- APBM Batu Gajah
- Hits: 27
KURSUS ASAS PODCAST APBM BATU GAJAH MELABUHKAN TIRAI, PERKASA KEMAHIRAN KANDUNGAN DIGITAL BELIA
TRONOH, PERAK, 20 OGOS 2026 – Kursus Asas Podcast anjuran Cawangan Pengembangan dan Inovasi, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak melabuhkan tirai dengan jayanya hari ini menerusi Majlis Perasmian Penutup, selepas berlangsung selama dua hari, bermula 19 hingga 20 Ogos 2026.
Penganjuran kursus ini bertujuan memberikan pendedahan dan bimbingan kepada peserta dalam menghasilkan kandungan podcast yang tersusun, kreatif dan menarik, di samping meningkatkan pemahaman mengenai konsep serta fungsi podcast sebagai medium komunikasi digital. Selain itu, peserta turut didedahkan kepada asas penggunaan peralatan dan teknik rakaman audio, kaedah penerbitan kandungan secara digital serta strategi pemasaran podcast menerusi platform-platform utama.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta menerima bimbingan daripada Encik Engku Anwar Hilmi bin Engku Zainal Abidin, Pengarah Urusan EA Clouds Technology, yang berkongsi pengetahuan, pengalaman dan kemahiran praktikal dalam bidang penghasilan kandungan digital dan podcast.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah, Perak. Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta atas komitmen, kesungguhan dan semangat pembelajaran yang ditunjukkan sepanjang dua hari berkursus. Beliau turut berharap agar ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk menghasilkan kandungan digital yang lebih berkualiti, kreatif dan inovatif.
Penganjuran Kursus Asas Podcast ini mencerminkan komitmen APBM Batu Gajah dalam memperkasa golongan belia dengan kemahiran digital yang relevan, selaras dengan keperluan semasa serta perkembangan pesat industri kandungan digital.
- APBM Batu Gajah
- Hits: 27
