BATTLE OF THE BARBELL 2025 KUCHING OPEN Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 16 MEI 2025 – Persatuan Angkat Berat Bahagian Kuching telah menganjurkan Battle of The Barbell 2025 Kuching Open pada 10 Mei 2025 yang lalu bertempat di Crossfit Kuching, Cannan Square Business Hub. Penganjuran program ini menggunakan dana Geran Padanan Sukan yang diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Seramai 151 orang peserta menyertai pertandingan ini. Lelaki dan wanita masing-masing seramai 83 dan 68 orang.
GERAN PADANAN SUKAN PEMANGKIN KEPADA KEMAJUAN SUKAN DI PERINGKAT AKAR UMBI Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 16 MEI 2025 – Power Aquatics Swimming Club sekali lagi telah berjaya mengadakan 2nd Inter-Club Swimming Competition 2025 pada 10 hingga 12 Mei 2025 yang lalu bertempat di Pusat Akuatik Pandelela Rinong. Penganjuran pertandingan ini mendapat suntikan dana daripada Geran Padanan Sukan, peruntukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Sebanyak 7 kelab renang menyertai pertandingan pada kali ini iaitu Dashing Dolphin Swimming Club, Hornbill Swimmers, Kawaras, Kota Permai Gcc Swim Team, Power Penguin Swimming Club, Sea Dragon Swimming Club, The Sarawak Club dan Power Aquatics Swimming Club. Seramai 217 orang perenang terlibat dengan 356 kategori yang dipertandingkan. Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Mayor Dato Wee Hong Seng, Presiden Persatuan Renang Amatur Sarawak.
WARNA WARNI SEMARAK HARI BELIA NEGARA 2025 PERINGKAT BAHAGIAN KUCHING Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 15 MEI 2025 – Pada hari ini, serentak di seluruh Negara, diadakan program Semarak Hari Belia Negara 2025 termasuklah di Negeri Sarawak. Persatuan Belia Prihatin Bandar Kuching dan CENTEXS Kuching selaku rakan strategik PBSB Kuching telah berjaya melaksanakan Semarak Hari Belia Negara 2025 Peringkat Bahagian Kuching di CENTEXS Kuching dengan penyertaan seramai 528 orang peserta.
Semarak Hari Belia Negara 2025 diadakan bagi menyemarakkan suasana dan bahang sambutan Hari Belia Negara di peringkat akar umbi dan seterusnya menaikkan semangat kecintaan dan patriotisme di kalangan golongan belia supaya terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan Negara. Majlis dimulakan dengan menonton video ucapan Selamat Menyambut Hari Belia Negara 2025 daripada Yang Berhormat Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia diikuti dengan bacaan ikrar belia oleh Asri Hazwan Harun, Pengerusi Persatuan Belia Prihatin Bandar Kuching. Pelbagai pengisian aktiviti telah diadakan termasuklah senamrobik beramai-ramai, ceramah, pameran, pertandingan futsal dan jualan makanan – food truck, cabutan bertuah.
KAPIT, 15 Mei 2025 – Program Semarak Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Bahagian Kapit 2025 telah berlangsung dengan meriah hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapit yang menghimpunkan penyertaan lebih seribu orang pelajar, golongan belia serta komuniti setempat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Encik Daniel Batin, Ketua Bahagian Sosial dan Kebajikan Awam, yang hadir mewakili Tuan Residen Bahagian Kapit. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan atas kerjasama pelbagai agensi dalam menjayakan program ini serta menyeru belia untuk terus aktif dan menyumbang dalam pembangunan masyarakat.
Pelbagai aktiviti telah diadakan mengikut port seperti senamrobik perdana, tayangan filem patriotik, servis minyak motosikal, pemeriksaan kesihatan dan gerai jualan makanan dan minuman. Penganjuran program di SMK Kapit turut memperkukuh jalinan kerjasama antara pihak sekolah, agensi kerajaan dan pertubuhan belia serta menjadi platform membina semangat perpaduan, kepimpinan dan kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.
Program Semarak HBN Peringkat Bahagian Kapit ini merupakan usaha berterusan Kementerian Belia dan Sukan melalui Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Kapit untuk menyemarakkan semangat cintakan negara, memperkasa belia tempatan, dan memupuk keterlibatan aktif dalam aktiviti komuniti dan pembangunan negara.
PERSIAPAN SEMARAK HARI BELIA NEGARA PERINGKAT BAHAGIAN KUCHING Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 13 MEI 2025 – Semarak Hari Belia Peringkat Bahagian Kuching akan diadakan pada 15 Mei 2025 bertempat di Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) Kuching. Team PBSB Kuching telah datang ke CENTEXS Kuching mengadakan perbincangan dan lawatan tapak pada 9 Mei 2025 yang lalu. Puan Mazuyah Haji Anis, Pengurus Hal Ehwal Pelatih dan Alumni, CENTEXS Kuching telah mempengerusikan sesi perbincangan tersebut.
Disediakan oleh : Morni binti Ibrahim, JBSN Sarawak
SIBU, 15 MEI 2025- Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu dengan kerjasama Kelab Belia Iban Mansang Bawang Assan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Oya telah melaksanakan Program Semarak Hari Belia Negara Peringkat Bahagian Sibu bertempat di SMK Jalan Oya yang menyediakan 6 segmen yang telah menarik lebih kurang 500 pelajar dikalangan belia untuk menyertai program yang telah diatur. Program ini telah dirasmikan oleh Tuan Christopher Ranggau Anak Unting, Timbalan Residen Bahagian Sibu. Manakala ikrar belia telah diketuai oleh saudara Mohmad Habib bin Mohamad Firdaus. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi agensi kerajaan & swasta, IPTA/IPTS yang sama-sama bergabung tenaga dalam menjayakan program yang bertemakan Yakin Boleh dan mempunya matlamat untuk memupuk ketahanan fizikal dan mental agar cekal dan tabah disamping memupuk perpaduan dikalangan masyarakat khususnya masyarakat di Sibu.
KAPIT, 14 Mei 2025 – Bagi memeriahkan penganjuran Semarak Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Bahagian Kapit 2025, satu perbincangan bersama Pusat GiatMARA Kapit telah diadakan semalam bagi menyelaras pelaksanaan Port "Jana Duit " yang dijadual berlangsung pada esok, 15 Mei 2025.
Antara pengisian utama bagi slot ini ialah khidmat servis motosikal secara percuma kepada orang awam, yang akan melibatkan sebanyak 20 buah motosikal. Aktiviti ini merupakan inisiatif bersama bagi mengaplikasikan kemahiran pelajar serta memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
Aktiviti ini akan melibatkan penyertaan aktif daripada para penuntut GiatMARA Kapit dalam bidang berkaitan automotif. Melalui aktiviti ini, mereka berpeluang mempraktikkan kemahiran teknikal secara langsung dan membina keyakinan dalam perkhidmatan komuniti.
Perbincangan tersebut turut dihadiri oleh Pengurus Pusat GiatMARA Kapit, Encik Budy Abang Bujang, yang menyatakan komitmen penuh dalam menjayakan kerjasama ini dan menyokong usaha memartabatkan kemahiran belia tempatan melalui platform Hari Belia Negara.
Port Jana Duit merupakan antara segmen yang memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran dan keusahawanan belia, selaras dengan objektif HBN 2025 yang menekankan keterlibatan aktif belia dalam pelbagai bidang berimpak tinggi.
KAPIT, 14 Mei 2025 – Tinggal beberapa jam lagi menjelang esok tanggal 15 Mei 2025 sambutan Semarak Hari Belia Negara Peringkat Bahagian Kapit yang bakal berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Kapit.
Persiapan pada sebelah petang tadi telah dibantu oleh warga kerja SMK Kapit dan ahli Kelab Belia Pekan Kapit. Raptai penuh juga diadakan bagi memastikan kelancaran program.
Diantara pengisian aktiviti adalah pameran kerjaya, jualan makanan, permainan, aktiviti kecergasan,pemeriksaan kesihatan dan banyak lagi.
KAPIT, 13 MEI 2025 – Tinggal 2 hari lagi menjelang Hari Belia Negara Peringkat Bahagian Kapit 2025 yang akan dilaksanakan bertempat di SMK Kapit. Satu perbincangan telah diadakan bersama dengan Encik Jeffry Lias, Pengetua SMK Kapit bersama Encik Suliman Paulus Jujong, Penolong Kanan Ko-Kurikulum dan Puan Qistina Amirah, Setiausaha Ko-Kurikulum SMK Kapit . Puan Olivia Kaminis, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kapit dan Encik Lanting Mala selaku Pegawai Penyelaras SHBN turut hadir ke sesi perbincangan tersebut.
Perbincangan adalah meliputi persiapan bagi Majlis Perasmian, pengisian pelbagai aktiviti yang melibatkan semua pelajar sesi pagi dan sesi petang SMK Kapit. Lima (5) segmen belia akan dilaksanakan iaitu Port Fit Malaysia, Port Healing, Port Santai Janji Sampai, Port Makan-Makan dan Port Jana Duit. Aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan adalah Pertandingan Aerobic Dance, Perkhidmatan Menukar Minyak Hitam Motosikal secara percuma, gerai jualan makanan dan minuman dan aktiviti Mari Mencuba. Diantara agensi dan NGO’s yang akan terlibat ialah Giat Mara Kapit, Pejabat Mara Bahagian Kapit, Kelab Belia Gagasan Pekan Song dan Kelab Belia Pekan Kapit.
Melalui HBN Peringkat Bahagian Kapit 2025 berharap akan dapat menggalakkan para belia terutama di kawasan luar bandar untuk sentiasa aktif dalam melibatkan aktiviti belia, sukan dan Rakan Muda.