PERTANDINGAN BOLA TAMPAR JAGUH LAMA 2.0 (VETERAN) SEMPENA BULAN KESEDARAN KANSER TESTIS 2025 Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 20 MEI 2025 – Medic Kch Volleyball Club telah berjaya menganjurkan Pertandingan Bola Tampar Jaguh Lama 2.0 (Veteran) Sempena Bulan Kesedaran Kanser Testis 2025 pada 17 hingga 18 Mei 2025 bertempat di Dewan Bola Tampar Kpg Segong, Bau. Seramai 70 orang peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Kelab ini telah menerima suntikan dana Geran Padanan Sukan bagi menampung kos penganjuran program. Dana seperti Geran Padanan Sukan banyak membantu mana-mana persatuan, NGO’s atau pihak swasta yang ingin menganjurkan program-program sukan.
PERTANDINGAN MSR RACING SIMULATOR Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 20 MEI 2025 – Seramai 42 orang peserta telah menyertai Pertandingan MSR Racing Simulator anjuran Metadise Electronic Sports Club pada 17 hingga 18 Mei 2025 di PODIUM, Kuching. Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Encik James Gan Beng Yoke, CEO Metadise Sdn Bhd. Perlumbaan simulator (atau sim racing dalam bahasa Inggeris) ialah satu bentuk perlumbaan maya yang mensimulasikan keadaan sebenar perlumbaan kereta menggunakan perisian dan perkakasan khas. Ia digunakan oleh pelumba profesional untuk latihan, peminat perlumbaan sebagai hobi, dan juga dalam pertandingan eSukan. Kelab ini telah menerima Dana Sukan Komuniti (DSK) daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi menampung kos penganjuran program.
BETONG, 19 MEI 2025 – Pada 15 Mei 2025 serentak di seluruh negara telah berlangsung dengan meriah program Semarak Hari Belia Negara (HBN) tahun 2025. Bagi peringkat Bahagian Betong, program telah dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa bersama rakan kerjasama strategik Kelab Belia Komuniti Pekan Saratok dan SMK Pusa dengan penyertaan lebih 600 orang peserta.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Encik Saini Bin Bakar, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan atas kerjasama pelbagai agensi dalam menjayakan program ini serta menyeru belia untuk terus aktif dan menyumbang dalam pembangunan masyarakat.
Turut hadir Cik Nurulzamzam binti Hj Shafi’ie Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong, Encik Lim Yang Yang (Unit Pembangunan Bakat Murid), mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Tuan Haji Abg Kiprawi bin Abg Abdul Latip, Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pusa, Encik Hussein bin Mili, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Encik Ibrahim bin Bujang, Penasihat Kelab Belia Komuniti Pekan Saratok.
Pelbagai aktiviti telah diadakan mengikut port seperti pertandingan aerodance, karnival jualan melibatkan pelajar PPKI, kelas tingkatan 6 dan turut serta Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Saratok, ceramah minda sihat daripada pegawai psikologi Encik Roy anak Dilang dan pertandingan karaoke terbuka. Penganjuran program di SMK Pusa turut memperkukuh jalinan kerjasama antara pihak sekolah, agensi kerajaan dan pertubuhan belia serta menjadi platform membina semangat perpaduan, kepimpinan dan kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.
Program Semarak HBN Peringkat Bahagian Betong ini merupakan usaha berterusan Kementerian Belia dan Sukan melalui Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong untuk menyemarakkan semangat cintakan negara, memperkasa belia tempatan, dan memupuk keterlibatan aktif dalam aktiviti komuniti dan pembangunan negara.
BETONG, 19 Mei 2025 – Satu sesi perbincangan program telah diadakan pada 13 Mei 2025 yang lalu bertempat di Ruang Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong bagi membincangkan pelaksanaan Program Rakan Muda 2025 peringkat Bahagian Betong yang akan dianjurkan nanti. Perbincangan berhubung kalendar perancangan, lokasi perlaksanaan serta rakan kerjasama strategik yang akan membantu semasa penganjuran.
Perbincangan ini dipengerusikan oleh Cik Nurulzamzam bt. Hj. Shafiíe, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong dan seterusnya beliau menerangkan secara terperinci berhubung program serta aktiviti yang akan datang seperti Fiesta Rakan Muda, The Clash Of Buskers, Pop Up Market dan Mobilisasi SATRIA.
Hadir sama semasa perbincangan, Cik Azira binti A.Manan, Cik Jojo anak Tehan serta Encik Erwan Dzulfadli bin Pasah.
Disediakan oleh: Mohammad Arbi bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 19 MEI 2025 – Perbincangan lokasi penganjuran Program Kem Belia Peringkat Bahagian Mukah telah diadakan pada 19 Mei 2025 bertempat di Pejabat Pentadbiran Kem Belia Mukah. Sesi perbincangan tersebut telah diketuai Puan Noorlina binti Mirais merangkap Pegawai Penyelaras Program bersama pihak pengurusan fasiliti di Kem Belia Mukah. Hadir sama Encik Mohammad Arbi Rosli dan Puan Hatijah Halidi semasa perbincangan tersebut.
Antara perkara yang dibincangkan ialah cadangan menggunakan fasiliti di Kem Belia Mukah sebagai lokasi pelaksanaan program serta penetapan tarikh yang bersesuaian mengikut kekosongan tarikh masa yang ada. Program Kem Belia Peringkat Bahagian Mukah dijangka akan dilaksanakan pada bulan Julai 2025 selamat tiga hari dua malam melibatkan 50 orang peserta dari beberapa sekolah di sekitar Mukah yang terpilih.
Disediakan oleh: Mohammad Arbi bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 19 MEI 2025 – Lawatan singkat ke Kompleks Sukan Komuniti (KSK) Mukah oleh Yang Berusaha Tuan Suhardi bin Alias, Pesuruhjaya Sukan Malaysia bersama Encik Bonnie Manau anak Michael Amerikan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah telah diadakan pada 17 Mei 2025. Sebelumnya beliau telah meluangkan masa bersama para pegawai dan ahli persatuan ke Program Hari Bersama Pelanggan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia di Hotel Kingwood Mukah.
Selain itu, beliau berkesempatan berkongsi pengalaman dan beramah mesra bersama fasilitator dan para peserta Program Team Building SK.Sungai Ud, Dalat. Pejabat mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia kerana mengunjungi fasiliti kita yang ada di Mukah dan memberi kata-kata semangat kepada yang terlibat dalam Program Team Building tersebut.
Disediakan oleh: Mohammad Arbi bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 19 MEI 2025 – Program Team Building anjuran Sekolah Kebangsaan Sungai Ud, Dalat dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah telah diadakan pada 17 Mei 2025 di Kompleks Sukan Komuniti Mukah. Program selama sehari itu telah diisi dengan pelbagai aktiviti menarik melibatkan kepimpinan, kreativiti, kerjasama pasukan dan strategi. Terlaksananya program ini adalah hasil cetusan idea daripada guru-guru dan kakitangan sekolah sendiri dalam usaha mereka untuk meningkatkan kerjasama berpasukan demi organisasi mereka yang tercinta. Selain itu, program ini adalah usaha mereka dalam meningkatkan sinergi demi meneruskan khidmat bakti kepada anak-anak didik mereka.
41 orang peserta telah terlibat dalam program tersebut yang melibatkan guru-guru dan kakitangan pentadbiran sekolah. Program telah dikendalikan oleh fasilitator dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah dan Giatmara Mukah. Pada sebelah petangnya majlis penangguhan telah disempurnakan bersama oleh Encik Mohd Fauzi bin Abdullah, Guru Besar SK.Sungai Ud, Dalat dan Encik Bonnie Manau Michael Amerikan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah. Pejabat mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana telah memberikan kepercayaan penuh dalam mengelola aktiviti tersebut sehingga ke penghujungnya.
MIRI, 16 MEI 2025 – Seramai 500 orang belia melaungkan tema “Yakin Boleh” selepas upacara lafaz ikrar belia semasa Majlis Perasmian Semarak Hari Belia Negara Peringkat Bahagian Miri 2025, semalam. Program anjuran Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Miri dengan kerjasama IKBN Miri dan Persatuan Belia Kristian Rhema telah dilaksanakan di Dewan Serbaguna IKBN Miri.
Majlis dimulakan dengan tayangan video ucapan oleh Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh, Menteri Belia Dan Sukan Malaysia diikuti dengan ucapan dan gimik perasmian oleh TS Encik Kamarulzaman bin Mohamed, Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan mewakili Pengarah IKBN Miri. Turut hadir ke majlis tersebut ialah Encik Roley anak Lagir (Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Miri), Encik Kaya bin Raju (Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar IKBN Miri), Encik Harrison Anyi Laing (Persatuan Belia Kristian Rhema) dan Cik Rapunzel Anthoney Jamuh (Persatuan Belia Miri).
Semarak Hari Belia Negara 2025 diadakan serentak di seluruh negara bagi menyemarakkan suasana dan bahang sambutan Hari Belia Negara di peringkat akar umbi dan seterusnya menaikkan semangat kecintaan dan patriotisme di kalangan golongan belia supaya terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti menarik berdasarkan 6 segmen/pavilion yang telah diadakan untuk disertai oleh belia Miri.
MIRI, 16 MEI 2025 – Pelbagai aktiviti menarik berdasarkan 6 segmen/pavilion yang telah diadakan untuk disertai oleh belia Miri di IKBN Miri sempena Semarak Hari Belia Negara Peringkat Bahagian Miri 2025, semalam. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan ialah Sembang Santai Sukarelawan dan Pendaftaran Satria (Pavilion Rakan Muda), Ceramah Kesedaran Kesihatan Mental (Port Healing), Sukaneka (Port Fit Malaysia), Talent Nite (Port Seni), Pertandingan Video Tiktok Semarak HBN Miri 2025 (Port Gaya & Trend (Lifestyle) dan Mobile Legends Bang Bang Semarak HBN Miri Tournament 2025 (Port Gaming).
Sesi penyampaian hadiah dan penutupan program telah diadakan pada waktu malam selepas selesai peringkat akhir Mobile Legends Bang Bang Semarak HBN Miri Tournament 2025. Hadir ke majlis tersebut ialah Encik Roley anak Lagir (Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Miri), Cik Natasha Essa Lewat (Penolong Pegawai Belia Dan Sukan IKBN Miri) dan Encik Harrison Anyi Laing (Persatuan Belia Kristian Rhema).
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada IKBN Miri dan Persatuan Belia Kristian Rhema selaku rakan strategik program, Cik Mas binti Jali dari Hospital Miri, Cik Rapunzel Anthony Jamuh dari Persatuan Belia Miri, Sekretariat Rakan Muda IKBN Miri dan Majlis Perwakilan Pelajar IKBN di atas kerjasama yang padu dalam pelaksanaan program Semarak Hari Belia Peringkat Bahagian Miri 2025.