rakan Ekspresi : Rakan Muda Ramadhan diadakan sepanjang bulan Ramadhan dengan pengisian aktiviti bertadarus dan khatam Al-Quran bagi menghidupkan bulan Ramadhan dengan matlamat untuk memperbanyakkan amalan sunnah dan kerohanian dalam kalangan belia yang mana telah dilaksanakan di setiap daerah di seluruh negeri Kelantan sepanjang bulan Ramadhan pada tahun ini.
Pada 15 Mac 2025, telah berlangsung dengan meriah Rakan Ekspresi: Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Kelantan Tadarus Al-Quran dan majlis berbuka puasa yang melibatkan lebih 1,000 belia serta penduduk setempat bertempat di Masjid Jamek Ibrahimi Pasir Puteh, Kelantan semalam. Seramai empat puluh orang beliawanis dari Kelab Beliawani Halwanis Kuala Krai tidak melepaskan peluang untuk turut sama menyertai Program Tadarus Al-Quran bagi Program Rakan Ekspresi: Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Kelantan
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Amat Berusaha Tuan Mohd Rosli bin Ismail, Ketua Jajahan Pasir Puteh. Turut hadir dalam majlis tersebut, Yang Berhormat Zamakhsari bin Muhamad, Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, YABrs. Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai, Puan Rosnani binti Haji Abdullah Zawawi, Puan Najat binti Mat Nor Pengerusi Kelab Beliawanis Halwanis Kuala Krai.
Disediakan Oleh : Urus setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai
KUALA KRAI, 16 MAC 2025 – Rakan Ekspresi : Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Kelantan telah mengadakan aktiviti seperti Pertandingan Azan dan Iqamah, Pertandingan Bercerita (Kisah-kisah dari Al- Quran) dan Pertandingan Hafazan bagi golongan anak muda mengetengahkan bakat mereka pada 15 Mac 2025 bertempat di Masjid Jamek Ibrahimi, Pasir Puteh.
Pertandingan ini telah disertai oleh anak - anak muda yang mewakili Daerah masing – masing. Seramai tiga orang wakil daripada Daerah Kuala Krai yang telah menyertai Pertandingan Azan dan Iqamah, manakala seorang wakil bagi Pertandingan Bercerita. Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk menarik minat golongan muda untuk mengimarahkan bulan Ramadhan Al-Mubarak dengan pengisian aktiviti dan program-program berbentuk kerohanian.
Bagi Pertandingan Azan dan Iqamah salah wakil dari daerah Kuala Krai, Saudara Muhammad Muqriz bin Mazelan telah mendapat tempat ke tiga, manakala Saudara Akif Almukminum bin Abdussyakur mendapat saguhati dalam Pertandingan Bercerita (Kisah-Kisah dalam Al-Quran). Muhammad Hanif bin Awang @ Mohd Nawi, guru pengiring berkata, bahawa pertandingan seperti ini harus diteruskan kerana ia menguji kemahiran dan keberanian serta mengetengahkan bakat-bakat mereka agar tidak malu berdepan dengan orang ramai.
Majlis Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Encik Zamakhsari bin Muhamad, Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan bersama Yang Amat Berusaha Tuan Mohd Rosli bin Ismail, Ketua Jajahan Pasir Puteh dan YABrs Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Disediakan Oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai
Tanah Merah, 15 Mei 2025 – Seramai 44 orang belia dari Tanah Merah menyerikan lagi program Rakan Muda Ekspresi: Rakan Muda Ramadhan peringkat Negeri Kelantan yang diadakan dengan penuh kemeriahan di Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh . Acara berprestij ini bermula seawal jam 8.00 pagi dengan pelbagai aktiviti menarik dan penuh pengisian yang bertujuan memupuk nilai kerohanian dan perpaduan dalam kalangan belia.
Antara aktiviti utama yang mencuri perhatian ialah Pertandingan Bercerita , yang menyaksikan para peserta mempamerkan kemahiran menyampaikan kisah-kisah Islamik dengan penuh daya tarikan. Pertandingan Azan pula mengetengahkan bakat para muazin muda yang melantunkan azan dengan keindahan suara yang merdu dan penuh semangat. Selain itu, aktiviti Tadarus Al-Quran dan Khatam Al-Quran turut menjadi fokus, dengan peserta bersama-sama membaca ayat-ayat suci Al-Quran secara berjemaah dalam suasana yang hening dan khusyuk. Puncak acara adalah iftar beramai-ramai , di mana semua peserta dan tetamu program berkumpul untuk berbuka puasa sambil menikmati sajian enak yang disediakan oleh penganjur.
Program ini jelas mencerminkan semangat Rakan Muda, yang memberi penekanan kepada pembinaan sahsiah dan semangat perpaduan antara belia. Para peserta bukan sahaja terlibat secara aktif, malah mereka turut menyemarakkan nilai-nilai murni seperti kesyukuran, kesabaran, dan keikhlasan dalam bulan yang penuh berkat ini. Majlis ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dan sekali lagi membuktikan bahawa belia Kelantan, khususnya dari Tanah Merah, memainkan peranan penting dalam memacu perpaduan komuniti dan memperkukuhkan nilai-nilai kerohanian di peringkat negeri.
Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah
Kuala Krai , 10 Mac 2025 – Calon Tunggal Kategori Individu Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2025 bagi Daerah Kuala Krai, Muhammad Afiq Aiman bin Mohd Haslam yang juga Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Kuala Krai telah hadir ke Sesi Penilaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2025 pada hari ni bertempat di Dewan Malaysia , Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Penilaian APBN Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2025 melibatkan pembentangan dari calon berkaitan dengan gerak kerja mereka khususnya di bawah Pembangunan Belia samada dalam bidang kemasyarakatan, kesukarelaan dan juga ekonomi. Seramai 19 orang calon telah hadir dalam sesi penilaian ini dan semua calon mempunyai pelbagai latar belakang dan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
“Apa yang saya ingin tekankan dalam pembentangan saya pada kali ini adalah berkaitan dengan usaha saya melahirkan bagi lebih ramai usahawan belia yang kreatif dan mahir mengadaptasi kemudahan sosial media yang sesuai dengan arus kemodenan selain mengalakkan golongan belia terlibat dengan kerja-kerja kemasyarakatan serta kesukarelaan dalam komuniti dan juga aktif dalam sukan demi melahirkan anak muda yang sihat dan cergas“, ujar Saudara Muhammad Afiq Aiman bin Mohd Haslam yang juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Teknologi Mara.
Semoga dengan pencalonan ini dapat menjadi pemangkin serta memberi inspirasi kepada semua golongan muda dalam Daerah Kuala Krai untuk bergerak aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelaan.
Disediakan Oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai