Pertandingan Clash of Buskers Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 14 OGOS 2025 – Pertandingan Clash of Buskers telah diadakan sempena Fiesta Rakan Muda Bahagian Kuching yang telah diadakan pada 2 Ogos 2025, jam 8.00 malam bertempat di dewan MPH CENTEXS Lundu. Sebanyak 8 pasukan menyertai pertandingan ini. Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Cik Margaret Sawing, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kuching.
Kuching, 14 Ogos 2025 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik dengan kerjasama IMPACT Integrated Malaysia telah menganjurkan Majlis Perhimpunan Mesra Bulanan KBS bagi bulan Ogos 2025 bertempat di Lobi Menara KBS. Majlis turut dihadiri oleh YB Adam Adli bin Abdul Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, yang menyampaikan amanat kepada semua warga kementerian. Kehadiran beliau menyerikan suasana majlis dan memberikan motivasi kepada pegawai serta kakitangan KBS untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.
Selain kehadiran secara fizikal oleh warga KBS di Putrajaya, perhimpunan turut disiarkan secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet, membolehkan penyertaan pegawai dan kakitangan dari seluruh negara. Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Sarawak turut mengambil bahagian secara maya bagi menyokong pengisian program serta mengikuti amanat yang disampaikan.
Majlis Perhimpunan Mesra Bulanan ini merupakan platform penting untuk menyampaikan maklumat terkini kementerian, memperkukuh semangat kekitaan, serta mengiktiraf pencapaian warga kerja. Penganjuran secara konsisten setiap bulan mencerminkan komitmen KBS untuk memastikan komunikasi dua hala yang berkesan antara pengurusan tertinggi dan semua lapisan pegawai serta kakitangan.
KAPIT, 13 Ogos 2025 – Kem Belia @ Rakan Prihatin Peringkat Bahagian Kapit 2025 telah dilaksanakan dengan jayanya pada 8 hingga 10 Ogos yang lalu. Seramai 50 orang peserta telah mengikuti kem ini bertempat di Lighthouse Of Hope Kapit.
Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia berhubung matlamat hidup dan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, agama, bangsa dan negara di samping melahirkan belia yang berfikiran kritis, kreatif dan berjiwa besar serta berbakti kepada komuniti. Pelbagai aktiviti merangkumi ceramah, LDK dan aktiviti outdoor telah dilaksanakan.
Majlis Penutupan telah disempurnakan oleh Encik Kumbong Anak Garit, Timbalan Pegawai Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Kapit. PBSB Kapit mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada beberapa rakan strategik iaitu Kelab Belia Pekan Kapit, Pejabat Pendidikan Daerah Kapit, SMK Kapit, SMK Kapit No. 2, SMK Selirik, Pejabat Kesihatan Bahagian Kapit, PDRM Daerah Kapit, Pejabat Penerangan Daerah Kapit, AADK Sibu dan Lighthouse Of Hope Kapit.
SIBU, 13 OGOS 2025 – Program Kem Belia Peringkat Bahagian Sibu 2025 bakal dilaksanakan di Kem Kemuyang, Sibu, Sarawak dengan pelbagai aktiviti indoor dan outdoor bertujuan meningkatkan kesedaran golongan belia terhadap bahaya gejala sosial serta aktiviti tidak sihat. Program ini turut memberi penekanan kepada pembentukan matlamat hidup, tanggungjawab terhadap diri, keluarga, agama, bangsa dan negara, selain melahirkan belia yang berfikiran kritis, kreatif serta berjiwa besar untuk berbakti kepada komuniti. Nilai-nilai murni turut diterapkan selaras dengan matlamat pembangunan belia positif. Sasaran program ini adalah seramai 50 orang peserta terdiri daripada belia berisiko berumur antara 13 hingga 16 tahun. Sehubungan itu, pihak penganjur menjemput penyertaan 10 orang pelajar dari setiap sekolah yang terlibat. Dengan pelaksanaan program ini, diharapkan golongan belia khususnya di Bahagian Sibu dapat membina jati diri yang kukuh, menghindari gejala negatif, dan menjadi generasi pelapis yang mampu memacu kemajuan negara pada masa hadapan. #PBSBSibu #JBSNBersama #MalaysiaMadani
MIRI, 13 Ogos 2025 – Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak menganjurkan Program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 sebagai usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia di seluruh negeri.
Konvoi berkenaan akan menjelajah ke pelbagai lokasi di Sarawak, membawa semangat patriotisme dan menyemai rasa cinta terhadap negara dalam kalangan masyarakat.
Pada 12 Ogos 2025, acara pelepasan konvoi telah diadakan di perkarangan Wisma Persekutuan Miri, Fasa 1. Suasana meriah dengan kehadiran warga wisma yang bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian (PBSB) Miri turut memberi sokongan dengan menyertai program berkenaan.
Disediakan Oleh : Steph. W.S., JBSN Sarawak MIRI, 12 OGOS 2025 - Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Bahagian Miri 2025 yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Ariffin bin Mohamad, Timbalan Datuk Bandar Miri telah dilaksanakan dengan jayanya pada 9 Ogos 2025 di Bilik Mesyuarat Perwakilan Pelajar, Curtin Malaysia University oleh Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Miri dengan kerjasama Kelab Belia Bestari Bandar Miri.
Seramai 50 orang ahli majlis, panel sosial, pakar rujuk dan pemerhati dari pelbagai agensi, NGO belia serta Majlis Perwakilan Pelajar IPT di sekitar Miri yang hadir untuk bersidang. Panel ekonomi iaitu Dr. Alpha anak Ngadan dari Curtin Malaysia University telah membentang kertas kerja “Belia Muflis: Kepentingan Pendidikan Literasi Kewangan” dan panel sosial iaitu Insp. Shoban A/L Rajendran dari IPD Miri telah membentang kertas kerja “Kenali Dan Elak: Membongkar Modus Operandi Scammer”.
MPBN 2025 Bahagian Miri kali ini membahaskan isu dan usul berkaitan ekonomi dan sosial belia di Bahagian Miri seperti penambahan fasiliti sukan di daerah, kesihatan mental belia, program pendidikan untuk belia berkahwin muda, pusat latihan e-dagang & inkubator usahawan, dana pembangunan bakat sukan, Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak untuk pelajar dari luar bandar dan perangi judi dalam talian serta sokongan pengharaman vape. Sesi tersebut diakhiri dengan penggulungan oleh Pengerusi dengan menegaskan bahawa cadangan adalah relevan untuk dibawa ke peringkat negeri tetapi memerlukan data kukuh, cadangan strategik dan kerjasama pelbagai agensi sekiranya ianya dilaksanakan kelak.
BETONG, 12 OGOS 2025 – Majlis Seni Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Betong akan menganjurkan Festival Tari dan Lagu Melayu Asli Sarawak Ke-35 2025 bermula pada 12 Ogos 2025 sehingga 16 Ogos 2025 bertempat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong. Pelaksanaan adalah bagi peringkat zon tengah yang melibatkan bahagian Betong, Sarikei, Sibu dan Kapit.
Pelbagai aktiviti kesenian telah dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut seperti Bengkel Kesenian Desa, rancangan bual bicara ‘Ngelakar Seni’ beserta persembahan band tempatan, pertandingan tarian dan lagu melayu asli.
Antara objektif penganjuran adalah untuk memelihara serta memulihara seni dan budaya, membangun, menggalak serta menyemarak kesenian dalam masyarakat, melahirkan bakat dalam seni tari serta lagu melayu asli yang berkualiti dan sebagai platform bagi mengangkat serta memartabatkan karya seni Sarawak.
Untuk memastikan kelancaran pelaksanaan festival tersebut, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan pada 11 Ogos 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Encik Hamdan bin Haji Katang, Pemangku Timbalan Residen Bahagian Betong. Sesi penerangan program telah disampaikan oleh Puan Easter Melebeh, wakil dari Majlis Seni Sarawak.
Kehadiran mesyuarat telah disertai oleh pelbagai jabatan kerajaan, sekolah, persatuan dan kelab di bahagian Betong. Hadir bersama ke mesyuarat ini ialah Cik Nurulzamzam bt Hj Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir memberi sokongan kepada peserta pertandingan tarian dan lagu melayu asli di hari kemuncak festival iaitu pada 16 Ogos 2025, Sabtu. Acara akan bermula pada jam 7.30 malam di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong.
BETONG, 8 Ogos 2025 - Program Malaysia Aktif@Komuniti Saratok Peringkat Bahagian Betong telah berjaya dilaksanakan pada 8 Ogos 2025 bertempat di Wisma Persekutuan Saratok. Program ini dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong dengan kerjasama Kelab Sukan Kecergasan Indai Tai Saratok.
Walaupun keadaan cuaca pada hari ini tidak begitu menggalakkan dengan hujan yang turun, ia sama sekali tidak menjejaskan kehadiran dan penyertaan orang ramai. Kehadiran seramai 50 orang peserta jelas menunjukkan kesungguhan masyarakat dalam mengambil bahagian dalam program yang berorientasikan kesihatan dan kecergasan ini. Turut hadir memeriahkan program ialah Cik Nurulzamzam binti Hj Shafi'ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong.
1000 Liga Acara Memanah Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 12 OGOS 2025 – PBSB Kuching dengan kerjasama Kelab Memanah Muhibbin telah berjaya melaksanakan program 1000 Liga Acara Memanah di CENTEXS Lundu pada 2 Ogos 2025 yang lalu. Seramai 68 orang peserta telah menyertai acara ini. Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Cik Margaret Sawing, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kuching.