KUALA LUMPUR, 15 Jun 2025 – Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh meriah selepas tiga hari berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, bermula 13 - 15 Jun 2025. Acara ini menampilkan 15 segmen utama yang meraikan kepelbagaian minat, bakat dan aspirasi belia masa kini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan bahawa kekuatan negara terletak pada potensi, idealisme dan semangat juang golongan muda. Sambutan HBN 2025 menjadi platform penting dalam memperkasakan peranan belia sebagai pemangkin kemajuan negara selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Hadir bersama adalah Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak.
SUNGKAI, PERAK, 13 JUN 2025 – Usahawan muda, Muhammad Naim bin Abd Razak, merupakan pengasas kepada syarikat Al Huda Dagang, sebuah perusahaan tempatan yang aktif dalam bidang penanaman dan pengeluaran hasil cendawan segar sejak tahun 2018.
Beroperasi di alamat No. 59, Kampung Tersusun Aatin, Syarikat Al Huda Dagang telah menumpukan usaha kepada penghasilan cendawan berkualiti tinggi yang dipasarkan secara terus kepada komuniti setempat serta pemborong dalam pasaran tempatan.
Antara inisiatif penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh syarikat ini termasuk menjadikan lokasi operasi sebagai pusat ilmu dan rujukan untuk golongan belia serta komuniti yang berminat untuk mempelajari teknik penanaman cendawan secara sistematik.
Namun begitu, antara cabaran utama yang dihadapi oleh Muhammad Naim adalah dalam aspek pengembangan pasaran. Permintaan yang konsisten memerlukan strategi pemasaran dan pengedaran yang lebih luas agar hasil pertanian dapat dimanfaatkan secara optimum.
Usahawan seperti Muhammad Naim membuktikan bahawa pertanian moden mampu menjadi sumber pendapatan yang berdaya saing jika disertai dengan semangat, ilmu dan inovasi. Teruskan menyokong usahawan belia tempatan!
WANGSA MAJU, KUALA LUMPUR, 12 JUN 2025 – Cawangan Penyelarasan Data dan Strategik, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah mengadakan Lawatan Usahawan Belia Niaga ke premis milik usahawan belia, Jumaitul Laily Zakiah, yang terletak di Karyabhara The Hipster Cafe, Wangsa Maju.
Kafe ini diusahakan di bawah syarikat Gerbang Ideal Global Sdn. Bhd., dan telah mula beroperasi sejak 12 November 2021. Berkonsepkan gabungan gaya moden dan santai, Karyabhara The Hipster Cafe menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman yang menarik termasuk hidangan lauk kampung tradisional, Masakan Barat (Western), Fusion Food & Malaysian Food. Pelbagai pastri serta pencuci mulut (Dessert). Selain itu, kafe ini turut menyediakan pelbagai perkhidmatan acara dan hiburan seperti Live Music / Acoustic Night, Open Mic / Stand-up Comedy, Majlis Hari Jadi, Akikah, Doa Selamat, Majlis Pernikahan & Makan Beradab.
Lawatan ini memberi peluang kepada pihak APBM untuk meninjau sendiri kejayaan usahawan belia dalam mengendalikan perniagaan yang berasaskan makanan dan hiburan, serta menjadi contoh inspirasi kepada peserta-peserta program pembangunan keusahawanan belia yang lain. Turut hadir dalam sesi lawatan ini ialah Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah, yang menyatakan penghargaan terhadap kesungguhan dan kreativiti yang ditunjukkan oleh pengusaha muda ini dalam memajukan perniagaan berasaskan nilai tempatan dan konsep kontemporari.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Karyabhara The Hipster Cafe boleh mengikuti mereka melalui media sosial berikut Facebook & Instagram: Karyabhara , TikTok: @karyabharacafe
BANDAR BARU BANGI, SELANGOR, 13 JUN 2025 – Kursus Pensijilan Halal, MESTI dan BESS anjuran Cawangan Penyelarasan dan Strategik, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak melabuhkan tirainya hari ini dengan majlis perasmian penutup yang berlangsung di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Bandar Baru Bangi, Selangor.
Program yang berlangsung selama empat hari bermula 10 Jun hingga 13 Jun 2025 ini merupakan salah satu inisiatif APBM Batu Gajah dalam usaha memperkasakan golongan belia, khususnya usahawan muda dalam sektor makanan dan minuman melalui pendedahan kepada keperluan pensijilan yang penting seperti Pensijilan Halal Malaysia, Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) serta Pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BESS).
Kursus ini telah mendapat kerjasama erat daripada agensi kerajaan yang berpengalaman dalam bidang masing-masing. Antara barisan penceramah adalah Tn. Hj. Sazly Azizuddin bin Sahaimi, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia manakala penceramah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM) terdiri daripada Puan Nur Ardzlina binti Mahmod dan En. Mohd Shahril bin Abd. Samat, daripada Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM.
Sepanjang kursus, para peserta didedahkan dengan pelbagai modul merangkumi konsep pengauditan lapangan, impak pensijilan halal terhadap kelangsungan perniagaan, serta sesi praktikal berkaitan sistem MyEHalal dan IHCS, di samping penerangan terperinci mengenai prosedur pensijilan MeSTI dan BESS.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
APBM Batu Gajah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tenaga pengajar, urus setia dan peserta yang telah menjayakan kursus ini dengan cemerlang. Untuk maklumat lanjut mengenai program-program pembangunan keusahawanan belia yang akan datang, belia-belia disarankan untuk mengikuti saluran rasmi media sosial APBM Batu Gajah.
KAMPUNG BALIK BATU, TANJUNG BIDARA, ALOR GAJAH, MELAKA, 5 JUN 2025 – Cawangan Pengembangan dan Inovasi, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah berjaya menganjurkan Kursus Usahawan Digital – TikTok Advance Siri 2/2025 bermula pada 3-5 Mei 2025 bertempat di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Melaka.
Kursus ini dilaksanakan dengan objektif utama untuk memberi pendedahan dan kefahaman yang mendalam kepada golongan usahawan belia mengenai kepentingan keusahawanan digital, khususnya melalui platform TikTok sebagai medium pemasaran moden. Antara fokus utama program ini termasuklah teknik pemasaran digital terkini, penyesuaian terhadap perubahan teknologi, dan strategi membina jenama dalam persekitaran digital yang semakin kompetitif.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta turut didedahkan kepada pelbagai teknik praktikal seperti struktur video pendek berimpak tinggi, penyuntingan video, pengiklanan TikTok (TikTok Ads) dan strategi kandungan digital. Kursus ini turut bertujuan membimbing peserta dalam mengadaptasi budaya perniagaan digital, memperkukuh pengetahuan keusahawanan serta menyediakan platform konsultasi untuk membina perniagaan yang berorientasikan keuntungan dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Antara tenaga pengajar yang terlibat dalam sesi perkongsian ilmu adalah En. Wan Azizi bin Wan Mat, Entrepreneur & Digital Trainer yang berpengalaman luas dalam TikTok Marketing, Shopee Marketing dan Meta Advertising serta Pn. Nurul Shafikah, seorang usahawan yang juga merupakan Founder MYMUKA, Content Creator dan Strategic Planner.
Majlis Perasmian Penutup kursus telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadaraja, Pengarah APBM Batu Gajah. APBM Batu Gajah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berharap dapat bertemu lagi dalam program-program akan datang. Selamat maju jaya kepada semua peserta!
TRONOH, PERAK, 28 MEI 2025 – Program Lawatan Usahawan Belia Niaga kali ini melabuhkan tirainya dengan lawatan terakhir ke premis NN Barbershop, sebuah perniagaan perkhidmatan gunting rambut milik usahawan muda, Encik Muhammad Nabil Najmi Bin Mohd Rodzi.
Terletak di 121, Persiaran Putra 1, Taman Tasek Putra, 31750 Tronoh, Perak, NN Barbershop memulakan operasinya pada 7 September 2023, dan dalam tempoh singkat, telah berjaya menarik perhatian pelanggan setempat menerusi perkhidmatan kemas, mesra pelanggan dan menepati gaya semasa.
Perkhidmatan yang disediakan NN Barbershop memenuhi keperluan pelanggan yang mencari gaya dandanan rambut terkini dalam suasana santai dan profesional. Keunikan perkhidmatan serta pendekatan mesra pelanggan menjadi kekuatan utama perniagaan ini.
Bagi memperluas keterlihatan jenama, Encik Muhammad Nabil Najmi turut menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok dengan nama pengguna NN Barbershop sebagai saluran promosi utama dan komunikasi dengan pelanggan sedia ada serta berpotensi.
Lawatan ini memberi peluang kepada peserta program untuk memahami operasi asas perniagaan seperti industri perkhidmatan, termasuk pengurusan masa, keterampilan komunikasi, dan kepentingan membina kepercayaan pelanggan dalam membina jenama.
Sebagai lawatan penutup program sehari penuh ini, APBM Batu Gajah menekankan bahawa kejayaan dalam keusahawanan bukan sahaja terletak pada produk semata-mata, tetapi juga pada perkhidmatan berkualiti, komitmen dan kecekapan usahawan itu sendiri.
SERI ISKANDAR, BOTA, PERAK, 28 Mei 2025 – Cawangan Penyelarasan Dan Strategik Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM), Batu Gajah meneruskan siri Lawatan Usahawan Belia Niaga, kali ini ke premis Naira Enterprise, milik usahawan muda berwibawa, Puan Nur Syahirah Binti Rashdi.
Syarikat yang beroperasi di No. 42 & 43, Persiaran SIBC 4, 32610 Seri Iskandar, Perak, ini telah mula beroperasi sejak tahun 2015 dan telah mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah restoran pilihan ramai di kawasan Seri Iskandar dan sekitarnya.
Naira Enterprise, yang dikenali ramai dengan jenama restoran Bamboo House Seri Iskandar, menawarkan pelbagai jenis hidangan termasuk makanan ala carte, masakan barat (western), serta pencuci mulut (dessert) yang menarik perhatian pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Populariti restoran ini semakin berkembang hasil daripada penggunaan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok di bawah nama pengguna Bamboo House Seri Iskandar, yang menjadi medium utama promosi dan interaksi pelanggan.
BATU, GAJAH, 28 Mei 2025 – Lawatan Usahwan Belia Niaga seterusnya adalah ke premis perniagaan milik usahawan belia tempatan, Puan Rahimatun Suhaila Binti Hassan Basri, pengasas dan pemilik Syarikat Sue Ella Enterprise.
Syarikat Sue Ella Enterprise yang terletak di No. 151, Jalan Bunga Raya, Felcra Nasaruddin, 32600 Bota, Perak, telah mula beroperasi sejak tahun 2021 dan kini semakin dikenali di kalangan komuniti setempat.
Puan Rahimatun Suhaila telah menyediakan produk makanan yang berkualiti dan berpatutan. Dengan menumpukan kepada pengeluaran roti homemade, beliau berjaya membina jenama yang diyakini pelanggan.
Produk-produk Sue Ella Enterprise dipasarkan melalui pelbagai saluran, termasuk penyertaan dalam platform vendor, serta secara aktif menggunakan status WhatsApp dan kumpulan WhatsApp sebagai medium pemasaran utama. Ini secara tidak langsung dapat memperluaskan capaian dan menambah bilangan pelanggan.
BOTA, PERAK, 28 MEI 2025 – Lawatan Usahawan Belia Niaga yang pertama bagi Cawangan Penyelarasan Dan Strategik Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah adalah ke premis perniagaan Syabab Gemilang Enterprise, milik Encik Muhammad Fitri Bin Jamil, usahawan muda yang aktif dalam sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Syarikat Syabab Gemilang Enterprise yang beroperasi di 120, Persiaran Putra 2, Taman Indera Putra, Bota, Perak, telah ditubuhkan pada tahun 2018 dan memfokuskan kepada pemprosesan sos cili serta pelbagai jenis pes masakan. Produk keluaran syarikat ini telah berjaya menembusi pasaran tempatan, khususnya di kawasan Manjung dan Perak Tengah.
Menurut Encik Muhammad Fitri, antara cabaran utama yang dihadapi dalam mengembangkan operasi syarikat ialah ruangan pemprosesan yang terhad, ini menyukarkan pengeluaran dalam skala lebih besar. Namun begitu, beliau sedang merancang penambahbaikan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Dalam usaha memperluas capaian pelanggan, Syabab Gemilang Enterprise turut memanfaatkan platform digital melalui laman web dan media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok, yang boleh diakses di pautan www.fatehfood.com.my.