LAWATAN PEMANTAUAN PROJEK DAN PERASMIAN NAIK TARAF AUDITORIUM APBM BATU GAJAH

TRONOH, PERAK, 27 JANUARI 2026 – Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah menganjurkan Lawatan Pemantauan Projek dan Majlis Perasmian Naik Taraf Auditorium APBM Batu Gajah yang berlangsung dengan jayanya di Auditorium APBM Batu Gajah.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah kepada delegasi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak KBS atas peruntukan kewangan yang telah disalurkan sehingga membolehkan pelaksanaan projek naik taraf kemudahan di APBM Batu Gajah, termasuk Auditorium, Surau, serta kemudahan sokongan lain. Menurut beliau, penambahbaikan ini diharap dapat mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif, menarik serta meningkatkan tahap keselesaan dan kepuasan pengguna.

Majlis diteruskan dengan sesi taklimat mengenai projek-projek pembangunan dan naik taraf kemudahan yang telah berjaya dilaksanakan di APBM Batu Gajah. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Encik Tines Kumar a/l M. Lingam, Timbalan Pengarah APBM Batu Gajah, yang merangkumi skop kerja, pencapaian serta impak penambahbaikan terhadap kemudahan sedia ada institusi berkenaan.

Kemuncak majlis ialah Ucapan Perasmian Naik Taraf Auditorium APBM Batu Gajah yang telah disempurnakan oleh Dato’ TS. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Sejurus selepas perasmian, beliau bersama delegasi KBS telah mengadakan lawatan pemantauan projek bagi meninjau secara dekat hasil pelaksanaan kerja-kerja naik taraf yang telah dijalankan.

Turut hadir memeriahkan majlis Puan Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), KBS Malaysia, Encik Mohammad Yusri bin Yusoff, Pengarah Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan Sokongan JBSN, KBS Malaysia serta Encik Amir Hamzah bin Awang Ghazali, Setiausaha Bahagian Pembangunan, KBS Malaysia.

Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Belia dan Sukan serta APBM Batu Gajah dalam memperkasakan prasarana latihan belia ke arah penyediaan kemudahan yang lebih berkualiti, selari dengan keperluan pembangunan belia negara.

Image
Akademi Pembangunan Belia Malaysia Batu Gajah
KM 21, Lebuhraya Ipoh-Lumut
31560 Siputeh Perak
Tel : 05-3657072 | Fax : 05-3656187

apbm_bgajah@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/apbm-batugajah

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-02-2026, 15:28:53

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search