Penyertaan Pegawai & Kakitangan Secara Atas Talian Di Majlis Perhimpunan Bulanan KBS Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 19 Jun 2026 – Pegawai dan kakitangan PBSB Kuching telah hadir sama secara atas talian di Majlis Perhimpunan Bulanan KBS bagi bulan Jun yang telah diadakan pada 12 Jun 2026, jam 8.30 pagi. Majlis telah disempurnakan oleh Ybhg. Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Podium B, Menara KBS.
Perhimpunan KBS diadakan sebulan sekali dan dijadikan sebagai medium penyampaian maklumat, penyelarasan hala tuju organisasi, pengukuhan hubungan warga kerja serta pemupukan budaya kerja yang cemerlang dan berintegriti.
Penyelarasan Tugas Liga Sukan Komuniti (LSK) Peringkat Bahagian Kuching Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 19 Jun 2026 – Sempena pelaksanaan Liga Sukan Komuniti (LSK) 2026 Peringkat Bahagian Kuching, satu taklimat dan penyelarasan tugas telah diadakan oleh pegawai unit sukan pada 11 Jun 2026 bertempat di ruang PBSB Kuching. LSK diadakan pada 13 hingga 14 Jun 2026 di tiga lokasi yang berbeza iaitu di KSK Satok (Futsal lelaki), Dewan Serba Guna KOMBES (Bola jaring) dan SM Chong Hua No.1 Pending (Bola tampar lelaki).
Mencungkil Bakat Baru Atlet Para Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 19 Jun 2026 – Pada 10 Jun 2026 bertempat di Dewan Serbaguna KOMBES Negeri Sarawak telah diadakan program i-Talent Peringkat Bahagian Kuching yang melibatkan seramai 30 orang peserta. Para peserta telah diberi taklimat terlebih dahulu sebelum menjalani beberapa ujian yang telah ditetapkan dalam manual penguji untuk peserta i-Talent. Tiga pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) masing-masing telah menghantar peserta ke program ini iaitu PDK Mambong, PDK Sri Satok dan PDK Bau. Tujuan i-talent ini diadakan, adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan sebagai atlet baru dalam sukan para Negeri Sarawak.
Disediakan oleh : TT, PBSB Sibu
SIBU, 18 Jun 2026 – Satu sesi perbincangan penting telah diadakan hari ini bertempat di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu.
Perbincangan strategik ini melibatkan kehadiran Puan Asmawaty @ Siti Asmah Binti Ahmad, Ketua Penolong Setiausaha, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED).
Ketibaan rombongan dari ibu pejabat MYSED ini turut diiringi oleh Puan Christine Pet, Penguasa MYSED Cawangan Sibu, dan telah disambut baik oleh Puan Nur Fatheen Khairuzan bt Seleman, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu.
Perbincangan antara kedua-dua jabatan ini bertujuan untuk memperhalusi perancangan awal serta gerak kerja bersempena dengan persediaan Program Unity Walk.
Sinergi erat ini amat kritikal bagi memastikan setiap perincian program diselaraskan dengan mantap sebelum dikemukakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Sarawak Tahun 2026 yang akan datang nanti.
Sukan bukan sekadar gaya hidup sihat, malah menjadi wadah utama dalam memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan komuniti di Sarawak!
#JBSNKomited #JBSNBersama #PBSBSibu #MalaysiaMadani #TeamJBSN #JBSNSarawak #HarungiBersama #TeamKBS
Disediakan oleh : MNI, PBSB Sibu
SIBU, 18 Jun – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu telah mengadakan lawatan tapak serta sesi perbincangan strategik bersama pihak Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kampus Sibu bagi meninjau kemudahan sedia ada serta meneroka peluang kerjasama yang mampu memperkukuh pembangunan belia di peringkat akar umbi.
Rombongan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu telah diketuai oleh Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu, Puan Nur Fatheen Khairuzan binti Seleman, manakala pihak UNIMAS Kampus Sibu diwakili oleh Encik Nyandang dan Encik Faizal.
Sepanjang lawatan, delegasi telah dibawa meninjau pelbagai kemudahan yang terdapat di kampus termasuk bilik tutorial, dewan seminar, makmal komputer, kantin, perpustakaan serta kemudahan kediaman pelajar. Kemudahan-kemudahan ini dilihat berpotensi untuk dimanfaatkan sebagai lokasi pelaksanaan program pembangunan belia, latihan kepimpinan, kesukarelawanan, pembangunan kemahiran serta program peningkatan kapasiti belia.
Perbincangan yang diadakan turut memberi fokus kepada kaedah pelaksanaan program secara kolaboratif, perkongsian kepakaran, penggunaan fasiliti secara optimum serta penglibatan mahasiswa dalam program-program komuniti yang dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu.
Kerjasama strategik ini dijangka memberi impak positif kepada pembangunan modal insan belia melalui peningkatan akses kepada kemudahan pembelajaran dan latihan, pengukuhan jaringan antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan, serta penyediaan lebih banyak peluang pembangunan diri, kepimpinan dan kesukarelawanan kepada golongan belia.
Inisiatif ini juga selaras dengan usaha memperkasa ekosistem pembangunan belia yang inklusif, berdaya tahan dan berorientasikan komuniti demi melahirkan generasi belia yang kompeten serta berdaya saing.
#JBSNBersama #TeamKBS #JBSNSarawak #PBSBSibu #JBSNKomited #MalaysiaMadani #HarungiBersama #TeamJBSN
SARIKEI, 16 Jun 2026 – Kejohanan Liga Sukan Komuniti Bola Jaring (Wanita) Peringkat Bahagian Sarikei Tahun 2026 telah berlangsung dengan meriah dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila berjaya menghimpunkan 13 pasukan wanita dari seluruh Bahagian Sarikei pada 13 Jun 2026 yang lalu.
Kejohanan yang dianjurkan bertujuan untuk memperkasa pembangunan sukan komuniti serta mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan bola jaring ini menyaksikan persaingan sengit dan penuh semangat kesukanan daripada semua pasukan yang bertanding. Selain menjadi platform pertandingan, kejohanan ini turut berjaya mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan peserta.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Jamaika Marciano, mewakili Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei bersama Puan Huong Ai Sui, Pengerusi Persatuan Bola Jaring Sarikei.
Dalam kejohanan tersebut, pasukan PBJS muncul sebagai johan selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang pertandingan. Tempat kedua pula disandang oleh GOAL DIGGERS, manakala BE2WIN dan SMK Tinggi Sarikei berkongsi kedudukan tempat ketiga.
Pasukan-pasukan yang berjaya akan membawa cabaran Bahagian Sarikei ke Liga Sukan Komuniti Bola Jaring (Wanita) Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai nanti. Kejayaan ini membuktikan bahawa sukan bola jaring terus mendapat tempat dalam kalangan komuniti wanita dan berpotensi melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pasukan yang telah menunjukkan komitmen, disiplin dan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan bola jaring yang lebih cemerlang di Bahagian Sarikei.
SARIKEI, 16 Jun 2026 – Mesyuarat Pengurus bagi Kejohanan Liga Sukan Komuniti Bola Jaring Bahagian Sarikei 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada 11 Jun 2026 yang lepas sebagai persiapan akhir menjelang kejohanan yang bakal menghimpunkan pasukan-pasukan bola jaring dari seluruh Bahagian Sarikei.
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh wakil pengurus daripada 13 pasukan yang akan berentap dalam kejohanan berkenaan. Antara perkara yang dibincangkan termasuk peraturan pertandingan, jadual perlawanan, sistem pertandingan, syarat kelayakan pemain serta aspek teknikal dan keselamatan sepanjang kejohanan berlangsung.
Pengerusi mesyuarat dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas komitmen semua pasukan yang mengambil bahagian dan berharap kejohanan ini dapat menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu serta memperkukuh semangat kesukanan dalam kalangan komuniti.
Pakan, Sarikei 13Jun 2026 (Sabtu) - Penentuan Juara, Naib Juara, Ketiga dan Ketiga Bersama telahpun terjawab hari ini seusai Majlis Penyampaian hadiah dan Pemenang Pertandingan Futsal Edisi 2026 Peringkat Bahagian Sarikei.Sebanyak 16 pasukan telahpun berentap merebut tempat di podium bagi merialisasikan impian masing-masing. Majlis Penangguhan dan Penyampaian hadiah kepada Pemenang telahpun disempurnakan oleh YB Datuk Larry Sng Wei Shien, Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) merangkap Ahli Parlimen P.209 Julau di Gelanggang Futsal Temenggong Mambu Pakan. En.Abdul Rani Bin Jemi Pembantu Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei turut hadir ke Majlis ini. Johan pertandingan telah dimenangi oleh pasukan Ultimate, Naib Johan Volsar, Ketiga Al-Assad dan Ketiga Bersama dimenangi oleh pasukan Kerugak FC. Tahniah dan syabas kepada semua pemenang.Jumpa lagi dikejohanan akan datang.
Sarikei, 13 Jun 2026 – Kejohanan Bola Tampar sempena Liga Sukan Komuniti Peringkat Bahagian Sarikei Tahun 2026 telah berjaya diadakan di Gelangang Bola Tampar SMK Tinggi Sarikei dan telah menjadi pentas persaingan sihat yang menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh Bahagian Sarikei dalam usaha memupuk semangat kesukanan dan perpaduan komuniti.
Kejohanan yang dianjurkan di bawah Liga Sukan Komuniti itu bertujuan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta daripada pelbagai latar belakang.
Pasukan V1 tampil unggul menjuarai pertandingan tersebut diikuti pasukan LAW yang berjaya merangkul gelaran Naib Johan dan ketiga Bersama adalah Pasukan SAS dan MAV.
Kejohanan Bola Tampar Liga Sukan Komuniti Peringkat Bahagian Sarikei Tahun 2026 telah menyajikan persaingan sengit dan penuh semangat kesukanan apabila setiap pasukan turun dengan misi memburu kejuaraan.