- JBS Kelantan
- Hits: 61
Semarak HBN Kota Bharu 2025 Mendapat Sambutan Hangat
- JBS Kelantan
- Hits: 61
KOTA BHARU, 18 MEI 2025 – Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Daerah Kota Bharu Tahun 2025 telah berlangsung dengan meriah dan penuh semangat pada 15 Mei 2025 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2, melibatkan penyertaan aktif golongan belia dan pelajar sekitar daerah ini.
Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu dengan kerjasama SMK Pengkalan Chepa 2 itu mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik yang berteraskan kepada pembangunan sahsiah belia berasaskan 10 Elemen Gaya Hidup Rakan Muda, selari dengan objektif Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dalam membentuk belia seimbang dari aspek fizikal, mental, emosi dan spiritual.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berusaha En. Rozhan bin Ab Rahim, Pengetua SMK Pengkalan Chepa 2. Turut hadir ialah Puan Nurul Asmad binti Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu serta Saudara Ruzaini Aiman bin Ruzlan, Pengerusi Penaja Majlis Belia Daerah Kota Bharu.
Antara pengisian utama yang mendapat perhatian ialah sesi “Port Healing: Bahaya Penyalahgunaan Dadah” yang dikendalikan oleh Pejabat AADK Kota Bharu, bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap bahaya dadah serta peranan proaktif belia dalam usaha pencegahan awal gejala tersebut.
Selain itu, pelbagai aktiviti berimpak tinggi turut dijalankan seperti senamrobik perdana, pertandingan e-sukan, pameran daripada agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta aktiviti port seni yang menampilkan persembahan kebudayaan belia termasuk dikir barat, sebagai lambang warisan budaya negeri Kelantan yang terus diperkasa oleh generasi muda.
Penganjuran HBN 2025 peringkat daerah ini bukan sahaja bertujuan meraikan peranan belia sebagai aset negara, malah menjadi platform pengukuhan nilai jati diri, semangat kesukarelawanan dan pembentukan kepimpinan dalam kalangan belia sekolah dan komuniti.
Tema sambutan Hari Belia Negara tahun ini, “Yakin Boleh”, turut diterapkan dalam semua segmen aktiviti sebagai simbol keyakinan bahawa belia mampu menerajui perubahan dan mencipta masa depan negara yang lebih cemerlang.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu