- JBS Sarawak
- Hits: 42
SUKSAR IV 2026 SERAMAI 20 SUKARELAWAN BERAKSI, BETONG GAMIT KEHADIRAN PEMINAT SUKAN
- JBS Sarawak
- Hits: 42
Disediakan oleh: NFM, JBSN Sarawak
BETONG, 23 Februari 2026 - Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 8 Februari melabuhkan tirainya dengan penuh kemeriahan, menyaksikan komitmen tinggi daripada pelbagai pihak termasuk para petugas sukarelawan.
Sepanjang empat hari kejohanan, seramai 20 sukarelawan telah digerakkan secara khusus bagi memastikan kelancaran operasi di dua venue utama daripada empat keseluruhan di bahagian Betong. Di Dewan Panglima Rentap, yang menjadi gelanggang bagi acara Angkat Berat, para sukarelawan bertugas membantu koordinasi atlet dan teknikal ketika atlet-atlet "Badang" dari pelbagai zon berentap merebut pingat emas.
Sementara itu, suasana di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan juga tidak kurang hebatnya dengan berlangsungnya acara Bola Jaring. Venue ini yang turut menjadi lokasi majlis perasmian pembukaan temasya itu, menyaksikan penglibatan aktif sukarelawan dalam menguruskan logistik dan kebajikan pemain serta penonton yang hadir memberi sokongan.
Kehadiran para sukarelawan ini dianggap sebagai "tulang belakang" kejohanan yang membantu pihak penganjur dalam aspek pengurusan venue dan memastikan SOP keselamatan serta kebajikan atlet terjaga sepanjang temasya berlangsung. Puan Norfatihah binti Moh, Pembantu Kerani Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong merangkap Penyelaras bagi dua jenis sukan berkenaan merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan yang bertugas.
SUKSAR IV 2026 kali ini dianjurkan secara bersama oleh bahagian Sri Aman dan Betong, melibatkan penyertaan lebih 1,000 atlet daripada empat zon utama iaitu Zon Utara, Tengah, Barat, dan Selatan sebagai platform persediaan ke arah SUKMA 2026.
#TeamKBS
#JBSNBersama
#MalaysiaMADANI
#IhsanMADANI
#HarungiBersama
#PBSBBetong
