KLAS Renang Warga Emas Melabuhkan Tirai Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 26 Januari 2026 – Seramai 40 orang warga emas telah berjaya menamatkan kelas latihan asas sukan renang pada 25 Januari 2026. Terdiri daripada 34 orang wanita dan 4 orang lelaki, para peserta telah menjalani latihan selama 6 jam setiap hujung minggu (1 jam setiap sesi) bermula 10 Januari 2026 yang lalu. Latihan diadakan di Pusat Kecemerlangan Akuatik, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak dan tenaga pengajar daripada Kelab Renang Power Akuatik.
Majlis Penutup Karnival Sukan JBSN Sarawak 2026 Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 22 Januari 2026 – Pada 16-18 Januari 2026, semua pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak telah berkampung di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Sarawak untuk menyertai Karnival Sukan JBSN Sarawak. Peserta telah dibahagikan kepada empat (4) kumpulan iaitu kumpulan kuning, merah, biru dan hitam. Sebanyak lima (5) acara telah dipertandingkan iaitu acara boling, 3 on 3 bola jaring wanita, ping pong berpasukan lelaki, badminton berpasukan dan sling shot berpasukan.
Majlis Penutup Karnival Sukan telah diadakan pada 18 Januari 2026 di dewan utama KOMBES. Pasukan kuning telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan, kumpulan merah di tempat kedua, biru dan hitam masing-masing di tempat ketiga dan ke empat. Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Encik Lamat Nyalau, Pengarah JSBN Sarawak.
SIBU, 23 Januari 2026 – Usaha memperkasa dan memartabatkan profesionalisme dalam bidang kerja belia terus diperkukuh melalui penganjuran Sesi Semakan Portfolio Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 bagi bidang Pelaksanaan Kerja Belia.
Sesi yang berlangsung di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu ini telah dikendalikan oleh Encik Yaman bin Yahya, Pegawai Penilai bertauliah yang dilantik oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Sepanjang sesi tersebut, beliau telah memberikan bimbingan teknikal secara intensif serta menjalankan semakan dokumen pembuktian portfolio bagi enam orang calon yang terlibat.
Langkah ini amat penting bagi memastikan setiap portfolio yang dibangunkan memenuhi kehendak dan piawaian Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang telah ditetapkan. Kejayaan memperoleh persijilan ini dijangka dapat meningkatkan tahap kredibiliti serta kualiti penyampaian perkhidmatan pegawai dalam usaha pembangunan belia di Sarawak.
Kuching, 23 Januari 2026 – Warga Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak telah mengadakan Majlis Bacaan Yaasin bertempat di Surau Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Program kerohanian ini disertai oleh pegawai dan kakitangan jabatan sebagai pengisian rohani serta usaha memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga kerja.
Majlis dimulakan dengan bacaan Yaasin secara berjemaah diikuti dengan doa memohon kesejahteraan, keberkatan rezeki dan kelancaran urusan jabatan. Penganjuran majlis ini diharap dapat menyemai nilai-nilai murni, ketenangan jiwa serta meningkatkan semangat kebersamaan dalam melaksanakan tanggungjawab harian.
SIBU, 21 Januari 2026 — Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu telah menganjurkan satu sesi riadah bagi menggalakkan warga pejabat kekal sihat dan aktif. Sesi riadah ini telah diadakan selepas waktu bekerja sebagai inisiatif untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan kakitangan.
Aktiviti riadah yang dipilih bagi sesi ini ialah pickleball, iaitu sejenis sukan yang semakin mendapat sambutan kerana sesuai untuk semua peringkat umur serta mampu meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan koordinasi badan.
Tujuan utama penganjuran sesi riadah ini adalah untuk memastikan warga kerja PBS Bahagian Sibu kekal cergas, mengurangkan tekanan kerja serta mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan dalam suasana santai dan menyeronokkan.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu berharap penganjuran aktiviti seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha berterusan ke arah melahirkan persekitaran kerja yang sihat, produktif dan seimbang.
KUCHING, 21 Januari 2026 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak menerima kunjungan hormat daripada Kenyalang Skills Center Sdn Bhd yang diadakan di Bilik Mesyuarat Santubong Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
Kunjungan hormat tersebut telah dihadiri oleh Puan Arni Nazira binti Abdullah, Pengurus Pusat Kenyalang Skills Center bersama pegawai dan di sambut baik oleh Puan Hafizah Binti Dahlan, Penolong Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak. Pertemuan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan kerjasama strategik serta membincangkan potensi kolaborasi dalam bidang pembangunan kemahiran dan peningkatan kebolehpasaran belia di Negeri Sarawak. Antara fokus perbincangan termasuk pelaksanaan program latihan berasaskan kemahiran, pembangunan modal insan belia serta inisiatif peningkatan kompetensi selaras dengan keperluan industri semasa. Pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak menyambut baik kunjungan ini dan menzahirkan komitmen untuk terus menyokong inisiatif yang berupaya memperkasa golongan belia melalui latihan kemahiran, pendidikan teknikal dan pembangunan kerjaya.
Diharapkan kunjungan hormat ini dapat menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak dan Kenyalang Skills Center dalam usaha melahirkan belia Sarawak yang berkemahiran, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
KUCHING, 20 Januari 2026 – Satu sesi kunjungan hormat daripada Excellence Skills & Entrepreneurship Center Sdn Bhd kepada Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak yang diadakan di Bilik Mesyuarat Santubong, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Kunjungan hormat tersebut telah disambut oleh Puan Hafizah Binti Dahlan, Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Turut hadir mewakili Excellence Skills & Entrepreneurship Center Sdn Bhd ialah Puan Nur Asiah binti Jamaludin, Eksekutif Latihan Teknikal Dan Vokasional.
Pertemuan ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan strategik serta meneroka potensi kerjasama dalam bidang pembangunan kemahiran dan keusahawanan belia di Negeri Sarawak. Antara perkara yang dibincangkan termasuk peluang pelaksanaan program latihan berasaskan kemahiran, pembangunan modal insan belia serta inisiatif keusahawanan yang berupaya meningkatkan kebolehpasaran golongan belia. Perbincangan turut memfokuskan kepada peluang pelaksanaan program latihan berasaskan kemahiran, pembangunan modal insan belia serta inisiatif keusahawanan selaras dengan aspirasi pembangunan belia negeri.
Pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak menyambut baik kunjungan tersebut dan menzahirkan komitmen untuk menyokong inisiatif-inisiatif yang berupaya memberi impak positif kepada pembangunan belia, khususnya dalam aspek peningkatan kemahiran teknikal, inovasi dan keusahawanan. Diharapkan kunjungan ini dapat menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih erat dan berterusan antara kedua-dua pihak demi melahirkan belia Sarawak yang berdaya saing, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Putrajaya, 19 Januari 2026- Satu sesi post mortem Cawangan Kecergasan Nasional bersama pegawai Cawangan Kecergasan Nasional Negeri telah diadakan pada 19 Januari 2026. Sesi ini bertujuan untuk menilai pelaksanaan program sepanjang tahun 2025 serta membincangkan perancangan dan penambahbaikan program bagi tahun 2026.
Hadir sama dalam sesi tersebut ialah Puan Shyennier Jean Sherit dan Encik Hazwan Salleh Baihaki bersama pegawai-pegawai cawangan kecergasan dari peringkat negeri. Perbincangan berjalan secara konstruktif dengan memberi fokus kepada pencapaian, cabaran yang dihadapi, serta cadangan penambahbaikan bagi memastikan program kecergasan yang dirancang lebih berkesan dan memberi impak maksimum kepada masyarakat.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Tuan Dharzuky Bin Daud @ Zakaria yang menekankan kepentingan kerjasama erat antara peringkat kebangsaan dan negeri. Beliau turut menggesa agar segala pandangan dan dapatan hasil post mortem ini dijadikan panduan dalam memperkukuhkan pelaksanaan program kecergasan pada tahun 2026 selaras dengan matlamat pembangunan sukan dan kesihatan negara.
Kuching, 21 Januari 2026- Perhimpunan Mesra Bulanan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bagi bulan Januari 2026 telah diadakan pada 21 Januari 2026 dengan penyertaan pegawai dan kakitangan Kementerian Belia dan Sukan dari seluruh negara. Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak turut menyertai perhimpunan ini secara dalam talian, selari dengan usaha memperkukuh penglibatan warga kerja tanpa mengira lokasi.
Perhimpunan ini telah disempurnakan oleh Dr. Mohammed Taufiq bin Tan Sri Dato’ Dr. Johari, Menteri Belia dan Sukan Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan integriti, profesionalisme serta kerjasama berpasukan dalam memastikan pelaksanaan dasar dan program belia serta sukan berjalan dengan berkesan. Beliau turut mengajak semua warga kementerian untuk terus berinovasi dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa demi memenuhi keperluan belia negara.
Perhimpunan ini menjadi platform penting bagi menyampaikan maklumat terkini, mempererat hubungan sesama warga KBS serta menyemarakkan semangat kerja berpasukan ke arah kecemerlangan organisasi.