Pakan Sarikei 11 Jun 2026 (Khamis) - Menghadiri Mesyuarat Pengurus -Pengurus Pasukan dan Sesi Cabutan Undi bagi Pertandingan Futsal Edisi 2026 LSK Peringkat Bahagian Sarikei.Mesyuarat telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Pakan.En Kevin Jampang Presiden Kelab Bolasepak Pekan Pakan telah mempengerusikan majlis dan selaku Pengerusi Pengelola pertandingan. Sebanyak 16 pasukan telah mengesahkan penyertaan pada edisi kali ini. En.Abdul Rani Bin Jemi mewakili Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei turut hadir ke mesyuarat ini.Tahniah dan selamat bertanding kepada semua pasukan. Moga penganjuran pertandingan Futsal kali ini dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.
Sarikei, 11 Jun 2026 – Mesyuarat Pengurus Pasukan bagi Pertandingan Bola Tampar sempena Liga Sukan Komuniti Peringkat Bahagian Sarikei Tahun 2026 telah berjaya diadakan sebagai persediaan menjelang pembukaan tirai kejohanan yang dinanti-nantikan pada 13 Jun 2026 bertempat di Gelangang Bola Tampar SMK Tinggi Sarikei.
Mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai perkara penting termasuk peraturan pertandingan, jadual perlawanan, syarat penyertaan, sistem pertandingan serta aspek teknikal bagi memastikan kejohanan berlangsung dengan lancar, adil dan teratur.
Kehadiran para pengurus pasukan mencerminkan komitmen tinggi semua pihak dalam menjayakan liga ini, sekali gus menyemarakkan semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan komuniti setempat. Gelanggang bakal menjadi saksi persaingan sengit, semangat berpasukan dan aksi terbaik daripada pasukan-pasukan yang bertanding.
Ayuh bersama-sama menyokong dan memeriahkan Liga Sukan Komuniti Peringkat Bahagian Sarikei Tahun 2026!
KUCHING, 16 Jun 2026 – Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Sarawak telah berjaya menganjurkan Sesi Latihan Kemahiran Program Agrobelia Lestari @ Rakan Mahir Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 yang melabuhkan tirainya hari ini. Program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu telah diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
Program Agrobelia Lestari @ Rakan Mahir merupakan inisiatif berbentuk pelaksanaan projek dalam bidang agromakanan, yang merangkumi latihan kemahiran bersepadu serta bimbingan teknikal. Terbuka kepada pertubuhan belia, program ini bertujuan memperkasa golongan muda dengan menggalakkan penglibatan aktif dalam sektor agromakanan sebagai sumber pendapatan alternatif, sekali gus mewujudkan peluang penciptaan pekerjaan di peringkat komuniti setempat.
Sesi latihan kemahiran ini telah dihadiri oleh seramai 44 orang belia dari pelbagai pertubuhan belia. Bagi memastikan penyampaian modul yang komprehensif, slot bimbingan telah dikendalikan oleh barisan penceramah jemputan daripada Pusat Penyelidikan Pertanian Semenggok dan Jabatan Pertanian Negeri Sarawak. Sesi kali ini turut melibatkan penyertaan daripada Kelab Belia Sejati Sadong yang telah terpilih sebagai penerima dana bantuan bagi pembiayaan program tersebut.
Majlis penutupan rasmi program telah disempurnakan oleh Pengarah JBSN Sarawak, YBrs Tuan Lamat Anak Nyalau. Komitmen berterusan daripada jabatan diyakini dapat melahirkan lebih ramai usahawan tani dalam kalangan belia yang berdaya saing dan dinamik.
SIBU, 15 Jun 2026 – Bahagian Sibu telah dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Sarawak 2026 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Julai 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang.
Pelbagai program telah dirancang bagi memeriahkan sambutan tersebut, antaranya Townhall bersama Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, majlis kesyukuran, Himpunan Hari Sarawak, Konsert Rakyat serta Unity Walk bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Hari Sarawak 2026 yang dipengerusikan oleh Tuan Christopher Rangau Unting, Timbalan Residen Sibu telah diadakan hari ini bagi membincangkan persiapan, penyelarasan serta gerak kerja pelaksanaan program bagi memastikan sambutan berkenaan berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Dalam masa yang sama, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu yang dihadiri Puan Nur Fatheen Khairuzan bt Seleman sekali lagi diberi kepercayaan untuk membantu urusan penyelarasan dan pelaksanaan program sepanjang sambutan berlangsung, selaras dengan pengalaman serta komitmen agensi tersebut dalam menjayakan acara-acara berskala besar di bahagian ini.
Penganjuran Sambutan Hari Sarawak 2026 dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh semangat perpaduan, patriotisme serta jati diri rakyat Sarawak, di samping menghargai sejarah dan perjuangan negeri ini dalam pembentukan Malaysia.
13 JUN 2026, SIBU — Suasana di Dewan MUC Sibu bergema dengan sorakan padu peminat sukan seni mempertahankan diri apabila kejohanan Sibu Amateur Muaythai Challenge melabuhkan tirai penganjurannya dengan jayanya bermula 12 Jun 2026 dan berakhir pada 13 Jun 2026.
Kejohanan berprestij yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu (PBSB Sibu) ini berjaya menarik penyertaan luar biasa seramai 120 orang peserta dari pelbagai kelab dan daerah.
Kehadiran ratusan atlet muda ini membuktikan sukan muaythai kini semakin mendapat tempat di hati komuniti setempat, selain menjadi platform terbaik dalam mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi besar untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Sepanjang hari kejohanan, para peserta telah memamerkan mutu disiplin yang tinggi, semangat juang yang kental, serta teknik tempuran yang memukau penonton. Kejohanan kali ini turut melakar impak besar buat pembangunan sukan tempatan menerusi inisiatif Geran Padanan Sukan (GPS).
Pada majlis tersebut, penyerahan cek cura bagi kelulusan dana GPS daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM45,000.00 telah disempurnakan oleh Tuan Lamat Anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Sokongan dana ini menjadi bukti nyata komitmen kerajaan dalam memacu dan menyokong kelangsungan program-program sukan berimpak tinggi di peringkat akar umbi.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang serta penyerahan geran tersebut turut diiringi oleh Tuan Haji Jumaat Ibrahim, Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak, serta Encik Tan Eng Chung, Presiden Persatuan Muaythai Bahagian Sibu.
Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi sukan muaythai ini mencerminkan komitmen padu dan sokongan tidak berbelah bahagi pihak persatuan dan jabatan dalam memperkasakan pembangunan sukan tempur di Bumi Kenyalang.
Pihak PBSB Sibu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak kementerian, persatuan, jawatankuasa pengelola, para jurulatih, pegawai teknikal, serta seluruh kontinjen yang terlibat.
Sokongan padu daripada para ibu bapa dan penonton yang membanjiri Dewan MUC Sibu turut menjadi nadi utama kepada kelancaran dan kegemilangan kejohanan ini. Semoga momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan demi melahirkan lebih ramai pelapis sukan muaythai yang berwibawa.
13 Jun 2026, SIBU – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Bahagian Sibu telah menganjurkan Pertandingan Bola Jaring Liga Sukan Komuniti Bahagian Sibu 2026 yang berlangsung di SMK Tiong Hin, Sibu.
Pertandingan ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pemain-pemain bola jaring sekitar Bahagian Sibu. Penganjuran pertandingan ini bertujuan menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti sukan, di samping memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan gaya hidup sihat.
Setelah melalui persaingan yang sengit, pasukan PEC Sibu telah muncul sebagai Johan pertandingan, manakala pasukan Medi-X dinobatkan sebagai Naib Johan. Tempat Ketiga Bersama pula disandang oleh pasukan GG dan Venom ILKKM Sibu.
Penganjuran pertandingan ini diharap dapat terus menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan bola jaring serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat melalui penglibatan aktif dalam aktiviti sukan.
SIBU, 13 Jun 2026 – Pasukan Wheeltrak Tyre (M) muncul juara acara Bola Tampar Lelaki Liga Sukan Komuniti 2026 Peringkat Bahagian Sibu selepas menewaskan pasukan SMK Tung Hua A dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Sibu Volleyball Indoor Stadium.
Perlawanan akhir yang berlangsung dalam suasana penuh kompetitif dan semangat kesukanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi berkualiti tinggi. Wheeltrak Tyre (M) berjaya bangkit dan menampilkan permainan yang lebih konsisten untuk mengesahkan kejuaraan selepas mengatasi tentangan sengit daripada SMK Tung Hua A.
Melalui penganjuran program seperti ini, Kementerian Belia dan Sukan berharap lebih ramai masyarakat khususnya golongan belia akan terlibat secara aktif dalam aktiviti sukan dan rekreasi, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti yang sihat, bersatu padu dan sejahtera selaras dengan agenda pembangunan Malaysia MADANI.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pn Nur Fatheen Khairuzan bt Seleman, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu bersama En William Ketua Teknikal wakil Sibu Volleyball Association, yang turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan, serta semua pihak menjayakan pertandingan LSK tahun 2026.
Keputusan Akhir Bola Tampar Lelaki Liga Sukan Komuniti 2026 Peringkat Bahagian Sibu: Johan – Wheeltrak Tyre (M) Naib Johan – SMK Tung Hua A Tempat Ketiga bersama – Voleyball Sg Merah Tempat Ketiga Bersama – 9 Briged
13 JUN 2026, SIBU — Kejohanan Futsal Liga Sukan Komuniti (LSK) Peringkat Bahagian Sibu Tahun 2026 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Gelanggang Futsal Kampung Nangka, Sibu pada 13 Jun 2026 telah melabuhkan tirainya secara rasmi dengan menyaksikan penguasaan hebat daripada pasukan Panda Selex yang muncul sebagai juara mutlak kejohanan.
Kejohanan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu (PBSB Sibu) ini berjaya menghimpunkan bakat-bakat terbaik tempatan dalam suasana persaingan yang amat sengit dan penuh dengan semangat kesukanan yang tinggi.
Kemuncak kejohanan menyaksikan pasukan Panda Selex dinobatkan sebagai Johan setelah menewaskan pencabar terdekat mereka, Sombrero FC yang terpaksa berpuas hati di kedudukan Naib Johan. Sementara itu, tempat Ketiga Bersama pula dikongsi oleh dua pasukan yang tidak kurang hebatnya, iaitu Rizqi FT dan MT FT.
Majlis penyampaian hadiah dan upacara penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Tuan Lamat Anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Kehadiran beliau bukan sahaja menyuntik semangat para pemain, malah membuktikan sokongan padu pihak jabatan terhadap pembangunan sukan akar umbi di Bahagian Sibu.
Pihak PBSB Sibu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Sibu District Football Club (SDFC) yang diketuai oleh Encik Halel Mohd Ibrahim, Presiden SDFC, atas kerjasama erat serta sokongan padu dalam memastikan kelancaran dan kejayaan penganjuran liga kali ini.
Ucapan syabas dan terima kasih juga ditujukan kepada semua jawatankuasa pengelola, para penyokong, serta seluruh komuniti yang hadir memeriahkan suasana dari awal hingga ke saat akhir perlawanan.
Disediakan oleh : Mohammad Arbi Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 15 JUN 2026 – Kejohanan Bola Tampar Lelaki Liga Sukan Komuniti Bahagian Mukah 2026 telah berlangsung pada 13 Jun 2026 di Dewan Terbuka SJKC Chong Boon Mukah baru-baru ini menyaksikan sebanyak 10 pasukan telah terlibat. Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah dengan kerjasama Kelab Sukan Rekreasi Unique Mukah ini bertujuan meningkatkan penglibatan komuniti dalam sukan yang berkaitan selain memupuk perpaduan dalam kalangan komunti setempat
Kejohanan tersebut menyaksikan pasukan CVC telah menjuarai saingan di peringkat akhir menentang ALL OUT masing - masing merangkul hadiah wang tunai RM 500.00 dan RM 300.00 beserta pingat dan sijil penyertaan sekaligus pasukan johan dan naib johan bakal mewakili bahagian Mukah ke peringkat Sarawak yang akan berlangsung pada 18 Julai 2026 di Kuching. Manakala tempat ketiga bersama masing-masing telah dimenangi pasukan TRS A dan TRS B membawa pulang hadiah wang tunai RM 200.00 dan pingat. Hadiah kemenangan telah disampaikan Encik Mohammad Arbi bin Rosli, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah.