PROGRAM BIZ TALK @APBMBG CETUS MINAT KEUSAHAWANAN, BINA KEYAKINAN BELIA CIPTA PELUANG

TRONOH, PERAK, 13 OGOS 2026 – Cawangan Penyelarasan Data dan Promosi, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah menganjurkan Program Biz Talk @APBMBG bertempat di Dewan Serbaguna APBM Batu Gajah.

Program ini menghimpunkan belia daripada pelbagai institusi pendidikan dan kemahiran termasuk KEMAS Gopeng, ADTEC Ipoh, GIATMARA Batu Gajah, UniKL, ILP, KPTM, IKBNSI, Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Politeknik Sultan Azlan Shah, Kolej Vokasional Seri Iskandar (KVSI) dan Kolej Profesional MARA Seri Iskandar.

Pengisian program dimulakan dengan Bicara Keusahawanan yang disampaikan oleh Encik Abdul Ghafur bin Mohd Ismail daripada AA Growth Hub Team yang turut berkongsi pengalaman beliau sebagai usahawan muda. Turut menarik perhatian ialah segmen Success Story Bersama Ikon Usahawan yang menampilkan Encik Nazirul Naim Che Hashim, pemilik Twenty One Cafe, Meru. Beliau berkongsi pengalaman serta perjalanan membina kerjaya dalam bidang keusahawanan selepas menamatkan kerjaya sebagai pemain bola sepak Perak pada tahun 2016 hingga 2021, selain pernah mewakili Harimau Muda A & B serta pasukan Malaysia.

Perkongsian tersebut memberikan inspirasi kepada peserta bahawa pengalaman, disiplin, keberanian mencuba dan kesediaan untuk berubah merupakan antara elemen penting dalam membina kejayaan sebagai seorang usahawan.
Program ini bukan sahaja memberi pendedahan mengenai asas keusahawanan, malah membuka perspektif baharu kepada belia untuk meneroka peluang perniagaan, menjana pendapatan serta menjadikan keusahawanan sebagai salah satu laluan membina masa depan yang lebih berdaya tahan.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah. APBM Batu Gajah terus komited memperkasa generasi belia melalui ilmu, kemahiran dan inspirasi bagi melahirkan usahawan muda yang berani mencuba, berdaya saing, berdaya tahan dan mampu mencipta peluang dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Image
Akademi Pembangunan Belia Malaysia Batu Gajah
KM 21, Lebuhraya Ipoh-Lumut
31560 Siputeh Perak
Tel : 05-3657072 | Fax : 05-3656187

apbm_bgajah@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/apbm-batugajah

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 23-10-2026, 16:30:28

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search