PROGRAM RAKAN MAHIR BENGKEL ASAS JAHITAN SKILL FOR LIFE @ DAERAH TUMPAT KEMBANGKAN POTENSI BELIA TUMPAT

31 JULAI 2025 – Seramai 24 orang peserta belia wanita dari sekitar daerah Tumpat telah menyertai Program Rakan Mahir Bengkel Asas Jahitan Skill For Life @ Daerah Tumpat Tahun 2025 anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat dengan kerjasama Persatuan Penduduk Pasir Pekan Prihatin (5P).

Program selama dua hari yang berlangsung pada 18 hingga 19 Julai bertempat di Bengkel Jahitan Persatuan Penduduk Pasir Pekan Prihatin (5P) ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal dan kemahiran asas dalam bidang jahitan seperti menjahit pakaian asas, mengenal jenis fabrik, penggunaan mesin jahit serta teknik asas memotong kain.

Menurut Pegawai Belia dan Sukan Daerah, Encik Wan Mohd Erffan Bin Wan Mohd Nasir, program ini merupakan salah satu inisiatif untuk memperkasakan belia, khususnya wanita dengan kemahiran yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan secara sampingan atau sepenuh masa. “Kami ingin membuka ruang kepada belia untuk menjadikan kemahiran seperti jahitan ini sebagai satu bentuk keusahawanan. Ramai wanita muda yang berminat dan melalui bengkel ini mereka dapat belajar secara praktikal dan bimbingan langsung daripada tenaga pengajar berpengalaman,” katanya.

Peserta yang menunjukkan minat tinggi akan disarankan untuk mengikuti kursus lanjutan atau dipadankan dengan program keusahawanan di bawah agensi seperti MARA, TEKUN dan sebagainya bagi mengembangkan potensi mereka.
Program ini mendapat maklum balas positif daripada peserta yang menyifatkan ia sangat bermanfaat dan berharap agar lebih banyak program seumpama ini dianjurkan di masa hadapan.

Disediakan oleh: Urus Setia Portal PBSD Tumpat
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 12:48:01

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search