KUCHING, 5 JULAI 2025 – Pada 30 Jun 2025, PBSB Kuching telah mengadakan Mesyuarat Pengurusan yang bertujuan untuk membincangkan urusan pentadbiran, kewangan dan program-program unit belia, sukan dan rakan muda sebagai persiapan menjelang Mesyuarat Berkala JBS Negeri Sarawak yang akan diadakan pada 7 – 8 Julai 2025 nanti. Selain itu, perbincangan juga menjurus kepada perancangan dan penyelarasan program yang akan dilaksanakan pada bulan Julai dan Ogos; menyusun strategi, menetapkan peranan, dan menyelaras tugasan agar aktiviti atau program dapat dilaksanakan dengan berkesan.
KUCHING, 4 Julai 2025 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSN Sarawak) menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak yang diketuai oleh Timbalan Presiden, Encik Yong Phil Ping. Kunjungan ini bertujuan untuk mengadakan sesi perbincangan bersama Pengarah JBSN Sarawak, Tuan Lamat Anak Nyalau, bagi memperkukuhkan kerjasama dalam pembangunan sukan komuniti Orang Pekak di negeri ini.
Delegasi daripada persatuan turut berkongsi pelan strategik dan hala tuju program serta keperluan sokongan infrastruktur dan teknikal bagi pembangunan atlet Orang Pekak menjelang kejohanan akan datang. Turut hadir dalam sesi ini ialah Puan Fatimah Binti Abdul Rahman, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, JBSN Sarawak, yang memberi maklum balas positif terhadap usaha inklusif yang dibawa oleh persatuan.
JBSN Sarawak menyambut baik kunjungan tersebut dan berkomitmen untuk meneruskan sokongan terhadap inisiatif pembangunan sukan Orang Pekak selaras dengan dasar sukan untuk semua. Sesi ini diakhiri dengan sesi bergambar kenangan serta pertukaran cenderahati antara kedua-dua pihak.
KUCHING, 3 Julai 2025 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSN Sarawak) telah menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Sukan Tarik Tali Negeri Sarawak dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik bagi pembangunan sukan tarik tali di peringkat negeri.
Kunjungan yang diketuai oleh barisan kepimpinan persatuan ini bertujuan untuk mengadakan perbincangan bersama Pengarah JBSN Sarawak, Tuan Lamat Anak Nyalau, mengenai perancangan jangka panjang serta potensi sukan tarik tali sebagai salah satu sukan kompetitif yang boleh diketengahkan di Sarawak. Fokus utama adalah memperluas penyertaan belia serta menyediakan program latihan yang sistematik kepada atlet-atlet tarik tali.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Puan Fatimah Binti Abdul Rahman, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, JBSN Sarawak, yang menyatakan sokongan terhadap inisiatif persatuan dalam membangunkan sukan ini di kalangan masyarakat luar bandar dan belia tempatan.
BETONG, 4 Julai 2025 – Program Malaysia Aktif @ Komuniti Saratok 2025 Peringkat Bahagian Betong Siri 1 telah berlangsung dengan jayanya hari ini di Wisma Persekutuan Saratok, menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam satu inisiatif sihat dan inklusif.
Program ini merupakan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong dengan kerjasama Kelab Sukan Kecergasan Indai Tai Saratok yang bertujuan menjadi pemangkin dalam mewujudkan persekitaran kondusif kepada masyarakat, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup cergas dan aktif.
Turut hadir memeriahkan program ialah Cik Nurulzamzam binti Hj Shafi'ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong, yang turut bersama peserta menyertai aktiviti yang dijalankan.
Sarikei, 3 Julai 2025 : Satu mesyuarat pelaksanaan Kem Belia Tahun 2025 Peringkat Bahagian Sarikei telah dilaksanakan di Bilik Mesyuarat, Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei yang dipengerusikan oleh Puan Jamaika binti Marciano, Cawangan Pembangunan Belia PBSB Sarikei. Mesyuarat tersebut turut dihadiri daripada PPD Sarikei, PPD Julau, PPD Meradong dan para guru Pusat Kokurikulum Daerah (PKD), Kem SMK Sg. Paoh dan guru pengiring setiap sekolah menengah yang terlibat. Mesyuarat pada kali ini adalah penyelarasan jadual aktiviti yang terakhir sebelum program ini dijalankan pada 11-13 Julai 2025 nanti di Pusat Kokurikulum Daerah (PKD), Kem SMK Sg. Paoh yang akan melibatkan 60 pelajar sekolah menengah di Bahagian Sarikei. Semoga program kem belia ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia berhubung bahaya dan kesan permasalahan sosial belia serta melahirkan belia yang berfikiran kritis, kreatif dan berjiwa besar serta berbakti kepada komuniti.
Disediakan oleh: Mohammad Arbi bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 3 JULAI 2025 – Satu perlawanan persahabatan bola sepak antara Mukah FA dan Kuching City FC telah diadakan pada 2 Julai 2025 bertempat di Padang Bola Sepak Majlis Daerah Dalat Mukah (MDDM). Encik Mohammad Arbi Rosli mewakili Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah telah hadir bagi menyaksikan perlawan tersebut atas jemputan pihak Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah (MUFA).
Perlawanan persahabatan tersebut turut disaksikan oleh Yang Berhormat Tuan Royston Valentine, ADUN N.57 Tellian dan beliau telah melakukan simbolik sepakan mula sebelum perlawanan dimulakan. Sebelumnya beliau turut beramah mesra bersama para pemain daripada setiap pasukan. Keputusan penuh semalam menyaksikan Kuching City FC memenangi perlawanan persahabatan tersebut dengan jaringan 9 gol berbalas 1 gol.
BETONG, 2 Julai 2025 – Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Bahagian Betong Tahun 2025 telah diadakan pada 2 Julai 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Aras 3, Menara Utama, Kompleks Kerajaan Negeri Bahagian Betong. MPBN tahun 2025 peringkat bahagian Betong telah dipengerusikan oleh Yang Berusaha Encik Amir Ridzuan bin Mohamad, mewakili Residen Bahagian Betong merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Belia Peringkat Bahagian Betong.
Objektif pelaksanaan Majlis Perundingan Belia Negara ini juga adalah sebagai wadah untuk membincangkan isu dan masalah yang dihadapi dalam proses pembangunan belia pada semua peringkat, meneroka dimensi baharu dalam agenda pembangunan belia selaras dengan senario perubahan semasa serta menzahirkan pelan tindakan bagi menangani sebarang isu pembangunan belia.
Dalam ucap tama, Pengerusi turut mengingatkan para belia supaya sentiasa menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pendapat atau jika terdapat sebarang isu yang ingin dikemukakan. Beliau juga mengucapkan terima kasih atas kehadiran jabatan/ agensi kerajaan serta pertubuhan dan kelab belia yang hadir.
Antara pengisian yang diadakan adalah Pembentangan Kertas Kerja 1 daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia Daerah Saratok bertajuk Peranan Koperasi Bagi Memperkasakan Persatuan Belia dan Pembentangan Kertas Kerja 2 daripada Pejabat FAMA Bahagian Betong/ Sri Aman bertajuk Pembangunan Usahawan Belia. Turut diadakan perbahasan usul oleh ahli-ahli persidangan yang hadir. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan MPBN Tahun 2025 Peringkat Bahagian Betong.
BETONG, 2 Julai 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong telah menerima kunjungan daripada Puan Aini binti Amay dan Encik Jailani bin Miee yang hadir bagi mendapatkan bimbingan berkenaan proses pendaftaran sebuah badan sukan pada 1 Julai 2025. Kelab yang bakal ditubuhkan adalah Kelab Sukan Kecergasan.
Dalam sesi pertemuan tersebut, Cik Nurulzamzam binti Hj. Shafi'ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong telah memberi penerangan terperinci mengenai prosedur permohonan pendaftaran badan sukan melalui sistem eROSA. Pihak pejabat turut menzahirkan komitmen untuk membantu agar proses pendaftaran kelab ini dapat dijalankan dengan lancar dan mengikut tatacara yang ditetapkan.
Semoga penubuhan Kelab Kecergasan ini berjaya dan dapat menjadi sebuah platform yang bermanfaat kepada para peminat sukan kecergasan, sekali gus menyemarakkan lagi budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
BETONG, 1 Julai 2025 - Pasukan bola sepak dari Sarikei, Al Quthuz FC, menjuarai Karnival Bola Sepak 9 Sebelah Terbuka Bahagian Betong tahun 2025 setelah menewaskan pasukan Aqib X Kampung Boy FC dari Sri Aman dengan jaringan 1-0 pada perlawanan akhir. Karnival bermula dari 27 hingga 29 Jun 2025 di Padang Riveria, Debak, menyaksikan penyertaan sebanyak 27 penyertaan pasukan dari kawasan sekitar termasuk pasukan dari Daerah Sibu, Pakan, Julau, Sarikei, Betong, Sri Aman, Tambirat, Tebeluk, Maludam dan Semarang.
Karnival tersebut adalah anjuran Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak di bawah bantuan Dana Sukan Komuniti (DSK) Kementerian Belia dan Sukan (Jendela 3 Tahun 2025). Kejayaan tersebut membolehkan Al Quthuz FC membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, berserta medal dan piala pusingan, tempat kedua dimenangi oleh Aqib x Kpg Boy FC dari Sri Aman, manakala Pusak United dan Tabau Legacy FC kedua-duanya dari Saratok, berkongsi tempat ketiga.
Majlis simbolik sepak mula dan penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Mohamad Razi bin Sitam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Adun N.35 Saribas. Turut hadir pada majlis perasmian ialah Yang Berusaha Encik Lamat anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Cik Nurulzamzam bt Hj Shafi'ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong, Encik Mohammad Khairurani bin Mohammad Ibrahim, Pegawai Pentadbir Menguasa, Pejabat Daerah Kecil Debak dan Ketua-ketua Masyarakat.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua jawatan kuasa pengelola serta para petugas yang terlibat samaada secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran karnival ini. Tidak dilupakan penyokong yang setia memberi sokongan dari dari pertama hingga hari terakhir karnival berlangsung.