Afiq Aiman Unggul Di Pentas Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2025

KUALA KRAI, 18 MEI 2025 – Saudara Muhammad Afiq Aiman bin Mohd Haslam, wakil tunggal dari Daerah Kuala Krai, telah dinobatkan sebagai Johan Kategori Individu Lelaki sempena Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2025 yang berlangsung pada 17 Mei 2025 bertempat di Stadium Sultan Muhammad ke-IV. Majlis berprestij ini telah dirasmikan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.

Merupakan Pengerusi Majlis Belia Jajahan Kuala Krai dan Pengarah Urusan Era Baru Trade, Saudara Afiq telah bergiat aktif dalam pembangunan belia sejak tahun 2014. Antara inisiatif utama beliau termasuk membuka peluang pekerjaan kepada belia setempat melalui penubuhan syarikat yang turut menyediakan latihan kemahiran, serta penglibatan aktif dalam kerja kesukarelawanan seperti misi bantuan banjir di Malaysia dan Thailand.

Dalam sesi temubual, beliau menegaskan bahawa kemenangan ini bukan sekadar pengiktirafan peribadi, tetapi amanah besar yang mewakili suara anak muda Kuala Krai. “Saya percaya belia adalah aset paling berharga untuk masa depan negara. Dengan mandat yang diberi, saya akan pastikan Majlis Belia Jajahan Kuala Krai menjadi platform berfungsi untuk memperkasakan belia dari aspek kepimpinan, keusahawanan, pendidikan, kesukarelawanan dan sukan,” katanya.

Beliau turut menyeru agar generasi muda berani mencipta peluang dan tampil sebagai pencetus perubahan. “Saya berpegang pada prinsip, kalau bukan kita yang bangunkan negeri kita, siapa lagi? Negeri Kelantan ini milik kita bersama, dan masa depannya terletak di tangan anak muda hari ini,” ujar Afiq dengan penuh semangat.

Hadir sama dalam majlis tersebut Puan Rosnani binti Hj Abdullah Zawawi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai, pegawai-pegawai Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai serta barisan Exco Majlis Belia Kuala Krai.

Disediakan oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 12:48:01

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search