- APBM Batu Gajah
- Hits: 17
PAMERAN INTERAKTIF SEMPENA PROGRAM FIESTA RAKAN MUDA X KIBAR PERINGKAT NEGERI PERAK
- APBM Batu Gajah
- Hits: 17
KUALA KANGSAR, PERAK, 8 OGOS 2026 – Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak telah menganjurkan Pameran Interaktif sempena Program Fiesta Rakan Muda X Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Perak yang berlangsung pada 7 hingga 8 Ogos 2026 bertempat di Arena Square, Kuala Kangsar.
Program tersebut berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan penyertaan golongan belia dan masyarakat setempat antaranya senamrobik, sukan rakyat, Plogging Kesukarelawanan Belia, Canting Batik, Labu Sayong, Rakan Litar Push Bike, pertandingan nasyid, Doodle Arts, e-Sport Mobile Legends serta pelbagai aktiviti fiesta.
Pameran turut disertai oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), antaranya Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan agensi berkaitan yang lain.
Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak turut mengambil bahagian dengan membuka ruang pameran bagi memperkenalkan dengan lebih dekat fungsi, peranan, kemudahan serta pelbagai inisiatif pembangunan belia yang ditawarkan oleh APBM Batu Gajah.
Penyertaan APBM Batu Gajah menjadi platform strategik untuk menghebahkan peluang latihan dan pembangunan belia, khususnya dalam bidang keusahawanan, kemahiran serta pembangunan kompetensi, di samping memberi pendedahan kepada masyarakat setempat mengenai pelbagai program yang dilaksanakan sepanjang tahun 2026.
Majlis perasmian penutupan program telah disempurnakan oleh YB Dato’ Khairuddin bin Haji Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak.
