PROGRAM RAKAN MUZIK: RENTAK SENI SIRI 3 DAERAH REMBAU 2024
28 November 2024 | Rembau
Program Rakan Muzik : Rentak Seni Daerah Rembau 2024 telah menutup tirainya dengan berlangsungnya siri yang terakhir yang diadakan di Dewan Perpatih, Pejabat Pendidikan Daerah Rembau . Berkonsepkan Tarian Piring yang merupakan tarian tradisional dan seni budaya Negeri Sembilan, seramai empat puluh (40) orang peserta yang terdiri daripada lima (5) buah sekolah di Daerah Rembau telah membuat persembahan.
Untuk siri yang terakhir ini, Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Rembau membuat inisiatif untuk mengadakan satu Pertandingan Akhir bagi menilai persembahan para peserta hasil pembelajaran dan latihan pada sesi sebelum ini.
Program yang bermula pada jam 2:30 petang itu, telah dihadiri oleh Tuan Mazlan Bin Abdullah, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Rembau, Puan Fairuz Binti Mohamad Nor, Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rembau dan En Mohd Iqbal Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Rembau.
Menerusi ucapan perasmian oleh Tuan Mazlan Bin Abdullah, Pegawai Pendidikan Daerah Rembau, beliau amat teruja dan menyambut baik dengan program yang dijalankan ini di mana program ini dapat meniupkan kembali seni budaya tradisional Negeri Sembilan yang semakin kurang diberi perhatian terutama anak-anak muda di daerah Rembau. Beliau juga mengharapkan program ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.
Mengakhiri program, sesi penyampaian hadiah dan sijil penyertaan kepada para peserta telah dijalankan . Hasil keputusan juri Kolej Vokasional Dato' Lela Maharaja telah dinobatkan sebagai Pemenang Pertandingan Tarian Piring ini diikuti oleh Kolej Vokasional Dato' Undang Haji Mohd Shariff ditempat kedua dan SMK Datuk Abdullah ditempat ketiga .
Pihak PBSD Rembau juga turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Rembau di atas kesudian bekerjasama dalam menjayakan program ini. Tidak dilupakan kepada tenaga pengajar yang juga merupakan guru-guru sekolah di daerah Rembau yang telah memberikan bimbingan dan komitmen yang baik dalam melatih para peserta. Ucapan pengharagaan juga diucapkan kepada Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri , Negeri Sembilan di atas kesudian meminjamkan prop persembahan.
Pihak PBSD Rembau sekali lagi mengucapkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program yang julung-julung kali diadakan ini dan diharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.
- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 135
