- JBS Sarawak
- Hits: 15
Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Bahagian Serian Tahun 2026 Bahas Lima Usul Pembangunan Belia
- JBS Sarawak
- Hits: 15
Disediakan oleh: M. Sherman, JBSN Sarawak.
SERIAN, 6 Ogos 2026 – Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Bahagian Serian Tahun 2026 telah berjaya diadakan pada 3 Ogos yang lalu di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Bahagian Serian dengan menghimpunkan pelbagai pemegang taruh bagi membincangkan isu serta hala tuju pembangunan belia di Bahagian Serian. Persidangan telah dipengerusikan oleh Tuan Mackos Sibong, Residen Bahagian Serian, dan turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Sarawak, Encik Lamat Nyalau, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan pembangunan belia di negeri ini. Program ini telah disertai oleh seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada wakil jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan belia, persatuan serta kelab belia di Bahagian Serian.
Persidangan turut diserikan dengan dua sesi pembentangan ilmiah yang memberi fokus kepada pembangunan belia dan sukan. Pembentangan pertama telah disampaikan oleh Dr. Louis Ringah Kanyan, Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang bertajuk "Peranan Belia Dalam Pembangunan Ekonomi Jingga di Malaysia, manakala pembentangan kedua bertajuk "Pendaftaran dan Tanggungjawab Badan Sukan" disampaikan oleh En. Azizi Johari, Pesuruhjaya Sukan Rantau Sarawak.
Sepanjang sidang berlangsung, sebanyak lima usul utama telah dibahaskan secara konstruktif dan komprehensif oleh perwakilan belia. Usul-usul berkenaan merangkumi penandaan isu kritikal masa kini, iaitu penipuan dalam talian, pemerkasaan inisiatif agrotani kepada belia, kemudahan dan kadar sewaan fasiliti bagi aktiviti belia, pembangunan ekonomi jingga, serta keutamaan terhadap aspek kesihatan mental golongan muda. Penganjuran MPBN Peringkat Bahagian Serian Tahun 2026 diharapkan dapat menjadi platform yang efektif dalam mengangkat suara belia serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan pertubuhan belia ke arah pembangunan komuniti yang lebih inklusif, progresif dan mampan.
#TeamKBS
#TeamJBSN
#JBSNKomited
#MalaysiaMadani
