KUANTAN, 5 Mei - Warga Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang mengucapkan selamat datang kepada Encik Nor Azli Mohamad Daud, Pengarah JBS Negeri Pahang yang menggantikan Encik Mu’azamir Haji Jili.
Sayang kumbang mencari makan, Terbang seiring ditepi kali, Selamat datang kami ucapkan, Semoga diiring restu Ilahi
KUANTAN, 24 Mac – Majlis India Malaysia (MIYC) Cawangan Kuantan telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan bagi tahun 2025 dengan kehadiran seramai 70 ahli. 👍🏻Mesyuarat yang berlangsung dengan lancar ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Osman Bukhari, Wakil Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuantan serta Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuantan, Saudara Wafiyudin Mohd Nor.
Dalam mesyuarat ini, pelbagai isu dan agenda penting dibincangkan, termasuk perkembangan program belia, perancangan aktiviti tahunan, serta pengukuhan peranan MIYC dalam memperkasakan komuniti India di Kuantan. Kehadiran wakil dari pihak berkuasa dan badan belia memberi peluang kepada ahli MIYC untuk berdialog secara langsung mengenai hal ehwal belia dan pembangunan masyarakat.
Encik Pravin selaku Pengerusi MIYC Cawangan Kuantan berharap agar kerjasama dengan agensi kerajaan serta pertubuhan belia lain dapat diperkukuhkan untuk manfaat bersama. Mesyuarat ini juga menjadi platform bagi ahli untuk memberikan cadangan dan pandangan demi kemajuan pertubuhan.
#teamKBS #JBSNBersama #pahang 1 st #teamjbspahang #yakin boleh
MARAN, 24 Mac – Satu Bengkel ‘Training of Trainers (ToT) Kem Belia 2025 telah diadakan pada 19 hingga 21 Mac yang lalu bertempat di Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Cawangan Batu Gajah, Perak.
Bengkel yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara ini melibatkan 111 orang penyertaan daripada pegawai belia dan sukan di peringkat Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri serta semua pegawai belia dan sukan daerah (PBSD) di seluruh Malaysia. Bengkel ini bertujuan untuk menyelaras dan membantu para pegawai PBSD dan JBS Negeri memahami kandungan modul pelaksanaan dalam menjayakan Kem Belia tahun 2025 peringkat daerah.
Encik Imran Isnin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Maran telah hadir ke bengkel tersebut yang dirasmikan oleh YBrs. Dr. Zainah Shariff, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara. Tahniah JBSN atas penganjuran program yang baik ini.
KUANTAN, 29 Disember - Warga Kerja Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang berkampung tiga hari dua malam di De Rhu, Balok bagi menyertai Bengkel Penggalakan Sukan Untuk Semua 2024.
Program dijalankan bagi pengukuhan organisasi dalam memantapkan pentadbiran dan pengurusan Jabatan sempena kedatangan tahun 2025. Program julung-julung kalinya menghimpunkan hampir keseluruhan warga kerja ini dipenuhkan dengan pelbagai pengisian pengukuhan telah dijadualkan oleh urus setia sempena bengkel.
Semoga 2025 membawa lebih kejayaan buat JBS Negeri Pahang.
KUANTAN, 28 Disember - Program Penggalakan Sukan Untuk Semua - Community Rugby 10’s Challenge anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang dengan kerjasama Kesatuan Ragbi Negeri Pahang dan Persatuan Besbol dan Sofboll Pahang Darul Makmur mengisi slot program bagi penghujung tahun 2024.
Program dilaksanakan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan telah disertai oleh 12 Pasukan Terbuka Lelaki dan Wanita. Walaupun hujan lebat di pertengahan program, namun semangat para pemain tetap membara menggalas impian pasukan masing-masing. Encik Mu’azamir Haji Jili, Pengarah JBS Negeri Pahang turun padang dan telah diperkenalkan dengan pasukan-pasukan bertanding.
KUANTAN, 2 Disember – YB. Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah, Ahli Parlimen Paya Besar telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Kuantan yang merupakan sebahagian daripada siri pertemuan PBSD kepada semua Ahli Parlimen kerajaan.
Dalam pertemuan tersebut, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuantan iaitu Puan Basyirah Zulkifli telah menyampaikan taklimat mengenai Nafas Baru Rakan Muda yang menyentuh 10 Gaya Hidup Rakan Muda, serta berfokuskan kepada pembangunan belia, pembentukan jati diri, dan peluang kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat kawasan parlimen tersebut.
YB. Ahli Parlimen Paya Besar itu turut menerima dan menyambut baik inisiatif yang disampaikan dan menzahirkan komitmen beliau untuk menyokong usaha mendekatkan program Rakan Muda kepada masyarakat setempat. Beliau turut menekankan kepentingan untuk memperkasakan belia sebagai tunjang kemajuan negara.
Kunjungan ini diakhiri dengan perbincangan lanjut mengenai pelan pelaksanaan program di peringkat tempatan, termasuk aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan untuk menarik penyertaan belia khususnya dan masyarakat umumnya di kawasan Paya Besar.
KUANTAN, 20 Oktober - ‘Sisters In Arms’ telah mengungguli Kategori Junior manakala ‘Matrix Dance’ mendapat tempat pertama Kategori Senior dalam Pertandingan Aerobic Dance 2024 Peringkat Negeri Pahang di BCIC Lodge, Indera Mahkota. Persaingan sengit dengan setiap pasukan mempamerkan kehebatan dan kelincahan masing-masing.
Penganjuran pertandingan telah diadakan dengan kerjasama Persatuan Sukan Kecergasan Malaysia (MAFA) dan Persatuan Kecergasan Daerah Rompin.
Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah telah dirasmikan oleh Encik Shafrul Haji Kadir, wakil rasmi EXCO Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang.
KUANTAN, 20 Oktober - Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Program Eksplorasi Alam Peringkat Negeri Pahang 2024 telah disampaikan oleh Puan Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin daripada Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang.
Seramai 30 peserta telah menyertai program ini dan berpeluang untuk terlibat di dalam cabaran rekreasi yang menguji kemampuan fizikal dan mental para peserta. Ujian ditempuh, cabaran disahut. Semangat waja para peserta menjadikan program ini berjaya hingga ke penghujungnya.
KUANTAN, 19 Oktober - Hampir 400 unit jentera (kereta) dengan pelbagai gaya dan kreativiti berjaya dihimpunkan di sini.
Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang ini melibatkan Rakan Strategik utama iaitu Tunink Car Culture Team dan MMK 8139 Team. Barisan kepimpinan kedua-dua kelab ini terdiri daripada anak muda yang berani ke depan dalam menyuarakan hasrat khususnya dalam sukan permotoran.
Turut menjadi tulang belakang dalam program ini adalah 17 barisan _sponsorship_ yang memanfaatkan peluang himpunan jentera anak muda untuk memperluaskan promosi produk dan perkhidmatan masing-masing.
Hujan di awal pembukaan acara ternyata tidak mematahkan semangat para peserta sehingga mereka tetap setia menanti cuaca kembali cerah. Dengan mempertaruhkan 3 kategori utama iaitu i. Limbo (Sedan, Hatchback & Open), ii. Pops & Bangs Battle dan iii. Best Supporters , Dataran Ubi Street dilimpahi cahaya dan bunyi-bunyian jentera yang dipamer serta dipertandingkan. Teknologi jentera yang diubah suai juga menjadi tarikan utama pengunjung.
Majlis Perasmian dan Penyampaian Sijil Penghargaan telah dirasmikan oleh Tuan Haji Mohd Nazirul Mubin Mohamad, Penolong Pegawai Daerah (Pambangunan dan Tanah) diiringi Encik Shafrul Haji Kadir, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia dan Encik Fareez Haikal Dato' Ahmad Tasnim, GainHill Global Plt.
Program seumpama ini diharap dapat memberi peluang kepada anak muda untuk mengekspresikan minat di tempat yang betul.