BETONG, 16 Oktober 2025- Program Senaman Warga Emas Aktif Siri 8 telah diadakan pada 10 Oktober 2025 di Laman Teratak Akal Homestay Pusa Kampung Dato’ Godam Pusa dengan penyertaan seramai 40 orang warga emas dari sekitar kawasan tersebut.
Siri kesepuluh program ini dijadualkan berlangsung pada 17 Oktober 2025 dan ia merupakan siri terakhir program yang akan dilaksanakan di sini. Para warga emas dari kawasan sekitar dijemput hadir bagi menyertai program ini.
BETONG, 14 Oktober 2025- Program Senaman Warga Emas Aktif Siri 7 telah diadakan pada 9 Oktober 2025 bertempat di Dewan Milennia, Debak dengan penyertaan seramai 60 orang warga emas dari komuniti sekitar yang juga merupakan ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Debak.
Turut hadir memeriahkan program ialah Cik Azira binti A.Manan, Penolong Pegawai Belia dan Sukan daripada Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong serta pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong.
SIBU, 15 OKTOBER 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu dengan kerjasama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sibu telah mengadakan Senaman Warga Emas Aktif Peringkat Bahagian Sibu Siri 5 yang disertai oleh 40 orang warga emas di Community Support Center (CSSC). Objektif program ini adalah untuk melatih warga emas untuk kekal aktif, sihat dan menjadikan aktiviti sukan dan kecergasan sebagai budaya hidup di samping dapat membina jaringan hubungan bagi mengukuhkan lagi kerjasama dan perpaduan dalam kalangan warga emas dengan agensi serta masyarakat atau penggiat kecergasan komuniti. Program ini juga menyokong usaha kerajaan bagi memastikan warga emas mendapat kesaksamaan sosial dari segi penglibatan dalam aktiviti sukan dan kecergasan.
Semoga aktiviti berbentuk sukan kecergasan iaitu senamrobik, chairobic, berjalan laju (brisk walk) akan mendapat sambutan daripada golongan Warga Emas yang telah dikenalpasti oleh pihak PAWE Sibu. Terima kasih kepada rakan strategik, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Dudong Pickleball Club yang bersama-sama menjalankan aktiviti ini. Untuk sesi 6 ini nanti akan bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Sibu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu pada 18 Oktober 2025.
Kuching, 15 Oktober 2025 – Mesyuarat Penyelarasan Hari Sukan Negara (HSN) 2025 Peringkat Negeri Sarawak telah diadakan di Bilik Mesyuarat Santubong, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSN Sarawak). Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Puan Hafizah Binti Dahlan, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, JBSN Sarawak.
Turut hadir ialah Puan Fatimah Binti Abdul Rahman, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, bersama pegawai dan kakitangan JBSN Sarawak yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan program berkenaan.
Mesyuarat tersebut bertujuan memastikan persiapan bagi sambutan Hari Sukan Negara 2025 di peringkat negeri berjalan lancar dan teratur. Sambutan HSN Sarawak tahun ini akan berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Kompleks Sukan Tertutup Sri Aman dan dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Antara aktiviti menarik yang akan diadakan ialah Larian Ria Madani sejauh 5 kilometer, Kayuhan Ria Madani 30 kilometer, Berjalan Ria Madani 1.5 kilometer Busana Tradisional, Senam Cergas Malaysia Aktif, Pertandingan Gudi, Klinik Membuat Gudi serta pelbagai aktiviti riadah dan sukan komuniti lain.
Program ini diharap dapat memupuk gaya hidup sihat dan mengukuhkan semangat perpaduan melalui aktiviti sukan.
Kuching, 14 Oktober 2025 – Suasana meriah mewarnai Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak penonton hadir menyaksikan tayangan skrin besar perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Laos.
Perlawanan tersebut menyaksikan skuad Harimau Malaya tampil cemerlang dengan kemenangan bergaya 5-1 ke atas Laos.
Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSN Sarawak) ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti senamrobik, cabutan tiket bertuah dan peraduan teka gol yang berjaya menarik minat para pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.
Antara yang hadir ialah Puan Fatimah Binti Abdul Rahman, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan JBSN Sarawak serta Encik Abitt Nunong, Pegawai Belia dan Sukan Kolej Komuniti Kuching. Turut sama memeriahkan suasana ialah peserta senamrobik, pelajar Kolej Komuniti Kuching serta wakil daripada NFDP Sarawak yang hadir memberi sokongan padu kepada pasukan kebangsaan.
Program ini bukan sahaja menjadi medan tontonan bersama, tetapi juga menggalakkan semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Sarikei, 11 Oktober 2025 : Satu Program Senaman Warga Emas Peringkat Bahagian Sarikei Siri 9 telah dilaksanakan di Taman Tasik Sarikei yang dilaksanakan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Goyang Sarikei yang diketuai oleh pengerusi kelab itu sendiri, Encik Haslie Bin Umar. Program ini menyediakan golongan warga emas yang sihat dan aktif menjelang 2030 (Negara Menua). Mempromosikan aktiviti senaman dan kecergasan dalam kalangan warga emas bagi mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat. Menyokong usaha kerajaan bagi memastikan warga emas mendapat kesaksamaan sosial dari segi penglibatan dalam aktiviti sukan dan kecergasan. Jutaan terima kasih kepada peserta yang hadir menyokong program ini. Siri terakhir berlangsung pada 18.10.25 jam4.00 petang bertempat di Rumah Panjang Alen, jom sama-sama memeriahkannya!
SIBU, 13 Oktober 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Penyenggaraan Bangunan Gunasama Persekutuan (JPPBGP) Wisma Persekutuan Blok 3, Sibu Bil. 3/2025 telah diadakan pada hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Tingkat 9, Wisma Persekutuan Blok 3, Sibu. Mesyuarat yang bermula pada jam 2.30 petang itu dipengerusikan oleh Encik Kelyn bin Bolhassan, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Penyenggaraan Bangunan Gunasama Persekutuan (JPPBGP) Wisma Persekutuan Blok 3, Sibu.
Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah bagi menyelaras dan membincangkan perkara berkaitan penyenggaraan serta pengurusan bangunan gunasama persekutuan agar keadaan prasarana dan kemudahan pejabat di Wisma Persekutuan sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan. Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah wakil-wakil daripada pelbagai jabatan persekutuan yang beroperasi di Wisma Persekutuan Sibu.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu diwakili oleh Encik Melvin Chambai anak Gurang dan Encik Muhammad Afif bin Ibrahim. Mesyuarat turut menekankan pentingnya kerjasama semua jabatan dalam memastikan urusan penyenggaraan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memenuhi keperluan perkhidmatan awam yang efisien dan kondusif. #PBSBSibu #JBSNBersama #HarungiBersama #MalaysiaAktif
KUCHING, 13 Oktober 2025 – Pada 11 hingga 12 Oktober 2025 Kelab Silat Olahraga Warisan Spring 15 Ar Riyadh telah berjaya menganjurkan Kejohanan Silat Tempur Jemputan Pendekar Muda 2025 di Dewan Perpaduan Taman Samarindah. Seramai 270 orang peserta telah menyertai kejohanan ini. Penganjuran program di peringkat komuniti ini, telah mendapat suntikan Dana Sukan Komuniti (DSK) yang diberikan oleh KBS kepada badan sukan yang berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) atau pertubuhan belia yang berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY). Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Hamzah Haji Brahim, Ahli Dewan Undangan Negeri N.17 Stakan. Sumber gambar : Kelab Silat Olahraga Warisan Spring 15 Ar Riyadh
BETONG, 6 Oktober 2025-Program Aktif Xpres Peringkat Bahagian Betong Tahun 2025 telah berjaya dilaksanakan pada 4 Oktober 2025 di Aras UG Menara Utama Kompleks Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Betong yang dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Betong, Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, Jabatan Kerja Raya Bahagian Betong dan Kelab Sukan Kecergasan Indai Tai Saratok.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Richard anak Michael Abunawas, Residen Bahagian Betong dan turut dihadiri oleh Puan Jesica Jenah ak Ramping, wakil daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, Puan Khairunnisa binti Redzuan, wakil daripada Jabatan Kerja Raya Bahagian Betong, Puan Florence Annie anak Joesel, Presiden Kelab Sukan Kecergasan Indai Tai Saratok dan Cik Nurulzamzam bt Hj Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong.
Antara pengisian program ialah senam cergas, sembang santai kesihatan, pameran kesihatan, dan demo teknik asas kecergasan. Pihak penganjur berharap agar penganjuran program seumpana ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperluas impak positif kepada komuniti setempat.