SIBU, 27 MEI 2025 - Mesyuarat Teknikal Sibu Esports Festival (SIESF) 2025 Bil. 1/2025 telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Sibu yang dipengerusikan oleh Puan Maria Nadja Anak Jimmy Jalil, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Sibu. Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) Sibu akan menganjurkan Sibu E-Sports Festival (SIESF) yang akan dijadualkan pada 27 hingga 29 Jun 2025 di Sibu Indoor Stafium. Mesyuarat ini dihadiri oleh pelbagai agensi dan rakan strategik membincangkan program dan pengagihan tugas dengan lebih terperinci. Mari lah kita bersama-sama memeriahkan program ini.
SERIAN, 15 Mei 2025 – Serian Conference Centre bergema dengan irama bertenaga dan sorakan peserta apabila Pertandingan Aerobathon Individual Challenge berjaya mencuri tumpuan dalam kalangan pengunjung sempena Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Negeri Sarawak 2025.
Pertandingan ini diadakan di bawah segmen Port Malaysia Aktif, salah satu inisiatif utama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia. Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan aktiviti ini, Kelab Sukan Kecergasan Kota Samarahan telah dilantik sebagai Rakan Strategik rasmi program.
Acara yang berkonsepkan pertandingan persembahan Zumba dan aerobik secara individu ini menyaksikan enam (6) orang Presenter atau Zumba Instructor Network (ZIN) berentap di pentas utama dengan persembahan masing-masing yang kreatif, bertenaga dan mencuri perhatian para hadirin. Antara Zin yang beraksi adalah Pn. Norliati Binti li , dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan merupakan KBSI dan juga Zin, Zin TM Suqie, Zin TM K (Kamelia Anum), Zin Tm Choco, Zin TM Ave dan Zin TM Edd. Para peserta tampil dengan pelbagai gaya tarian kecergasan yang digabungkan dengan elemen muzik moden, menjadikan suasana pertandingan sangat meriah dan penuh semangat.
Sambutan daripada para peserta serta penonton yang hadir amat menggalakkan, membuktikan bahawa aktiviti kecergasan seperti ini semakin mendapat tempat di hati masyarakat, khususnya generasi muda.
Menurut wakil Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, pertandingan ini bukan sahaja bertujuan memeriahkan sambutan Hari Belia Negara, tetapi juga untuk mempromosikan kesedaran mengenai kepentingan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan belia. “Kami mahu belia melihat kecergasan sebagai satu gaya hidup yang menyeronokkan, bukan sekadar rutin kesihatan,” ujarnya.
Kelab Sukan Kecergasan Kota Samarahan yang diberi tanggungjawab sebagai rakan pelaksana turut memainkan peranan besar dalam memastikan kelancaran dan mutu pertandingan berada pada tahap terbaik. Dengan pengalaman luas dalam penganjuran program kecergasan, kerjasama ini dilihat sebagai satu langkah positif dalam membina jaringan komuniti sihat dan aktif.
Aerobathon Individual Challenge bukan sahaja berjaya menyemarakkan suasana sambutan HBN, malah memberi inspirasi kepada belia bahawa kecergasan dan keseronokan boleh bergerak seiring.
SAMARAHAN, 15 Mei 2025 – Persatuan Belia Samarahan (PBS) terus memainkan peranan aktif dalam memperkasakan generasi muda apabila berjaya menganjurkan Program Belia Kreatif: Kemahiran Cipta Kandungan Digital dengan kerjasama DUBS cawangan Samarahan yang berlangsung di SMK Hajjah Laila Taib, Asajaya Samarahan. Program ini merupakan inisiatif komuniti yang dirangka khas bagi melahirkan pencipta kandungan digital dalam kalangan belia, selaras dengan keperluan semasa ekonomi digital.
Program ini menampilkan En.Razis Bin Paimin dari AR Studios selaku Trainer, dengan dibantu oleh dua fasilitator berpengalaman iaitu En.Suriyadil dan En. Mohd Hafizan Bin Othman. Para peserta diberi pendedahan secara teori dan praktikal dalam bidang perancangan kandungan, teknik rakaman serta suntingan video menggunakan aplikasi CapCut, yang kini menjadi alat penting dalam dunia penciptaan kandungan digital.
Menurut En. Razis Bin Paimin, program ini bukan sahaja memberi ilmu teknikal, tetapi turut membuka peluang pendapatan tambahan, malah mungkin tetap, kepada para peserta. “Melalui platform seperti TikTok Affiliate, peserta boleh menjana jualan produk walaupun tidak memiliki produk tersebut. Apa yang diperlukan hanyalah kreativiti dan pemahaman terhadap algoritma media sosial,” jelasnya.
Program ini juga menyokong tiga Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) utama:
· SDG 1 – Tiada Kemiskinan, dengan membuka jalan pendapatan baru melalui digital.
· SDG 4 – Pendidikan Berkualiti, dengan menyediakan ilmu praktikal dan relevan kepada belia.
· SDG 8 – Pekerjaan dan Pertumbuhan Ekonomi, dengan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam ekonomi gig digital.
Para peserta — yang terdiri daripada lebih 20 orang pelajar lepasan SPM, SMK Halata dan belia sekitar kawasan Samarahan — menunjukkan minat dan potensi tinggi sepanjang program berlangsung. Mereka bukan sahaja diberi peluang mencuba sendiri proses penghasilan video, malah mendapat maklum balas secara langsung daripada jurulatih profesional.
Pihak penganjur memaklumkan bahawa Program Belia Kreatif ini akan diteruskan ke sekolah dan komuniti lain sebagai sebahagian daripada usaha membina belia yang celik teknologi, berkemahiran digital, dan mampu berdikari dalam era ekonomi moden.
SERIAN, 17 Mei 2025 – Serian Conference Centre menjadi saksi kemeriahan dan semangat anak muda sempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Negeri Sarawak 2025 yang berlangsung dalam suasana penuh berwarna-warni dan penuh inspirasi. Kelancaran majlis rasmi ini banyak dipengaruhi oleh kepakaran dua pengacara utama, iaitu Puan Norliati Binti Li, Pembantu Belia dan Sukan, dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan dan Encik Rahmat Bin Eli, selaku Pegawai Belia dan Sukan. Sebagai wajah dan suara utama yang menghidupkan suasana acara, kedua-dua pengacara berjaya membawa majlis berjalan lancar, bersemangat dan sarat dengan nilai-nilai belia seperti keberanian, kepimpinan dan perpaduan.
Puan Norliati Binti Li telah lama aktif dalam program belia dan komuniti, menjadikan bidang pengacaraan sebagai minat mendalam sejak awal penglibatannya. “Saya sukakan suasana majlis rasmi dan tidak rasmi yang teratur, tetapi tetap mampu disampaikan dengan gaya segar dan menarik kepada belia,” katanya. Baginya, menjadi pengacara bukan sekadar membaca skrip, tetapi menyampaikan semangat majlis itu sendiri.
Sementara itu, Encik Rahmat Bin Eli, dengan gaya penyampaian yang tenang namun berkarisma, menekankan bahawa pengacaraan majlis belia memerlukan pendekatan yang dinamik dan mesra generasi muda. “Kami perlu pastikan mesej program ini benar-benar sampai kepada belia. Bukan hanya dari protokol, tetapi melalui semangat dan penyampaian yang betul,” ujarnya.
Gandingan mantap mereka berdua mendapat pujian daripada pihak penganjur serta hadirin yang terdiri daripada pemimpin negeri, agensi kerajaan, NGO belia dan ratusan peserta muda dari seluruh Sarawak. Majlis ini turut diserikan dengan pelancaran inisiatif belia baharu, penganugerahan Anugerah Belia Negara Individu Lelaki, wanita dan Pertubuhan belia, dan pelbagai persembahan serta aktiviti menarik.
Sambutan Hari Belia Negara kali ini bukan sahaja menonjolkan kejayaan anak muda dalam pelbagai bidang, tetapi turut menyerlahkan potensi warga kerja belia dan sukan yang serba boleh — bukan sahaja di belakang tabir, malah di hadapan khalayak dengan penuh gaya dan keyakinan.
SAMARAHAN, 3 Mei 2025 (Sabtu) – Program Pengurusan Berat Badan IFITER (Ifit and Eat Right) terus mendapat sambutan hangat apabila memasuki minggu ke-4 sesi 1/2025. Bertempat di The Summer Mall, Kota Samarahan, para peserta telah menunjukkan komitmen tinggi dalam sesi yang melibatkan aktiviti Cardio, Conditioning, serta Stretch & Flex.
Program yang berlangsung sejak awal April ini memberi fokus kepada pendekatan holistik dalam pengurusan berat badan melalui senaman berkala, pemakanan seimbang, dan pembentukan gaya hidup sihat. Minggu keempat ini memperlihatkan peningkatan stamina dan disiplin peserta yang semakin selesa dengan rutin kecergasan yang dijalankan.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta atas dedikasi dan semangat juang mereka sepanjang program ini. “Kejayaan program ini bergantung kepada komitmen peserta, dan kami amat bangga melihat perubahan positif dari minggu ke minggu,” ujar salah seorang jurulatih kecergasan.
Turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini ialah Puan Norliati Binti Li selaku Pembantu Belia dan Sukan, di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan dan Encik Sukiman Bin Adenan, yang merupakan antara jurulatih yang diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh pihak penganjur. Komitmen serta bimbingan mereka telah banyak membantu peserta dalam memahami teknik senaman yang betul dan membina semangat untuk meneruskan gaya hidup sihat.
Program IFITER dijangka berterusan selama beberapa minggu lagi dengan pelbagai modul yang disusun rapi bagi membantu peserta mencapai matlamat kesihatan dan kecergasan mereka. Peserta juga digalakkan untuk mengekalkan amalan gaya hidup sihat walaupun selepas program tamat.
SAMARAHAN, 15 Mei 2025 – Lebih 500 orang belia, pelajar dan warga komuniti sekitar Asajaya membanjiri perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Hajjah Laila Taib hari ini bagi menyertai Program Semarak Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Bahagian Samarahan 2025, yang berlangsung dengan penuh meriah dan bersemangat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Mohamad Irwan Bin Bahari Bujang, Residen Bahagian Samarahan. Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan penglibatan aktif golongan belia dalam membentuk masa depan negara.
“Sambutan Hari Belia Negara ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi wadah untuk kita menghargai dan memperkasa suara serta peranan belia di peringkat akar umbi,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh Encik Abu Zaid Bin Abu Bakar, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, yang menekankan objektif program ini dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat.
Antara dif-dif kehormat yang turut hadir ialah Tuan Usti Bin Haji Dolhan, Pengetua SMK Hajjah Laila Taib, Encik Jerry Zannuddin Bin Bidin, Pegawai Daerah Asajaya, Encik Ariffin Bin Alimin, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan dan Encik Razis Bin Paimin, Bendahari Persatuan Belia Samarahan.
Turut serta ialah pegawai-pegawai dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan serta Institut Latihan dan Perindustrian Kota Samarahan, barisan guru, pelajar serta para
Antara objektif utama program ini adalah untuk Menyemarakkan suasana dan semangat Hari Belia Negara di peringkat akar umbi; Menyediakan platform strategik kepada pemegang taruh dalam menyumbang kepada pembangunan belia; Memperluaskan penglibatan belia dalam pelaksanaan program belia; Menaikkan semangat cintakan negara serta menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan belia.
Program ini menampilkan lima segmen menarik iaitu Bacaan Ikrar Belia Negara, Pertandingan Seni Tarian, Zumba beramai-ramai, Ceramah Kemahiran dan TVET, Bengkel FYP (TikTokers/Influencer) dan Karnival Makan-Makan yang berjaya menceriakan suasana sambutan.
Sambutan ini dilihat sebagai pemangkin semangat baharu dalam memperkukuhkan peranan belia sebagai aset utama pembangunan negara di masa hadapan.
MIRI, 26 MEI 2025 – Mesyuarat Penyelarasan Program 1000 Liga Peringkat Bahagian Miri 2025 telah diadakan di Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Miri pada 26 Mei 2025. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Encik Roley anak Lagir, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Miri dan dihadiri oleh pihak teknikal dan wakil kelab sukan yang terlibat.
Antara perkara yang dibincangkan ialah kaedah pelaksanaan, implikasi kewangan, tarikh dan tempat pelaksanaan mengikut acara yang dipertandingkan iaitu olahraga, dart, petanque, catur dan memanah. Program 1000 Liga merupakan program sukan individu berbentuk pertandingan dan terbuka kepada semua peringkat komuniti setempat bertujuan memupuk minat serta menarik penyertaan ramai ke arah melahirkan masyarakat berbudaya sukan.
MIRI, 26 MEI 2025 – Bersempena dengan sambutan Hari Sarawak yang akan diadakan pada 22 Julai 2025, Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Miri dan Pejabat Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri Sarawak (MYSED) akan melaksanakan program Unity Walk. Sesi perbincangan program Unity Walk bersempena Sambutan Hari Sarawak 2025 telah diadakan di Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Miri pada 26 Mei 2025. Hadir ke sesi perbincangan tersebut ialah Puan Chong Suk Thing dan Encik Lian dari Pejabat Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri Sarawak (MYSED), Encik Mathew dari Laksa Runners dan Encik Roger Danny dari Unit Pembangunan Sukan PBSB Miri.
Program Unity Walk menetapkan sasaran penyertaan seramai 5000 orang pelbagai lapisan umur dan masyarakat berbilang kaum. Antara perkara yang dibincangkan ialah implikasi kewangan, penetapan laluan dan pelaksanaan program tersebut sebagai persediaan untuk mesyuarat Sambutan Hari Sarawak 2025 yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
MIRI, 26 MEI 2025 – Persatuan Memanah Negeri Sarawak (PEMASA) menerima Geran Padanan Sukan (GPS) sebanyak RM25,000.00 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk penganjuran Kejohanan Memanah Remaja Sarawak Siri 1/2025. Encik Alan Ling Sie Kiong, Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara hadir mewakili Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia untuk menyampaikan replika cek geran kepada Yang Berhormat Tuan Allan Siden Gramong, ADUN Machan juga merangkap Pengerusi PEMASA semasa merasmikan kejohanan tersebut di Stadium Miri, Sabtu lalu.
PEMASA mengadakan Kejohanan Memanah Remaja Sarawak Siri I pada 24 hingga 26 Mei 2025 menampilkan empat kategori umur melibatkan penyertaan seramai 108 orang dari seluruh negeri Sarawak. Turut hadir ialah Encik Roley anak Lagir, Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Miri dan Encik Roger Danny, Pegawai Unit Pembangunan Sukan PBSB Miri untuk membuat pemantauan program.