- JBS Pahang
- Hits: 45
SUKAN SEMUDRA KALI KE-100 DIRASMIKAN DENGAN GEMILANG
- JBS Pahang
- Hits: 45
RAUB, Julai – Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud Raub (SEMUDRA) Kali Ke-100 berlangsung meriah di padang sekolah tersebut dengan penyertaan ratusan pelajar, guru dan ibu bapa.
Acara berprestij yang menggabungkan pelbagai pertandingan olahraga dan sukan padang ini menjadi platform bagi mencungkil bakat sukan dalam kalangan pelajar.
Majlis Perasmian telah dirasmikan oleh Encik Sophian Tukiman, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Raub, yang mewakili YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang. Dalam ucapan perasmian, beliau menyeru agar semangat kesukanan, perpaduan dan disiplin terus dipupuk dalam kalangan pelajar selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Tuan Sayed Kamaruddin, Pengetua SMK Mahmud, Encik Shamsul Bahari Abdul Rahim, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pegawai daripada Pejabat EXCO serta pegawai-pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Raub.
Sukan tahunan yang mencatat sejarah ke-100 penganjurannya ini menampilkan acara-acara menarik termasuk acara balapan serta perbarisan rumah sukan yang penuh warna-warni. Sorakan padu penyokong menambahkan lagi kemeriahan acara.
Majlis diakhiri dengan gimik perasmian Sukan SEMUDRA 2025.
Tahniah kepada semua atlet dan warga SEMUDRA atas penganjuran yang cemerlang.
Disediakan Oleh:-
PBSD Raub
