- APBM Batu Gajah
- Hits: 74
MAJLIS PERASMIAN PENUTUP KURSUS RANCANGAN PERNIAGAAN (STEP TO SUCCESS) SIRI 1 2026
- APBM Batu Gajah
- Hits: 74
TRONOH, PERAK, 21 MEI 2026 – Kursus Rancangan Perniagaan (Step To Success) Siri 1 2026 yang dianjurkan oleh Cawangan Pembangunan Latihan, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah melabuhkan tirainya dalam satu majlis perasmian penutup yang berlangsung di APBM Batu Gajah.
Program selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Mei 2026 ini bertujuan untuk memperkasa golongan belia dalam penyediaan Kertas Rancangan Perniagaan (RP) selain meningkatkan pengetahuan dalam aspek pemasaran, kewangan, dan pentadbiran perniagaan. Program ini turut memberi pendedahan mengenai cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi dalam memulakan perniagaan serta membimbing peserta mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi dan mampan.
Sepanjang kursus berlangsung, peserta telah diberi tunjuk ajar dan bimbingan oleh penceramah berpengalaman, Encik Kamaruzzaman bin Kamaludeen atau lebih dikenali sebagai Coach KK (Chief Growth Officer) dan Encik Mohd Lizam bin Abdul Karim atau lebih dikenali sebagai Coach Lizam. Perkongsian beliau telah memberi impak besar kepada para peserta terutamanya dalam aspek inovasi model perniagaan dan teknik penyampaian pitching yang berkesan.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah, Perak yang turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua peserta di atas komitmen serta semangat keusahawanan yang ditunjukkan sepanjang kursus ini.
