TRONOH, PERAK, 29 SEPTEMBER 2025 – Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah di bawah Kementerian Belia dan Sukan akan menganjurkan tiga program Webinar dan satu program secara fizikal sepanjang Oktober 2025 sebagai usaha memperkasakan usahawan belia.
Inisiatif ini diyakini dapat melahirkan usahawan belia yang lebih kreatif, berdaya saing dan berpotensi menjadi pemimpin ekonomi masa depan. “Rebut peluang ini kerana tempat adalah terhad!” Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila hubungi pegawai penyelaras atau ikuti media sosial rasmi APBM Batu Gajah.
BANGI, SELANGOR, 28 SEPTEMBER 2025 – Cawangan Pembangunan Latihan, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah berjaya menganjurkan Program Komunikasi Berkesan Dalam Perniagaan (Biz Pitching) 2025 bermula pada 26 hingga 28 September 2025 bertempat di Institut Semarak Felda (ISEF), Bangi, Selangor.
Program ini dianjurkan dengan objektif utama untuk meningkatkan kemahiran komunikasi perniagaan secara berkesan, membina keyakinan dalam penyampaian idea, serta menterjemahkan aspirasi usahawan kepada visi yang mampu dikongsi bersama masyarakat. Selain itu, program ini turut memberi pendedahan mengenai peluang keusahawanan yang lebih luas melalui sesi pembelajaran bersemuka dengan modul yang berteraskan komunikasi, keusahawanan serta kepimpinan, khususnya dalam memperkasakan usahawan belia negara. Sepanjang program, peserta telah diberikan pencerahan dan panduan oleh penceramah jemputan iaitu Encik Kamaruzzaman bin Kamaludeen, atau lebih dikenali sebagai Coach KK, yang juga merupakan Chief Growth Officer. Beliau berkongsi pengalaman luas dalam bidang komunikasi strategik dan pembangunan bisnes pitching.
Sesi pitching pada hari ini, melibatkan beberapa orang panel daripada pelbagai Jabatan/Agensi yang berpengalaman didalam bidang keusahawanan iaitu Encik Mohd Khaizan bin Dahlan (Timbalan Pengarah, Bahagian Pembangunan Usahawan, Ibu Pejabat MARA), Puan Noorhazreen binti Ab Ghani (Pengurus Kanan 2, PUNB), Dr. Abd Razzif bin Abd Razak (Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keusahawanan Pemasar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan – FAMA) serta Encik Muhamad bin Ibrahim (Pengurus Kanan, SME CORP).
Program ini diakhiri dengan sesi penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada peserta terbaik dan panel jemputan . Program ini diharap dapat menjadi platform bermanfaat dalam memperkukuh jaringan keusahawanan serta melahirkan lebih ramai usahawan belia yang berdaya saing, kreatif dan berkeyakinan dalam mengemudi idea perniagaan ke arah yang lebih cemerlang.
BANGI, SELANGOR, 26 SEPTEMBER 2025 - Cawangan Penyelarasan dan Strategik, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah berjaya menganjurkan Kursus Teknologi Pemprosesan & Pengawetan Makanan (RETORT) pada 24 hingga 26 September 2025 bertempat di Institut Semarak Felda (ISEF), Bangi, Selangor.
Penganjuran kursus ini bertujuan memberi pendedahan serta kefahaman kepada usahawan belia mengenai teknologi pembungkusan makanan (RETORT). Antara objektif utama kursus adalah meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang aspek keselamatan produk makanan mengikut garis panduan undang-undang, menyediakan bimbingan dalam strategi pemasaran produk secara efektif, serta memastikan kualiti makanan yang dihasilkan terjamin. Melalui pendekatan ini, usahawan belia diharap dapat memperkukuh daya saing dalam pasaran tempatan mahupun global.
Sepanjang kursus, para peserta telah diberi pencerahan dan perkongsian ilmu oleh Encik Mohamad Nazri bin Zafar, Pegawai Penyelidik dari MARDI Johor. Pengetahuan yang disampaikan memberi manfaat kepada para usahawan dalam memperkukuh keupayaan serta inovasi perniagaan mereka.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah. Dalam ucapan penutupannya, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan kursus ini, di samping menyatakan harapan agar para peserta terus melangkah maju dan berjaya dalam bidang keusahawanan.
APBM Batu Gajah komited untuk terus melaksanakan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan belia seiring dengan agenda Malaysia MADANI, sekali gus melahirkan generasi belia yang berilmu, inovatif dan berdaya saing.
TRONOH, PERAK, 22 SEPTEMBER 2025 – Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah dengan penuh sukacita mengalu-alukan kehadiran Ketua Pembantu Tadbir (P/O) baharu, Encik Jamil Khair bin Mohamad, yang secara rasmi memulakan perkhidmatan beliau di institusi ini. Beliau menggantikan Puan Noraliana binti Mohd Alwi, yang telah bertukar ke Pusat Koreksional Batu Gajah, setelah menamatkan tempoh perkhidmatan yang cemerlang di APBM Batu Gajah.
Encik Jamil Khair bin Mohamad mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam. Beliau mula berkhidmat pada tahun 1989 di Jabatan Penjara sehingga 2011, kemudian bersama Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari 2012 hingga 2015, sebelum kembali menyambung khidmat di Pusat Koreksional Batu Gajah, Jabatan Penjara pada November 2015 hingga 19 September 2025. Pada 28 Disember 2025, beliau bakal mencatatkan genap 36 tahun perkhidmatan dalam sektor kerajaan. Perpindahan beliau ke APBM Batu Gajah diharapkan dapat memberikan suntikan semangat baharu serta menyokong kelancaran pelaksanaan program dan perancangan organisasi pada masa hadapan.
Seluruh warga kerja APBM Batu Gajah merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat bertugas kepada Encik Jamil Khair bin Mohamad, serta menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Puan Noraliana binti Mohd Alwi atas segala jasa, sumbangan dan komitmen beliau sepanjang berkhidmat di sini. Semoga kedua-duanya terus melakar kejayaan, cemerlang dalam kerjaya serta sukses dalam kehidupan.
SEPANG, SELANGOR, 19 SEPTEMBER 2025 – Cawangan Pengembangan dan Inovasi, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak, telah berjaya menganjurkan Kursus Penggunaan AI, Canva & Laman Web Dalam Pengembangan Perniagaan Siri 2/2025 bertempat di Pusat Latihan LKIM Camar Laut, Sepang, Selangor. Program intensif ini berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 September 2025.
Penganjuran kursus ini bertujuan memperkukuhkan ilmu dan kemahiran peserta dalam menguasai platform digital seperti pembangunan laman web, teknologi Artificial Intelligence (AI), serta aplikasi Canva bagi menghasilkan bahan promosi kreatif dan menarik. Inisiatif ini diyakini dapat membantu golongan usahawan meningkatkan daya saing, memperluas capaian pemasaran, dan seterusnya mengangkat keusahawanan digital sebagai trend perniagaan seiring perkembangan era teknologi dan digitalisasi.
Tenaga pengajar kursus ini ialah En. Hazril Hafiz bin Ab Rahman, Pengarah Urusan Infinityai Solution, yang berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam mengaplikasikan teknologi digital dalam strategi perniagaan.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah, Perak. Dalam ucapan beliau, Tuan Vijayan menzahirkan keyakinan bahawa penguasaan kemahiran digital dalam kalangan belia akan menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti, inovasi, serta memperkukuhkan kedudukan usahawan muda di pasaran global.
TRONOH, PERAK, 14 SEPTEMBER 2025 – Persatuan Silambam Perak Tengah (Silambam Arima) telah menganjurkan Majlis Penggredan Silambam Arima Pertengahan Tahun 2025 bertempat di Dewan Serbaguna APBM Batu Gajah.
Majlis ini telah berlangsung dengan penuh semangat dan disiplin, selaras dengan usaha persatuan dalam memperkukuh seni mempertahankan diri tradisional Silambam serta melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berdaya tahan dan bersemangat juang tinggi.
Hadir sama, Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan ,Pengarah APBM Batu Gajah yang juga merupakan Penasihat Persatuan Silambam Perak Tengah, turut menyampaikan ucapan dan memberikan kata-kata semangat kepada peserta. Beliau menekankan bahawa aktiviti seperti ini bukan sahaja memartabatkan warisan seni budaya, malah menyumbang kepada pembinaan sahsiah dan kepimpinan belia.
APBM Batu Gajah berbesar hati kerana fasiliti yang disediakan dapat dimanfaatkan oleh pelbagai persatuan, agensi, NGO serta komuniti setempat. Sehubungan itu, pihak APBM turut mengalu-alukan orang awam serta organisasi lain untuk menyewa dan menggunakan kemudahan yang tersedia bagi pelbagai tujuan program dan aktiviti bermanfaat.
TRONOH, PERAK, 11 SEPTEMBER 2025 – Cawangan Penyelarasan Data dan Promosi, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah berjaya menganjurkan Program Biz Talk Usahawan Sosial @IPTA Siri 2 bertempat di Auditorium APBM Batu Gajah.
Program ini disertai oleh pelajar daripada pelbagai institusi iaitu Kolej Profesional MARA Seri Iskandar, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara Seri Iskandar (IKBNSI), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS SI), Kolej Vokasional Seri Iskandar (KVSI) serta Giat MARA Batu Gajah.
Penganjuran siri ini bertujuan memberi pendedahan, inspirasi dan motivasi kepada para peserta, khususnya belia di sekolah serta Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, dalam memahami konsep asas keusahawanan sosial. Program ini turut menekankan kepentingan menceburi bidang perniagaan sosial yang bukan sahaja memberi pulangan lumayan, malah berperanan dalam memacu pembangunan komuniti dan ekonomi negara.
Program menampilkan dua slot utama iaitu "Keusahawanan Sosial Edisi Anak Muda (Generasi Impactpreneur)” disampaikan oleh Pn. Zamzana Arifin, Pengasas dan Ketua Eksekutif Pantang Plus. Slot kedua pula adalah “Menjana Keuntungan, Membangunkan Komuniti” dibawakan oleh En. Syafiq Saad, Pengarah Ngopdul Coffee & Ngopdul Roastery.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah. Program ini membuktikan komitmen APBM Batu Gajah dalam mengilmukan serta memperkasa belia melalui platform keusahawanan sosial, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
KLEBANG BISTARI, CHEMOR, PERAK, 10 SEPTEMBER 2025 – Cawangan Pembangunan Latihan, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah mengadakan Lawatan Usahawan Belia Niaga 2025 ke syarikat Trashforcash Enviro (M) yang dimiliki oleh Dina Shafreena binti Mohd Saiful Anuar.
Beroperasi sejak empat tahun lalu di Chemor, Perak, syarikat ini terlibat dalam bidang perkhidmatan kitar semula dengan menawarkan kutipan barangan kitar semula dari rumah ke rumah. Keistimewaan perniagaan ini adalah penggunaan aplikasi digital tersendiri, Trash4cash, yang memudahkan urusan pelanggan.
Walaupun menghadapi cabaran persaingan daripada syarikat kitar semula lain, Trashforcash Enviro (M) terus komited memberikan perkhidmatan terbaik dengan menumpukan pasaran kepada pengguna berumur 18 tahun ke atas. Syarikat ini turut dikenali di media sosial melalui nama TRASH4CASHMY di Facebook, Twitter dan Telegram.
Lawatan ini membuka ruang kepada belia untuk melihat peluang dalam industri kitar semula serta keperluan meningkatkan ilmu dalam bidang pemasaran, akaun dan strategi perniagaan.
KAMPUNG KUANG HILIR, CHEMOR, PERAK, 10 SEPTEMBER 2025 – Cawangan Pembangunan Latihan APBM Batu Gajah telah mengadakan Lawatan Usahawan Belia Niaga 2025 ke syarikat Ray Agro Farm milik Abdul Ghafur bin Mohd Ismail, seorang usahawan muda dalam bidang pertanian.
Beroperasi sejak setahun lalu, syarikat ini mengusahakan fertigasi cili yang menekankan hasil segar dan bersih untuk pasaran. Produk dipasarkan melalui platform dalam talian serta jualan terus.
Antara cabaran yang dihadapi ialah serangan serangga dan penyakit tanaman, namun Abdul Ghafur tetap optimis meneruskan usaha dengan strategi pemasaran yang lebih meluas. Ray Agro Farm turut dikenali melalui media sosial dengan nama Kinta Greenfield di Facebook, Twitter dan Telegram.
Program lawatan ini memberi inspirasi kepada belia untuk menceburi bidang keusahawanan pertanian, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti.