KUNJUNGAN HORMAT DAN SESI PERKONGSIAN EVERLANTERN HOLDINGS BERHAD & SUBSIDIARIES THE CARING COMPANY BERKAITAN PENGURUSAN BAHAN PLASTIK SERTA PELUANG PERNIAGAAN

TRONOH, PERAK, 23 JUN 2026 – Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah menerima kunjungan hormat daripada EverLantern Holdings Berhad & Subsidiaries The Caring Company sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik antara institusi latihan dan pihak industri, di samping memperluaskan perkongsian ilmu berkaitan pengurusan bahan plastik, industri kitar semula serta peluang pembangunan keusahawanan berasaskan ekonomi hijau.

Delegasi EverLantern Holdings Berhad & Subsidiaries The Caring Company telah diketuai oleh Encik K. Guna Mohan, Group HR Director, telah disambut oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah. Turut hadir ialah Encik Ahmad Rahimi, Environmental Engineer.

Dalam sesi tersebut, EverLantern Holdings Berhad & Subsidiaries The Caring Company telah berkongsi pengalaman serta kepakaran mengenai pengurusan bahan plastik secara sistematik, proses pemulihan dan kitar semula bahan, penggunaan teknologi dalam industri, serta potensi ekonomi yang boleh dijana melalui amalan ekonomi kitaran (circular economy). Perkongsian ini turut memberi gambaran jelas mengenai perkembangan industri kitar semula di Malaysia dan peranannya dalam menyokong agenda pembangunan mampan negara.

Sesi perkongsian yang dihadiri oleh pegawai dan kakitangan APBM Batu Gajah ini turut membuka ruang kepada peserta untuk memahami peluang keusahawanan dalam sektor kitar semula, termasuk pengurusan sisa yang lebih cekap, penciptaan nilai daripada bahan buangan serta pembangunan perniagaan yang memberi manfaat kepada ekonomi dan alam sekitar.
Kunjungan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara APBM Batu Gajah dan EverLantern Holdings Berhad & Subsidiaries The Caring Company khususnya dalam aspek pembangunan modal insan, pemindahan ilmu, latihan industri serta penerokaan peluang keusahawanan hijau dalam kalangan belia.

APBM Batu Gajah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada EverLantern Holdings Berhad atas kesudian mengadakan kunjungan hormat serta berkongsi kepakaran dan pengalaman. Semoga hubungan strategik ini terus diperkukuh demi melahirkan lebih ramai usahawan belia yang berdaya saing, inovatif dan berupaya menyumbang kepada kelestarian alam sekitar serta pembangunan ekonomi negara.

"Kelestarian Alam, Tanggungjawab Bersama; Keusahawanan Hijau, Pemangkin Masa Hadapan."

Image
Akademi Pembangunan Belia Malaysia Batu Gajah
KM 21, Lebuhraya Ipoh-Lumut
31560 Siputeh Perak
Tel : 05-3657072 | Fax : 05-3656187

apbm_bgajah@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/apbm-batugajah

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 28-07-2026, 21:23:27

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search