BINTULU, 13 MAC 2026: Pada bulan Ramadan, waktu iftar bukan sekadar masa untuk berbuka puasa, tetapi juga peluang yang indah untuk menguatkan ukhuwah (persaudaraan) sesama keluarga, jiran, dan masyarakat. Tidak ketinggalan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Bintulu turut menyambut iftar ramadan bersama pegawai bertempat di restoran Peace Garden Bintulu , Rabu lalu.
Iftar tersebut telah dihadiri oleh Encik Jeremy Anak Luguh, Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Bintulu. Walaupun berbeza agama dan kepercayaan tetapi pejabat belia dan sukan bahagian Bintulu turut meraihkan kedatangan ramadan dan menghormati antara satu sama lain.
Diharap dengan adanya aktiviti seperti ini mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat ukhuwah antara satu dan lain dalam masa sama menanamkan nilai kebersamaan, keprihatinan dan perpaduan dapat terus diperkukuhkan.
Disediakan oleh: Mohammad Arbi Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 13 MAC 2026 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah telah dijemput hadir ke Majlis Berbuka Puasa MYSED Bahagian Mukah Ramadhan 1447 H / 2026 M pada 12 Mac 2026 di Dewan Seri Pekala, Kampung Kuala Lama Mukah. Encik Bonnie Manau Michael Amerikan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah telah hadir ke majlis tersebut.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Tuan Royston Valentine, ADUN N.57 Tellian bersama isteri. Beliau sempat beramah mesra bersama jemputan yang hadir antaranya ketua jabatan dan wakil ketua jabatan, NGO’S serta kakitangan pejabat MYSED Bahagian Mukah. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah mengucapkan ribuan terima kasih kepada MYSED Mukah atas jemputan.
KUCHING, 12 Mac 2026 - Pegawai Bahagian Pembangunan Sukan JBSN Sarawak Sertai Sesi Taklimat Atas Talian Berkaitan Program Sukan Negeri
Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSN Sarawak) menghadiri sesi taklimat secara atas talian bagi membincangkan pelaksanaan dan penyelarasan program pembangunan sukan di peringkat negeri. Sesi ini disertai oleh Puan Fatimah bt Abdul Rahman, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, bersama Encik Dennis Anak Dempi dan Encik Rawing Anak Uking daripada Cawangan Penggalakan dan Pembangunan Sukan.
Bagi Cawangan Penggalakan dan Pembangunan Sukan, program yang melibatkan JBS Negeri dan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian termasuklah Liga Sukan Komuniti, Program Sukan Baharu, Tayangan Skrin Besar serta Anugerah Sukan Untuk Semua.
Sehubungan itu, satu sesi perbincangan dan taklimat diadakan untuk meneliti setiap program bagi memastikan konsep pelaksanaan dapat diselaras dengan lebih lancar dan teratur.
Mesyuarat dipengerusikan oleh YBrs. Encik Mohd Nizam bin Ismail, Pengarah Cawangan Penggalakan & Pembangunan Sukan, dan menjadi platform perkongsian maklumat serta panduan pelaksanaan program secara efektif.
BETONG, 12 Mac 2026 – Satu mesyuarat Layar Cycling Carnival (LCC) Betong telah diadakan pada hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Puan Ninie Racha Anding, Pegawai Tadbir Khas, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan penyelarasan bajet LCC Betong Edisi Ke-8/2026 dan telah dihadiri oleh Tuan Lamat anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
JBSN Sarawak turut ditugaskan sebagai jawatankuasa yang bertanggungjawab mengendalikan aktiviti-aktiviti sukan sepanjang penganjuran karnival tersebut. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Cik Nurulzamzam bt Hj Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong.
BETONG, 12 MAC 2026 – Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Bahagian Betong Tahun 2026 telah dilaksanakan di Surau Politeknik METrO Betong pada 2 hingga 6 Mac 2026. Bulan Ramadan dilihat sebagai wadah untuk meningkatkan amal ibadah selain pengisian program bagi mengimarahkan bulan ramadan. Antara aktiviti yang diadakan ialah Solat Sunat Tarawih berjemaah, bertadarus Al-Quran dan juga mengadakan Kuiz Pengetahuan Fakta dan Fiqh Ramadan.
Kemuncak bagi program ini ialah program Khatamal Quran dan juga Majlis Berbuka Puasa yang dilaksanakan bertempat di Dewan Sri METrO Gemilang, Politeknik METrO Betong. Hadir sama semasa Khatamal Quran dan juga Majlis berbuka puasa Puan Emirudziawati binti Juni, Timbalan Pengarah Politeknik METrO Betong serta Cik Nurulzamzam binti haji Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong.
Program kerjasama antara Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong dan Jawatankuasa Surau Politeknik Betong ini diharap dapat mengeratkan ikatan ukhuwah antara agensi, jawatankuasa surau dan belia yang terlibat.
Sarikei, 11 Mac 2026 : Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei telah menyantuni jemputan bagi menghadiri Majlis Juh Sungkey sempena Program World #QuranHour 2026 Peringkat Bahagian Sarikei yang dianjurkan oleh Pejabat Residen Bahagian Sarikei. Program tersebut telah diadakan di Masjid Al-Muttaqin, Sarikei. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei telah diwakili oleh Puan Jamaika binti Marciano dan Encik Abdul Rani bin Jemi bagi menghadiri majlis tersebut. Program ini bertujuan untuk mengimarahkan aktiviti keagamaan di samping menggalakkan penghayatan Al-Quran serta memperkukuh nilai-nilai kerohanian dalam kalangan masyarakat setempat.
11 MAC 2026, SIBU - Pejabat Belia dan Sukan (PBS) Bahagian Sibu sentiasa mendukung prinsip tadbir urus terbaik melalui pengurusan dokumen yang sistematik. Sehubungan itu, satu sesi pelupusan fail dan dokumen rasmi telah dilaksanakan dengan jayanya bertempat di Boh Ming Feedmill, Sibu.
Langkah pelupusan ini bukan sekadar aktiviti rutin, malahan merupakan satu manifestasi kepatuhan terhadap Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629). Sebelum proses fizikal dijalankan, PBS Bahagian Sibu telah melalui fasa inventori yang ketat bagi memastikan hanya dokumen yang telah mencapai tempoh simpanan matang sahaja yang disenaraikan. Kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa berkaitan telah diperoleh terlebih dahulu, bagi memastikan setiap helaian kertas yang dilupuskan tidak lagi mempunyai nilai perundangan, kewangan, atau sejarah yang memerlukan simpanan kekal.
Pemilihan lokasi di Boh Ming Feedmill, Sibu sebagai pusat pelupusan adalah berdasarkan kesesuaian fasiliti yang mampu mengendalikan pemusnahan dokumen berskala besar. Proses yang bermula seawal pagi itu melibatkan pemindahan fail-fail lama dari stor pejabat ke premis pelupusan. Kaedah yang digunakan memastikan segala maklumat sulit dan rasmi kerajaan dimusnahkan sepenuhnya secara selamat, sekali gus menghalang sebarang kebocoran maklumat kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Pelaksanaan aktiviti ini membawa impak positif yang signifikan kepada persekitaran kerja di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu. Antara manfaat utama termasuklah:
Optimalisasi Ruang: Stor pejabat kini lebih teratur dan mampu menampung fail-fail aktif yang lebih kritikal bagi urusan belia dan sukan masa kini.
Kecekapan Carian: Pengurangan lambakan dokumen lama memudahkan kakitangan membuat rujukan pantas terhadap dokumen sedia ada.
Keselamatan Maklumat: Memastikan dokumen sulit yang tidak lagi diperlukan tidak terbiar tanpa pengawasan.
Sesungguhnya, proses pelupusan dokumen ini mencerminkan komitmen jitu Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu dalam menguruskan aset intelek kerajaan dengan penuh integriti. Usaha ini akan terus menjadi agenda berkala jabatan bagi memastikan setiap aspek pengurusan rekod selari dengan arus modenisasi dan piawaian perkhidmatan awam yang dinamik.
KUCHING, 11 Mac 2026- Seramai 20 orang pegawai dan kakitangan telah menyertai Bengkel Slingshot yang dianjurkan oleh Kelab Slingshot Victory Kuching dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak pada 11 Mac 2026 (Rabu) bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan asas mengenai sukan slingshot serta meningkatkan kemahiran peserta melalui pendekatan teori dan praktikal. Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan penerangan teori berkaitan teknik asas penggunaan slingshot, aspek keselamatan serta pengendalian peralatan yang betul.
Selain itu, sesi latihan praktikal turut diadakan bagi memberi peluang kepada peserta mempraktikkan teknik yang dipelajari. Program ini turut dimeriahkan dengan mini pertandingan slingshot dalam kalangan peserta sebagai aktiviti penutup.
Penganjuran bengkel ini diharap dapat memupuk minat terhadap sukan slingshot serta menggalakkan penyertaan aktif dalam kalangan warga jabatan.
BETONG, 11 Mac 2026 – Satu sesi perbincangan berhubung penubuhan dan pendaftaran Kelab Rakan Muda (KRM) Betong telah diadakan di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong. Sesi perbincangan telah dihadiri oleh Cik Jojo Tehan dan Encik Erwan Dzulfadli bin Pasah daripada Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong bersama Saudara Mohamad Achis bin Abdullah. Perancangan penubuhan Kelab Rakan Muda Betong ini sebagai langkah proaktif bagi merealisasikan penubuhan Kelab Rakan Muda di setiap kawasan parlimen selaras saranan Jabatan Belia dan Sukan Negara.
Pejabat ini berharap dengan penubuhan dan pendaftaran Kelab Rakan Muda (KRM) Betong nanti akan menjadi platform belia remaja untuk berpesatuan serta bersama pejabat dalam merancang dan melaksanakan aktiviti Rakan Muda di kawasan Betong. Semoga dengan penubuhan kelab ini nanti akan menyemarakkan lagi aktiviti belia, sukan dan Rakan Muda di bahagian Betong.