24 JULAI 2025, SAMARAHAN – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan akan mengadakan Pertandingan Kawad Kaki dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan dan Pejabat Pendidikan Simunjan. Pengelola bagi pertandingan kali ini ialah Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan.
Bengkel penjurian ini dibuat untuk menerangkan kaedah penjurian yang akan digunakan untuk pertandingan kawad kaki peringkat bahagian Samarahan. Setiap sekolah yang akan menyertai pertandingan kawad kaki ini perlu menghantar video. Pemenang untuk setiap kategori akan mewakil bahagian ke pertandingan peringkat negeri Sarawak.
SAMARAHAN, 19 Julai – Semangat kecergasan dan kebersamaan terus memuncak apabila Program Malaysia Aktif @ Komuniti 2025 peringkat Bahagian Samarahan melabuhkan tirai bagi siri keenam dengan sambutan luar biasa daripada penduduk setempat, diadakan pada Sabtu lalu bertempat di Perkarangan The Summer Shopping Mall.
Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, dengan kerjasama Kelab Sukan Kecergasan Kota Samarahan menyasarkan pendekatan turun padang bagi menggalakkan gaya hidup sihat, memupuk interaksi komuniti serta menyampaikan maklumat sahih berhubung dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.
Siri ke-6 ini memberi fokus kepada aktiviti kecergasan intensif menerusi sesi TABATA dan Senamrobik, yang berjaya menarik ramai penyertaan dari pelbagai lapisan usia. Menariknya, sesi tersebut dikendalikan secara profesional oleh barisan jurulatih kecergasan bertauliah, iaitu:
En. Sukiman Bin Adenan (KBSI/ZIN TM Suqie), Pn. Kamalia Anum Binti Zainal (ZIN TM K), Pn. Hana Suraya Binti Ahmad (ZIN TM Hana Suraya). Menampilkan tema pakaian berwarna kuning, peserta tampil ceria dan bersemangat, menyemarakkan suasana program dengan simbolik warna yang melambangkan tenaga positif, perpaduan dan kesedaran sivik. Suasana lokasi program dimeriahkan dengan iringan muzik kecergasan, gelak tawa dan sorakan semangat daripada para peserta yang bersemangat mengharungi sesi senaman berdurasi hampir dua jam.
Program ini akan diteruskan setiap minggu dengan pengisian lebih bertenaga dan inklusif. “Sambutan masyarakat amat memberangsangkan dan ini membuktikan bahawa program komuniti seperti ini relevan dan ditunggu-tunggu oleh rakyat,” jelas jurucakap Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan.
Program Malaysia Aktif @ Komuniti dijangka akan menjadi antara medium paling berkesan dalam menyatukan rakyat melalui pendekatan santai, sihat dan penuh makna.
SAMARAHAN, 18 Julai 2025 : Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Bahagian Samarahan Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya di sini pada Khamis.
Majlis berkenaan telah dipengerusikan oleh Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat serta dihadiri wakil-wakil agensi kerajaan, pertubuhan belia, kelab dan persatuan dari seluruh Bahagian Samarahan.
MPBN yang ditubuhkan sejak tahun 1971 berperanan sebagai platform perunding utama bagi menghimpunkan pandangan, suara dan aspirasi generasi muda demi pembangunan negara. Di peringkat bahagian, MPBN berfungsi sebagai medium penting untuk membincangkan isu dan keperluan belia secara konstruktif dan inklusif.
Menurut Rais Ahmat, pelaksanaan MPBN di peringkat akar umbi amat penting dalam usaha memperkasa golongan belia tempatan agar mereka dapat menyuarakan pendapat serta menyumbang secara aktif dalam proses pembangunan negara. “Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak bersama rakan strategik dari kalangan kelab dan persatuan belia di Bahagian Samarahan perlu terus bekerjasama dalam menjayakan MPBN ini.“Peranan mereka amat penting bagi mengenal pasti isu-isu belia di lokaliti masing-masing untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Tambah beliau, segala dapatan dan perbincangan yang dikemukakan dalam MPBN peringkat bahagian ini akan menjadi input berharga dalam merangka dasar serta program belia yang lebih holistik, sejajar dengan Dasar Belia Malaysia dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030.
Antara objektif utama MPBN ialah menyediakan ruang dialog antara belia dan kerajaan, memperkukuh jaringan kerjasama serta melahirkan belia yang dinamik, berdaya tahan dan mampu bersaing di peringkat global. Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zainuddin Bidin, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, Abu Zaid Abu Bakar, wakil Pejabat Daerah, wakil agensi pelaksana serta wakil pertubuhan belia termasuk Saberkas Cawangan Muara Tuang, Stakan, Asajaya dan kelab serta persatuan belia tempatan.
SAMARAHAN, 13 Julai 2025 – Program Malaysia Aktif @ Komuniti 2025 Peringkat Bahagian Samarahan terus mendapat sambutan menggalakkan apabila sesi ke-5 telah berjaya dilaksanakan pada 12 Julai 2025 (Sabtu) bertempat di Perkarangan The Summer Shopping Mall, Kota Samarahan.
Program ini merupakan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan denganm kerjasama Rakan Strategik iaitu Kelab Sukan Kecergasan Kota Samarahan, dalam memperkukuh komunikasi bersemuka bersama rakyat serta mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif di peringkat komuniti.
Tema program kali ini ialah pakaian bertemakan warna merah, melambangkan semangat, tenaga dan perpaduan.
Majlis telah dikendalikan secara bertenaga oleh Zin TM Choco, yang mencuit hati dan semangat para peserta melalui pergerakkanyang santai dan penuh semangat.
Program ini telah menarik penyertaan daripada pelbagai golongan masyarakat termasuk warga emas, belia, pelajar institusi pengajian, penjawat awam dan keluarga setempat. Kehadiran mereka dalam pakaian seragam merah telah menyerikan lagi suasana dan menunjukkan solidariti komuniti terhadap usaha membudayakan hidup aktif dan sihat.
Penganjur menyatakan bahawa program Malaysia Aktif @ Komuniti akan diteruskan pada setiap hujung minggu (Sabtu) dengan pelbagai pengisian menarik bagi memastikan impak dan keterlibatan masyarakat kekal tinggi sepanjang tahun 2025.
SAMARAHAN, 12 Julai 2025 (Sabtu) – Program “Cegah Sebelum Parah” anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah berlangsung dengan jayanya pada 12 Julai 2025 bertempat di Dewan Warisan Sadong Jaya. Program ini merupakan inisiatif strategik MPKS bersama beberapa agensi kerajaan dalam usaha memperkukuh kesedaran komuniti terhadap isu-isu sosial, jenayah, dan kesihatan mental, khususnya dalam kalangan belia.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Dr. Aidil Bin Lariwoo, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Sadong Jaya.
Antara pengisian utama program termasuk Ceramah kesedaran jenayah dan pencegahan dadah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Slot kesihatan mental dan kesejahteraan emosi oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Pameran oleh agensi-agensi kerajaan dan NGO, serta Aktiviti interaktif untuk remaja dan belia, termasuk kuiz dan forum.
Turut terlibat dalam program ini ialah Puan Norliati Binti Li, Pembantu Belia dan Sukan dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, yang telah diberi tanggungjawab sebagai Pengacara Majlis Rasmi. Kehadiran dan penglibatan aktif beliau menyerlahkan komitmen Pejabat Belia dan Sukan dalam menyokong program pembangunan komuniti berimpak tinggi.
Program ini turut menerima sambutan hangat daripada penduduk setempat, termasuk pemimpin masyarakat, pelajar sekolah, dan pertubuhan belia. Usaha berterusan seperti ini diharap dapat memupuk komuniti yang lebih peka, berpengetahuan dan bertindak awal dalam menangani isu-isu sosial yang kian mencabar.
SAMARAHAN, 8 Julai 2025 – Puan Norliati Binti Li, Pembantu Belia dan Sukan dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, telah terpilih mewakili negeri Sarawak untuk menyertai Bengkel ASEAN – Malaysia Chairmanship 2025: Professional Emcee Masterclass, yang berlangsung pada 8 hingga 9 Julai 2025 bertempat di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands.
Bengkel berprestij anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) ini menghimpunkan pegawai-pegawai KBS dari seluruh negara, sebagai sebahagian daripada persiapan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025. Tujuan bengkel adalah bagi melahirkan pengacara majlis (MC) profesional yang berketrampilan tinggi dan mampu mengendalikan majlis rasmi bertaraf nasional dan antarabangsa, terutamanya program berprotokol yang melibatkan negara-negara ASEAN.
Menyerlahkan lagi nilai bengkel ini adalah kehadiran penceramah jemputan terkenal, antaranya: - Fedtri Yahya – Personaliti TV, Penerbit, Pengacara dan Penulis Lirik, Anwar Afiq – Pengacara TV, Penulis Skrip dan Tenaga Pengajar Pengacaraan dan Jalal Zaiki – Pengacara TV, Penyampai Radio dan MC profesional
Peserta telah didedahkan kepada modul-modul penting seperti Teknik pengacaraan dwibahasa secara profesional, Pengendalian majlis rasmi berprotokol ASEAN, Etiket pentas dan komunikasi berkesan dan Simulasi langsung bersama mentor industri.
Majlis penutupan bengkel telah disempurnakan oleh En. Ahmad Faedzal bin Md Ramli, Setiausaha Bahagian (A), Pejabat Setiausaha Bahagian, KBS, yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta. Dalam ucapannya, beliau menegaskan betapa pentingnya peranan pengacara rasmi dalam membentuk imej profesional sesebuah majlis, dan menyifatkan bengkel ini sebagai pelaburan jangka panjang untuk pengukuhan diplomasi ASEAN melalui acara rasmi.
Puan Norliati Binti Li menyifatkan penyertaannya dalam bengkel ini sebagai satu pengalaman yang sangat berharga. Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus mempertingkat mutu penyampaian dalam pengendalian program kerajaan di peringkat bahagian.
SAMARAHAN, 19 Julai 2025 – Program Malaysia Aktif @ Komuniti 2025 Peringkat Bahagian Samarahan diteruskan dengan jayanya menerusi sesi ke-4 yang telah berlangsung pada hari Sabtu lalu bertempat di Perkarangan The Summer Shopping Mall, Kota Samarahan.
Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan dengan kerjasama Kelab Sukan Kecergasan Kota Samarahan (KSKKS) merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional untuk menggalakkan gaya hidup sihat, pemupukan nilai komuniti dan penyampaian maklumat sahih secara bersemuka kepada masyarakat.
Antara aktiviti yang di jalankan adalah seperti Berjalan 10,000 langkah, dan Sesi senamrobik, dikendalikan oleh jurulatih bertauliah. Aktiviti ini bukan sahaja mempromosi kecergasan fizikal, malah turut membuka ruang interaksi sosial yang sihat dalam kalangan komuniti setempat. Program Malaysia Aktif @ Komuniti akan diteruskan setiap hari Sabtu, dengan pelbagai aktiviti menarik lain yang akan diperkenalkan dalam sesi-sesi mendatang.
SAMARAHAN, 4 Julai 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa Program “Cegah Sebelum Parah” anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah berlangsung dengan jayanya pada 4 Julai 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Majlis Perbandaran Kota Samarahan.
Mesyuarat ini bertujuan menyelaras pelaksanaan program komuniti berimpak tinggi yang menyasarkan pencegahan awal terhadap gejala sosial, jenayah, serta isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat, khususnya belia. Mesyuarat dipengerusikan oleh wakil kanan MPKS dan turut dihadiri oleh agensi-agensi seperti Pejabat Kesihatan Samarahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Samarahan serta Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan dan juga komuniti-komunti di sekitar Samarahan.
Dalam mesyuarat tersebut, Puan Norliati Binti Li, Pembantu Belia dan Sukan dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, telah menerima jemputan rasmi sebagai Pengacara Majlis (MC) bagi program tersebut. Pelantikan ini merupakan pengiktirafan kepada kebolehan dan pengalaman beliau dalam mengendalikan majlis rasmi, serta komitmen jabatan dalam menyokong program pembangunan komuniti setempat.
Program “Cegah Sebelum Parah” dijadualkan berlangsung di Dewan Warisan Sadong Jaya dan bakal menghimpunkan lebih 200 peserta adalah dari kalangan pelajar dan belia di Daerah Kecil Sadong Jaya. Antara pengisian program termasuk ceramah kesedaran jenayah, Demontrasi Anjing K9, pameran keselamatan komuniti serta kaunter perkhidmatan kesihatan.
Mesyuarat ditangguhkan setelah semua ahli jawatankuasa bersetuju dengan struktur pelaksanaan program, pembahagian tugasan serta strategi hebahan awam. Program ini diharap dapat menjadi landasan penting bagi membina komuniti yang lebih peka, berdaya tahan dan proaktif dalam isu-isu sosial semasa.
SAMARAHAN, 4 Julai 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Penyenggaraan Bangunan Gunasama Persekutuan Sarawak Bahagian Samarahan bagi penggal 2025-2027 Bil. 4/2025 telah diadakan dengan jayanya pada pagi ini bertempat di Bilik Mesyuarat Bangunan Gunasama Wisma Persekutuan Samarahan.
Mesyuarat yang bermula pada jam 9.30 pagi itu dipengerusikan oleh En. Muhammad Asyraf Bin Md Nor, Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat Bahagian Samarahan (Kemas), selaku Pengerusi (JKPPBGPS) dan dihadiri oleh wakil-wakil jabatan Persekutuan yang beroperasi di bangunan gunasama tersebut. Antara pengisian utama mesyuarat termasuklah Perutusan Pengerusi, pembentangan Perancangan Aktiviti ERT (Emergency Response Team) serta membincangkan hal-hal lain berkaitan penyenggaraan dan keselamatan bangunan.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan turut mengambil bahagian dalam mesyuarat berkenaan dengan diwakili oleh Pn. Norliati Binti Li, Pembantu Belia dan Sukan. Mesyuarat ini merupakan platform penting bagi menyelaras keperluan penyenggaraan serta memastikan setiap jabatan memainkan peranan aktif dalam mengekalkan mutu dan keselamatan bangunan gunasama di Bahagian Samarahan.
Mesyuarat ditangguhkan sekitar jam 11.30 pagi setelah semua agenda selesai dibincangkan dengan konstruktif dan penuh kerjasama.