KUALA LUMPUR, 18 OGOS 2025 – Cawangan Pengembangan Inovasi, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak telah berjaya menganjurkan Kursus Pemasaran Digital (FB & Insta) bermula pada 16 hingga 18 Ogos 2025 bertempat di Institut Kenegaraan Perdana, Kuala Lumpur.
Kursus ini dianjurkan bagi memberikan pendedahan dan kefahaman kepada para peserta mengenai kepentingan pemasaran digital menggunakan platform Facebook dan Instagram. Pendekatan ini diyakini bukan sahaja mampu menjimatkan kos, malah efektif dalam memperkukuh strategi pemasaran digital seiring dengan arus kemajuan teknologi serta tuntutan globalisasi semasa.
Sepanjang tiga hari penganjuran, peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul teori dan praktikal berkaitan pemasaran digital. Antara pengisian utama adalah perkongsian ilmu daripada En. Ahmad Aliff bin Mashuri (Thorbaek Empire) dan En. Muhammad Heykal bin Mohd Radzi (Marketing Trainer, Hasbul Brothers Sdn. Bhd.).
Majlis perasmian penutup kursus telah disempurnakan oleh Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah, Perak. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta menggalakkan peserta untuk mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam memperkasa keusahawanan belia negara.
APBM Batu Gajah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta dan berharap agar platform sebegini dapat terus menjadi medan memperkasakan potensi usahawan belia di Malaysia. Selamat maju jaya!
- APBM Batu Gajah
- Hits: 68
