KUANTAN, – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang (JBSNP) telah menyempurnakan sesi penyerahan siap kerja bagi projek baik pulih dan naik taraf Gelanggang Futsal Alor Akar, sekali gus memperkukuh usaha memperkasa kemudahan sukan komuniti.
Majlis disempurnakan oleh Pengarah JBSNP, Encik Nor Azli Mohamad Daud, yang turut menyerahkan peralatan sukan kepada Pengerusi Belia Alor Akar iaitu wakil komuniti setempat sebagai simbolik sokongan berterusan jabatan terhadap pembangunan belia.
Turut hadir ialah Pengerusi KRT Alor Akar, wakil kontraktor serta Pegawai Pembangunan. Projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada golongan belia dalam menggalakkan gaya hidup sihat dan memupuk semangat kesukanan dalam komuniti.
Rompin, 3 Julai - Warga Kerja Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Rompin telah bersama membuka reruai sempena Rompin Fest 2025 bertempat di Pantai Hiburan Kuala Rompin bermula 21 hingga 24 Jun lalu.
Antara pengisian menarik di reruai PBSD Rompin adalah promosi Rakan Muda, Pendaftaran Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA), penyampaian maklumat - maklumat berkenaan program Rakan Muda, Belia dan Sukan.
Turut diadakan juga mini game untuk menarik minat lebih ramai belia berkunjung dan mengeratkan hubungan baik bersama agensi dan masyarakat setempat. PBSD Rompin memberi sokongan penuh sebagai rakan strategik pelaksanaan Rompin Fest 2025 dan juga salah satu inisiatif dalam memastikan hubungan baik bersama agensi-agensi kerajaan dan swasta bagi Daerah Rompin terus utuh dan juga secara tidak langsung dapat mendekatkan diri pemimpin belia bersama masyarakat setempat selain menyalurkan info dengan lebih meluas.
Semoga dengan adanya aktiviti seperti ini membuatkan PBSD Rompin lebih dikenali masyarakat setempat dengan lebih rapat.
Rompin - Kelab Rakan Muda Satelit Jaya (KRMSJ) telah menghadiri Program Bicara Transisi Belia Peringkat Zon Timur 2025 yang telah diadakan pada 21 Jun lalu bertempat di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pahang.
Program ini adalah bertujuan untuk pihak Pertubuhan Pendaftaran Belia (ROY) mendekati Pertubuhan Belia dan memberi khidmat nasihat tentang maklumat serta pengurusan pertubuhan belia. Cik Yumnee Athirah Faizi, Pengerusi Kelab Rakan Muda Satelit Jaya telah hadir bagi menjayakan program ini dan menerima Sijil Pendaftaran KRMSJ yang telah disampaikan oleh YB Dato’ Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari, Ahli Dewan Negeri Pahang.
KRMSJ merupakan pertubuhan belia tunggal dibawah Rakan Muda yang telah berjaya lulus didaftarkan pada 9 Mac 2025. Tahniah dan syabas diucapkan kepada KRMSJ, semoga terus mengorak langkah untuk menggerakkan aktiviti Pembangunan Belia Daerah Rompin khususnya Program Rakan Muda.
KRMSJ turut dibantu oleh Pemimpin Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda dari Badan Operasi Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Shah. Rakan Muda, Yakin Boleh.
Raub, 4 Jun - Perbincangan antara Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Raub diwakili oleh Encik Rosshazelan Sulaiman dengan Setiausaha Penaja Fraser Dart Club, Encik Mohd Hazuan Hamidia telah diadakan pada jam 10.00 pagi semalam bertempat di PBSD Raub.
Perbincangan tertumpu pada penyediaan dokumentasi bagi urusan pendaftaran Fraser Dart Club di bawah Pejabat Pesuruhjaya SUKAN (PPS) serta kerjasama bagi program-program yang akan datang. Perbincangan berakhir pada jam 11.30 tengahari.
TEMEELOH, 1 Jun – Perbincangan awal mengenai penganjuran Fiesta Rakan Muda Peringkat Daerah Temerloh telah diadakan pada 26 Mei yang lalu melibatkan kerjasama strategik antara Pejabat Belia dan Sukan Daerah Temerloh (PBSD Temerloh) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Temerloh.
Perbincangan antara PBSD Temerloh bersama PPD Temerloh telah menyentuh beberapa agenda utama termasuk penetapan tarikh, lokasi dan bentuk kerjasama antara agensi, dengan cadangan lokasi strategik mengikut kesesuai program. Sasaran penyertaan adalah seramai 400 peserta melibatkan pelajar sekolah, belia tempatan dan sukarelawan melalui tiga(3) aktiviti utama iaitu Kawad Kaki,Doodle Art,Inovasi 3R dan beberapa lagi aktiviti sampingan yang lain bagi memeriahkan pelaksanaan program.
PBSD Temerloh berharap penganjuran Fiesta Rakan Muda ini bukan sahaja dapat memperkasakan penglibatan golongan belia dalam pembangunan diri secara holistik, malah mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, khususnya dalam membentuk generasi muda yang berdaya tahan, berilmu dan berintegriti.
KUANTAN, 31 Mei – Majlis Belia Negeri Pahang telah mengadakan Perhimpunan Agung Tahunannya bagi tahun 2025 dengan penuh semangat dan komitmen ke arah memperkasa suara serta peranan belia di negeri ini.
Mesyuarat ini telah berlangsung dengan jayanya dan dirasmikan oleh YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang.
Turut hadir Encik Nor Azli Mohamad Daud, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, serta wakil-wakil daripada pelbagai pertubuhan belia dari seluruh negeri. Majlis ini menjadi platform penting dalam memperkukuhkan perpaduan serta solidariti dalam kalangan belia pelbagai latar belakang di Negeri Pahang.
Disediakan Oleh:- Bahagian Pembangunan Belia #TeamKBS #Pahang1st #JBSNBersama #TeamJBSPahang #RakanMuda #YakinBoleh
RAUB, 31 Mei – Kelab Senamrobik Aspirasi (KSeA) telah mengadakan Mesyuarat Agung Kali Pertama Tahun 2025 pada 30 Mei 2025 bertempat di Bangunan Majlis Belia Daerah Raub . AGM bermula pada jam 5.30 petang dan tamat sekitar jam 7.00 petang.
Mesyuarat kali ini dipengerusikan oleh Presiden Kelab, Puan Kartini Abdul Rahim. Menerusi AGM kali ini, perlantikan AJK tertinggi telah dilakukan. Antara yang dibincangkan adalah berkenaan kerjasama strategik dan perancangan aktiviti bagi tahun semasa.
Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Raub diwakili oleh Encik Rosshazelan Sulaiman, Penolong Pegawai Belia dan Sukan bagi menyampaikan sokongan dan tanda kebersamaan dalam menggerakkan aktiviti kecergasan bersama masyarakat khususnya senamrobik.
BERA, 16 Mei – Program Sambutan Semarak Hari Belia Negara Peringkat Daerah Bera telah berlangsung pada 14 hingga 15 Mei yang lalu di Dewan Sebaguna Kompleks Rakan Muda Daerah Bera dan telah mencatat kehadiran 844 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan kelab-kelab belia daerah Bera, pelajar – pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah di sekitar Daerah Bera. Program Semarak Hari Belia Negara Peringkat Daerah Bera 2025 ini telah menjalinkan kerjasama antara Pejabat Pendidikan Daerah Bera, Majlis Belia Daerah Bera, Kolej Komuniti Daerah Bera, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Bera, PERKESO Temerloh.
Majlis Perasmian telah dirasmikan oleh Encik Nashriq Ismail Sabri, Wakil Rasmi Ahli Parlimen Bera. Turut hadir Encik Ahmad Mazahar Mokhti, Wakil Rasmi Pejabat Pendidikan Daerah Bera, Encik Abd. Halim Safi, Pengarah Kolej Komuniti Daerah Bera, Encik Nadzrul Ikmal Naim Faizal Azli, Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Bera dan Encik Mohamad Rozaiham Abd. Rahman, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Bera.
Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan sepanjang program ini berlangsung antaranya ialah Port Santai Janji Sampai (Pertandingan Hafazan Anak Muda), Port Fit Malaysia (Pertandingan Futsal Antara Kelab Belia) dan pada 15 Mei 2025 ialah Port Makan-Makan (Jualan Makanan dan Minuman), Port Seni (Pertandingan Tarian Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah dan Pertandingan Khat), Port Gaming (Pertandingan E-Sports), Port Jana Duit (Temuduga Terbuka Perkeso dan Pameran TVET) dan Port FYP (Bersama Mohamad Lukman Afiq Mohamad Faizal Pengerusi MAYC Bera).
Majlis Penutup telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Sabariah Saidin,Exco Kebajikan Masyarakat , Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang.
CAMERON HIGHLANDS, 15 Mei - Sambutan Hari Belia Negara peringkat Daerah Cameron Highlands telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang serentak bersama seluruh negara. Program ini telah berjaya menghimpunkan lebih 500 pelajar dan belia dari pelbagai institusi pendidikan serta kelab belia di sekitar daerah tersebut.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Kamarul Iskandar Nordin, Pegawai Daerah Cameron Highlands, yang turut menyampaikan amanat penuh inspirasi kepada para belia agar terus menjadi ejen perubahan dan pemangkin kemajuan negara. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Encik Ahmad Fadzil Ibrahim, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Cameron Highlands; Encik Mohd Fadhlil Wafi Ab Jalil, Pengerusi Majlis Belia Daerah Cameron Highlands; Encik Amar Ahmad, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah serta Puan Aziah Abdul Aziz, Penolong Kanan 1 SMK Sultan Ahmad Shah, selain kehadiran Ketua-Ketua Jabatan, pengerusi-pengerusi persatuan dan kelab belia sekitar Tanah Rata.
Antara pengisian menarik sepanjang program termasuklah Port Seni, Port Jana Duit, Port Gaming, Port Santai Janji Sampai dan Port Fit Malaysia, yang bukan sahaja menyediakan ruang untuk para belia menonjolkan bakat dan minat, malah mengasah nilai kepimpinan, daya kreativiti dan semangat kesukarelawanan. Sambutan ini juga menjadi medan penting untuk menyemai rasa cintakan negara serta membina jaringan perpaduan yang kukuh dalam kalangan generasi muda, maka menjadi tanggungjawab semua pihak untuk terus menyokong dan memperkasa potensi belia demi Malaysia yang lebih gemilang.