- APBM Batu Gajah
- Hits: 24
PERASMIAN PENUTUP KURSUS ASAS TIKTOK 2026
- APBM Batu Gajah
- Hits: 24
TRONOH, PERAK, 11 JUN 2026 – Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah menerusi Cawangan Pengembangan dan Inovasi telah berjaya menganjurkan Kursus Asas TikTok yang berlangsung selama dua hari bermula 10 hingga 11 Jun 2026 di APBM Batu Gajah, Perak.
Pada hari terakhir kursus, para peserta telah mengikuti pelbagai modul lanjutan yang memberi pendedahan menyeluruh mengenai potensi platform TikTok sebagai medium pemasaran dan penjanaan pendapatan digital.
Sesi perkongsian ilmu telah disampaikan oleh Encik Engku Anwar Hilmi bin Engku Zainal Abidin, Pengarah Urusan EA Clouds Technology, yang berkongsi pengalaman serta strategi praktikal dalam membangunkan kandungan digital yang berkualiti, berimpak dan berpotensi menjana pendapatan melalui ekosistem TikTok.
Penganjuran kursus ini bertujuan memberikan kefahaman asas mengenai fungsi dan penggunaan platform TikTok, membimbing peserta menghasilkan kandungan video yang kreatif serta berkualiti, membantu membina akaun dan strategi kandungan yang konsisten, di samping meningkatkan kemahiran penggunaan ciri-ciri TikTok seperti muzik, penapis (filter) dan tanda pagar (hashtag) secara efektif dan beretika.
Majlis Perasmian Penutup kursus telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah, Perak. Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini serta menyeru para peserta agar memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk memperkasa keusahawanan belia dan meneroka peluang baharu dalam ekonomi digital negara.
APBM Batu Gajah turut menzahirkan penghargaan atas komitmen, kesungguhan dan penglibatan aktif para peserta sepanjang kursus berlangsung. Diharapkan inisiatif seumpama ini akan terus menjadi platform yang berkesan dalam melahirkan lebih ramai usahawan belia yang berdaya saing, kreatif dan celik teknologi selaras dengan aspirasi pembangunan belia negara.
Tahniah dan selamat maju jaya kepada semua peserta Kursus Asas TikTok 2026!
