13 APRIL 2026, SIBU – Pihak pentadbiran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu mengucapkan selamat datang ke Bahagian Sibu kepada Encik Mohd Nadzrul Idzlan bin Mohd Nor, Penolong Pegawai Belia dan Sukan yang memulakan khidmat dan tugas beliau di pejabat ini hari ini. Beliau yang hadir melapor diri kepada Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu hari ini akan menggantikan Encik Melvin Chambai Anak Gurang, Penolong Pegawai Belia dan Sukan yang akan bertugas di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Kapit berkuatkuasa 20 April 2026.
Pentadbiran pejabat ini amat berbesar hati menerima kehadiran beliau sebagai sebahagian daripada warga pejabat ini. Semoga dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, beliau dapat menyumbang ke arah kecemerlangan organisasi. Selamat menjalankan tugas dan semoga sukses dalam perkhidmatan.
KAPIT, 13 April 2026 – Seluruh pengurusan dan warga kerja Pejabat Belia dan Sukan Bahagian (PBSB) Kapit dengan rasa bangga merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Encik Lanting Mala atas kenaikan pangkat beliau dari gred S2 ke S3.
Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bertepatan dengan kecemerlangan prestasi, dedikasi, serta komitmen tidak berbelah bahagi yang telah ditunjukkan oleh beliau sepanjang berkhidmat di jabatan ini. Kenaikan pangkat ini juga mencerminkan kepercayaan pengurusan tertinggi terhadap kemampuan beliau dalam menggalas tanggungjawab yang lebih besar.
Sumbangan Encik Lanting dalam menjayakan pelbagai program pembangunan belia dan sukan di peringkat bahagian sentiasa dihargai. Sikap profesionalisme dan semangat kerja berpasukan beliau wajar dijadikan contoh dan inspirasi kepada seluruh warga kerja PBSB Kapit.
Semoga dengan kenaikan pangkat ini, Encik Lanting akan terus menyuntik nafas baharu, memberikan perkhidmatan yang cemerlang, dan terus melakar kejayaan bersama PBSB Kapit. Tahniah sekali lagi!
KAPIT, 13 April 2026 – Seluruh warga Pejabat Belia dan Sukan Bahagian (PBSB) Kapit mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan selamat maju jaya kepada Encik Martin Sherman Minggu, Penolong Pegawai Belia dan Sukan S5. Beliau secara rasminya melapor diri dan berpindah tugas ke Ibu Pejabat Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Sarawak di Kuching berkuat kuasa pada hari ini, 13 April 2026.
Untuk rekod, Encik Martin telah mula menabur bakti di PBSB Kapit sejak 1 Ogos 2016, selepas beliau berpindah dari JBSN Kedah. Sepanjang tempoh perkhidmatannya di Kapit, beliau telah memainkan peranan yang amat penting dalam pelbagai inisiatif pembangunan belia peringkat akar umbi, pengurusan sukan di peringkat komuniti, serta pemantapan pengurusan pejabat.
Pihak pengurusan dan seluruh warga di PBSB Kapit merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas segala jasa, dedikasi, serta komitmen cemerlang yang telah dicurahkan oleh beliau sepanjang berkhidmat di sini.
Kami mendoakan agar Encik Martin terus melakar kejayaan, diberikan kesihatan yang berpanjangan, dan sentiasa cemerlang dalam menggalas tanggungjawab di tempat kerja yang baharu. Selamat maju jaya dan selamat bertugas di JBSN Sarawak!
SIBU, 12 APRIL 2026 – Semangat perpaduan dan kecergasan terpancar jelas di Rumah Panjang Jelian Lama, Pasai Siong hari ini menerusi penganjuran program Ruai-Fit 2026. Program yang berlangsung meriah ini merupakan inisiatif murni anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam usaha membawa kesedaran gaya hidup sihat terus ke komuniti akar umbi.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dr. Rosalia, Penyelia Promosi Kesihatan UNIMAS. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penjagaan kesihatan yang holistik dan peranan institusi pendidikan dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Selain daripada aktiviti kecergasan, Ruai-Fit 2026 turut diisi dengan pelbagai sesi perkongsian ilmu yang bermanfaat. Menariknya, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian (PBSB) Sibu telah diberi penghormatan untuk turut serta sebagai rakan strategik bagi menyuntik elemen pembangunan belia dalam program tersebut.
Slot perkongsian berkaitan Program Rakan Muda telah disampaikan oleh Encik Melvin Chambai Anak Gurang, Penolong Belia dan Sukan Bahagian Sibu. Beliau telah memberikan pencerahan terperinci mengenai nafas baharu Rakan Muda yang merangkumi pelbagai gaya hidup positif, bertujuan untuk membentuk karakter belia yang lebih dinamik, kompetitif, dan memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi.
Kehadiran PBSB Sibu dalam program ini bukan sahaja bertujuan mempromosikan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS), malah sebagai platform untuk mendekati golongan belia di kawasan Pasai Siong agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan modal insan negara.
Syabas diucapkan kepada UNIMAS atas penganjuran yang cemerlang dan terima kasih kepada penduduk Rumah Panjang Jelian Lama atas sambutan yang amat luar biasa!
"Segalanya Bermula Di Sini" "Rakan Muda: Yakin Boleh!"
BETONG, 13 April 2026 - Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong telah mengadakan Mesyuarat Pengurusan Jabatan pada 2 April 2026 bertempat di Ruang Tamu, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong. Mesyuarat pengurusan dipengerusikan oleh Cik Nurulzamzam bt. Hj. Shafiíe, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong.
Mesyuarat diadakan bagi membincangkan aspek pengurusan pentadbiran pejabat, kewangan serta perancangan program tahun 2026. Pengerusi turut menekankan kepentingan memastikan keselamatan pejabat sentiasa berada pada tahap yang baik, di samping mengekalkan persekitaran kerja yang kemas dan teratur.
Beliau juga mengingatkan semua kakitangan agar sentiasa mengamalkan budaya kerja yang profesional serta meningkatkan komitmen dalam melaksanakan tugas masing-masing.
BETONG, 13 APRIL 2026 - Kursus Pematuhan dan Pelupusan Rekod Kewangan (AP150) anjuran Institut Perakauan Negara pada 8 hingga 9 April 2026 bertempat di Anjung Merpati Sri Aman. Kursus ini disampaikan oleh penceramah dari Jabatan Arkib Negeri Sarawak iaitu Encik Afham Jauhari Bin Aldi. Seramai 50 peserta yang hadir dari PTJ bahagian Sri Aman.
Objektif kursus ini adalah memberi pendedahan kepada Pusat Tanggungjawap memperolehi pengetahuan berhubung pelupusan rekod kewangan serta lebih yakin untuk melaksanakan pelupusan berdasarkan pengetahuan dan makluman yang disampaikan.
Pusat Tanggungjawap yang hadir kursus ini boleh mengetahui tatacara terkini kaedah pelupusan rekod kewangan dan rekod awam dan arahan perbendaharaan terkini berhubung pelupusan rekod kewangan. Kursus ini telah dihadiri oleh Puan Norfatihah binti Moh Pembantu Tadbir (P/O)dari PBSB Betong.
Kuching, 12 April 2026 – Satu majlis ringkas penyerahan tugas bagi Cawangan Pembangunan Sukan Rekreasi, Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Sarawak telah diadakan hari ini. Encik Nadzrul Idzlan Bin Mohd Nor secara rasmi menyerahkan tugas beliau kepada Encik Awangku Adi Azwan Bin Awangku Bolhassan.
Encik Nadzrul akan berpindah ke Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu berkuatkuasa pada 13 April 2026 bagi meneruskan perkhidmatan beliau di sana. Penyerahan tugas ini telah disaksikan oleh Puan Fatimah Binti Abdul Rahman, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, JBSN Sarawak.
Majlis berlangsung dalam suasana penuh penghargaan atas segala sumbangan dan komitmen Encik Nadzrul sepanjang bertugas. Pihak jabatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan terima kasih serta selamat maju jaya kepada beliau di tempat baharu.
Kuching, 12 April 2026- Majlis Penyampaian Hadiah dan Cek Geran Padanan Sukan sempena Program Canroll Pro Urban Sports Festival 2026 telah berlangsung dengan meriah pada 12 April 2026 di Waterfront Kuching. Program ini berjaya menghimpunkan komuniti sukan urban serta golongan belia dalam suasana penuh semangat dan kompetitif.
Majlis telah disempurnakan oleh YB Tuan Mordi Anak Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang serta Cek Geran Padanan Sukan kepada Encik Nik Mohd Suhaily Bahari, Pengasas Canroll Pro Urban Sports Festival.
Turut hadir ialah Tuan Ramzi bin Abdillah, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara; serta Puan Fatimah Binti Abdul Rahman, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
Program ini bertujuan memperkasa pembangunan sukan urban seperti skateboarding, BMX dan sukan ekstrem lain di peringkat akar umbi. Selain itu, pemberian geran padanan sukan diharap dapat membantu persatuan serta komuniti dalam merancang serta melaksanakan aktiviti sukan secara lebih tersusun.
Penganjuran festival ini juga menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu di samping mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Dengan sokongan pelbagai pihak, program sebegini dijangka terus berkembang dan memberi impak positif kepada pembangunan sukan negara.
Kuching, 10 April 2026 – Encik Mohd Nadzrul Idzlan Bin Mohd Nor, Penolong Pegawai Belia dan Sukan dari Bahagian Pembangunan Sukan telah dijemput untuk menyampaikan sesi perkongsian pengalaman berkaitan pengurusan Sukarelawan SUKMA Sarawak 2024 kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor.
Sesi yang berlangsung secara dalam talian ini bertujuan membantu persiapan Jawatankuasa Sukarelawan SUKMA XXII Negeri Selangor 2026. Antara fokus utama perkongsian termasuk pengurusan keseluruhan acara, cabaran sepanjang penganjuran, penyelarasan logistik dan sukarelawan serta amalan terbaik yang boleh dicontohi.
Program ini diadakan melalui platform Google Meet dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta. Perkongsian ini diharap dapat memberi panduan berguna dalam memastikan kelancaran penganjuran SUKMA Selangor 2026.