MACHANG, 19 JUN 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Machang telah mengadakan satu lawatan kebajikan ke rumah Timbalan Pengerusi Kelab Belia Bandar Machang, Saudara Ahmad Nazif bin Samsuddin di Kampung Lalang Luas, Joh, Labok.
Beliau telah mengalami patah tulang di pergelangan kaki kiri pada 16 Jun 2025 akibat daripada bermain bola sepak dan kini beliau masih berehat di rumah beliau.
Puan Siti Azura binti Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Machang bersama Encik Zaharuddin bin Zainal, Pegawai Unit Sukan PBSD Machang dan Encik Shahril bin Aziz, Pegawai Unit Rakan Muda PBSD Machang telah hadir dalam lawatan ini
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang
GUA MUSANG, 18 Jun 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang terus melaksanakan usaha memperkasakan pembangunan belia melalui penganjuran Kem Belia Peringkat Daerah Gua Musang 2025, yang bakal diadakan di Paksu Chalet & Camp Site, Pasir Puteh, Kelantan.
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program ini, satu sesi perbincangan dan penyelarasan telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bendahara, melibatkan kehadiran En. Muhammad Norfikri bin Norzaki, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Gua Musang dan Puan Nurul Syifa binti Husni, Pembantu Belia dan Sukan Daerah Gua Musang.
Sesi ini bertujuan menyelaraskan kerjasama dan komitmen pihak sekolah dalam penyertaan pelajar serta peranan sebagai rakan strategik program. Beberapa aspek utama turut dibincangkan termasuk pemilihan peserta, persiapan logistik, penglibatan fasilitator dan pelaksanaan modul yang merangkumi elemen pembinaan sahsiah, kepimpinan, ketahanan diri dan semangat kerjasama.
Penganjuran Kem Belia ini diharap dapat memberi impak positif kepada generasi muda khususnya pelajar sekolah menengah, dalam membentuk belia yang berdaya tahan, berdisiplin dan berwawasan. Pihak sekolah menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan serta kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan program yang dijadualkan berlangsung pada suku ketiga tahun ini.
Kem Belia Daerah Gua Musang merupakan salah satu inisiatif pembangunan sahsiah kendalian Pejabat Belia dan Sukan Daerah yang memberi tumpuan kepada pelajar sekolah sebagai kumpulan sasar utama, dengan objektif membina belia berilmu, berkarakter dan proaktif terhadap pembangunan masyarakat.
Disediakan oleh: Urus Setia Media Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang
PASIR PUTEH, 19 JUN 2025 – Kelab Rakan Muda Bandar Pasir Putih telah mengadakan satu sesi perbincangan bersama ahli jawatankuasa bagi merancang aktiviti demi mencapai sasaran penyertaan remaja dan meningkatkan impak kemenjadian peserta yang unggul.
Perbincangan yang dipengerusikan oleh Encik Sazli bin Mahmood, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh, turut dihadiri oleh Saudara Muhammad Firdaus bin Abdul Rahman, Pengerusi Kelab Rakan Muda Bandar Pasir Putih serta barisan ahli jawatankuasa. Fokus utama perbincangan adalah merangka inisiatif yang dapat menarik lebih ramai remaja menyertai kelab melalui pelaksanaan program-program menarik, dan inklusif.
Antara perkara yang dibincangkan termasuklah pelaksanaan program bersama agensi-agensi luar, penekanan kepada pembangunan sahsiah dan jati diri belia, serta usaha memperkasakan visi dan misi kelab untuk menjadi platform kepada golongan muda.
Menurut Encik Sazli bin Mahmood "Peranan Kelab Rakan Muda bukan sekadar menganjurkan aktiviti, tetapi sebagai pemangkin yang mampu membentuk kepimpinan, keterampilan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan remaja."
Perbincangan ini diharapkan menjadi titik tolak kepada pengukuhan gerak kerja kelab secara lebih tersusun dan progresif dalam mendepani cabaran serta keperluan belia masa kini.
Tanah Merah, 23 Jun 2025 – Suasana pagi Jumaat di perkarangan Masjid Saidina Osman Tepi Sungai, Tanah Merah, Kelantan pada 20 Jun 2025 bertukar meriah dengan penganjuran Program Malaysia Aktif@Community Berbasikal Peringkat Daerah Tanah Merah 2025 yang berjaya menghimpunkan seramai 150 peserta dari seluruh daerah. Program berbasikal ini merupakan hasil kolaborasi antara Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah, Yayasan Mahsari Group, dan pihak Masjid Saidina Osman, sebagai satu inisiatif memperkasakan gaya hidup sihat serta mempereratkan hubungan komuniti melalui aktiviti riadah bersama.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, YBhg. Datuk Wan Rakemi bin Wan Zahari, Pengerusi Yayasan Mahsari Group, yang menyampaikan ucapan penuh inspirasi kepada para peserta dan penganjur. Turut hadir memberi sokongan ialah En. Ismafardi bin Ismail serta En. Ahmad Ridhwan bin Zazani, sekali gus membuktikan komitmen bersama dalam menjayakan program komuniti yang bermakna ini.
Program ini tidak hanya menjadi platform mempromosikan kesihatan fizikal, tetapi turut menyemarakkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah
Tanah Merah, 23 Jun 2025 – Dewan SMK Belimbing, Tanah Merah, Kelantan telah menjadi saksi kepada penganjuran julung kali Kejohanan Aerobathon Peringkat Daerah Tanah Merah 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah dan semangat kesukanan. Kejohanan ini telah dianjurkan oleh Kelab Senamrobik Bechah Laut pada 14 Jun 2025 ( Sabtu ) dan berjaya menghimpunkan seramai 200 peserta merangkumi pelbagai kategori umur dari seluruh daerah.
Program yang mendapat sambutan hangat ini telah dianjurkan dengan sokongan padu Kementerian Belia dan Sukan melalui Dana Sukan Komuniti, sekaligus membuktikan komitmen kerajaan dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan perpaduan komuniti melalui aktiviti kecergasan.
Majlis penutup kejohanan turut diserikan dengan kehadiran En. Ahmad Ridhwan bin Zazani yang mewakili Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah. Kehadiran beliau menyemarakkan lagi semangat para peserta dan penganjur, sekali gus memberi pengiktirafan terhadap usaha penganjuran acara ini.
Penganjur berharap agar kejohanan ini dapat dijadikan acara tahunan dengan penyertaan yang lebih meluas serta ganjaran hadiah yang lebih lumayan pada masa akan datang.
Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah
Tanah Merah, 15 Jun 2025 – Program Malaysia Aktif@Community yang bertujuan memupuk gaya hidup sihat dan semangat perpaduan komuniti telah melabuhkan tirai untuk Siri 1 di Daerah Tanah Merah dengan jayanya. Program ini merupakan inisiatif nasional yang bakal berlangsung sebanyak 12 siri, menyasarkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara.
Pelaksanaan program ini mencakupi pelbagai aktiviti sihat dan santai seperti senamrobik, berjalan, berbasikal, berlari serta mendaki, sekali gus menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia.
Siri pertama bagi daerah Tanah Merah telah berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan Bukit Gading, Tanah Merah pada 12 Jun 2025 dengan sambutan yang sangat menggalakkan. Kehadiran masyarakat setempat menyerikan lagi suasana, dan program ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu khas iaitu Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Bukit Gading Tanah Merah, Encik Azmi bin Abdullah serta Pembantu Belia dan Sukan dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah, Encik Ahmad Ridhwan bin Zazani.
Program ini dijangka menjadi platform berimpak tinggi dalam memperkukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti, di samping menggalakkan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan fizikal dan mental.
Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah
TANAH MERAH, 11 Jun 2025 – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H, Kelab Belia Generasi Penggerak Ummah Bandar Tanah Merah (GPU) telah melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih dua ekor lembu bagi menghayati semangat pengorbanan dan keprihatinan terhadap masyarakat setempat.
Seekor lembu daripada ibadah korban tersebut diadakan di Kampung Bukit Tebu, manakala seekor lagi dilaksanakan di Taman Kiara, Tanah Merah. Daging korban diagihkan kepada golongan asnaf dan keluarga yang memerlukan sebagai sebahagian daripada usaha murni membantu masyarakat sekitar.
Selain ibadah korban, program turut diserikan dengan penyampaian bakul makanan kepada keluarga ahli kelab yang berada dalam aktegori asnaf. Inisiatif ini mencerminkan semangat kebersamaan dan solidariti sesama ahli serta keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat.
Menurut Pengerusi Kelab Belia Generasi Penggerak Ummah Bandar Tanah Merah iaitu Sdr Muhammad Hanif Fitri bin Muhd Sawadi, penganjuran aktiviti sebegini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha, malah menjadi platform menggalakkan belia untuk aktif dalam program kemasyarakatan serta memperkukuh nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda. Turut hadir bersama dalam program ini adalah En Ahmad Ridhwan Bin Zazani, Pembantu Belia dan Sukan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah.
Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah
TANAH MERAH, 11 Jun 2025 – Perbincangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Daerah Tanah Merah sesi 2025 - 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Utama Majlis Daerah Tanah Merah. Perbincangan ini merupakan sesi persiapan bagi Persidangan Majlis Perundingan yang dijadualkan berlangsung pada 24 Jun 2025 di tempat yang sama.
Majlis perbincangan ini dipengerusikan oleh Setiausaha Majlis Daerah Tanah Merah iaitu YBrs. Tuan Haji Mohd Khairil Hazmie bin Yusof. Majlis Perundingan Belia Negara ini akan melibatkan penyertaan pelbagai Agensi serta NGO Belia dari daerah Tanah Merah. Persidangan Majlis Perundingan Belia ini diadakan bertujuan memperkukuh agenda pembangunan belia serta membincangkan isu-isu penting yang berkaitan dengan kebajikan dan kepimpinan golongan muda di Tanah Merah.
Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Daerah Tanah Merah yang akan dijadualkan akan berlangsung pada 24 Jun 2025 ini dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan belia dengan penglibatan lebih luas daripada pelbagai pihak berkepentingan. Sesi ini bukan sahaja akan menjadi platform utama untuk membincangkan isu semasa tetapi juga untuk merangka pelan tindakan bagi memperkasakan belia di Tanah Merah.
Turut hadir dalam perbincangan ini ialah En Wan Abdul Rahman bin Hj Wan Ismail, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah; En Ismafardi Bin Ismail, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah; serta En Ahmad Ridhwan Bin Zazani, Pembantu Belia dan Sukan dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah.
Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah
KOTA BHARU,22 Jun 2025 – Kejohanan Sepak Takraw Liga Sukan Komuniti (LSK) Peringkat Daerah Kota Bharu Tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh semangat pada 23 Mei 2025 bertempat di Dewan Terbuka, Kompleks Belia dan Sukan Panji. Kejohanan ini dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu dengan kerjasama Kelab Sepak Takraw Che Arus, dan telah berjaya menghimpunkan 22 pasukan dari seluruh daerah.
Pasukan Hujung Tanjung C telah mempamerkan kehebatan dan ketangkasan apabila berjaya menewaskan pasukan Teluk Kintang A dalam perlawanan akhir, sekali gus dinobatkan sebagai juara kejohanan. Tempat ketiga bersama pula dimenangi oleh pasukan Hujung Tanjung A dan Teluk Kintang B.
Sebagai penghargaan atas pencapaian mereka, pasukan-pasukan yang berjaya menerima pingat, sijil penyertaan, serta hadiah wang tunai berjumlah RM300.00 (Juara), RM200.00 (Naib Juara), dan RM100.00 bagi setiap pasukan yang memperoleh tempat ketiga bersama. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Nurul Asmad binti Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu, dan diiringi oleh En. Rosman bin Abdul Kadir, Pengerusi Kelab Sepak Takraw Che Arus.
Kejohanan ini menjadi platform penting dalam mencungkil bakat tempatan serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti sukan tradisional yang terus relevan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pasukan yang bertanding, dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan kejohanan ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu